Jom Buat Duit

Monday 11 June 2012

Ditemui longlai dalam ladang sawit

ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas yang hilang sejak Khamis lalu ditemui dalam keadaan tidak bermaya di sebuah ladang kelapa sawit terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Sungai Petai, di sini petang, kelmarin.
Mangsa, Alimah Hussin, 73, ditemui kira-kira jam 6.45 oleh pasukan mencari terdiri daripada anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), bersama penduduk kampung yang melancarkan gerakan mencari sejak wanita itu dilaporkan hilang.

Ketika ditemui, Alimah yang hanya memakai baju ditemui dalam keadaan lemah sedang menuju ke arah belukar sambil mengendong akar kayu.

Cucu mangsa, Elis Esa, 30, berkata dia sekeluarga bersyukur kerana neneknya berjaya ditemui selepas hilang selama kira-kira 63 jam.

“Saya yang diberitahu nenek ditemui terus menuju ke lokasi. Saya dapati nenek berada dalam keadaan sangat lemah ketika itu.

“Malah, nenek kelihatan terpinga-pinga ketika ditemui lalu dibawa pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Elis berkata, neneknya dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh JPAM untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, Pegawai Staf Muda JPAM, Shahrul Azli Shaiful Bahari berkata, operasi mencari dilancarkan di kawasan belukar dan ladang sawit kampung berdekatan.

“Sepuluh anggota JPAM terbabit dalam gerakan mencari kehilangan warga emas yang hilang sejak jam 4 pagi Khamis lalu sebelum ditemui dua kilometer dari rumahnya petang kelmarin.

“Sepanjang dua hari gerakan mencari dan mengesan warga emas di sekitar belukar dan ladang kelapa sawit di sekitar kampung berkenaan dilakukan, pihak kami gagal menemui sebarang petunjuk.

“Selepas 63 jam mencari dengan bantuan penduduk kampung, warga emas berkenaan akhirnya ditemui dalam keadaan selamat namun dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan Alimah disedari hilang selepas tiada di biliknya kira-kira jam 8.30 pagi Khamis lalu.

Anak tunggal mangsa, Munah Ahmad, 56, berusaha mencarinya di sekitar kawasan rumah namun gagal sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters