TIDAK banyak yang boleh dikatakan mengenai gadis kecil molek yang baru berusia 17 tahun ini. Tetapi tatkala kisah gambar ‘panas’, aksi ‘daring’ serta gosip cinta dengan pemain bola sepak kacak Indonesia iaitu Diego, Nikita Purnama Willy mula mendapat perhatian.
Pada masa sama, kisah gambar mesranya dengan Bara Tampubolon yang luas tersebar di laman sesawang turut mengasak gadis berdarah Minang ini menjawab soalan bertalu-talu daripada media di negaranya. Penjelasan Nikita sangat mudah, orang akan terus berkata dan dia tahu cerita sebenar. Oleh itu tidak ada apa yang patut ditakutkan.
“Keluarga saya sentiasa berada di sisi menyokong kerjaya saya. Lagipun saya tahu cerita sebenar. Semua yang dikatakan hanya permainan media di sana. Pada masa ini, saya lebih selesa bersendirian dan berseronok bersama teman-teman saja serta menumpu kerjaya seni saya,” kata Nikita yang masih berstatus ‘single’ walaupun dia dikhabarkan intim dengan Diego dan Bara.
Mungkin kepenatan kerana jadual penuh sempena kunjungan pertama ke negara ini, Nikita tampak kurang selesa dan menjawab soalan dilontar Selebriti seringkas mungkin. Bagi mereka yang pertama kali bertemu dengan anak sulung daripada dua adik beradik ini pasti beranggapan dia gadis sombong.
Masakan tidak, hanya ucapan ‘helo’ yang dilontar sebaik saja masuk ke dalam ruang berbual dan terus diam seribu bahasa dengan mata jauh memandang ke lain.
Tetapi sebaik saja soalan mula ditabur, bingkas dia kembali mengatur senyuman mesra.
“Saya sebenarnya seorang yang sangat pemalu pada awalnya. Ketika kali pertama terjun ke bidang hiburan saya baru berumur 8 tahun. Itu pun selepas dicadangkan oleh mama.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bergelar aktres tetapi apabila difikirkan ia membahagiakan ibu bapa, saya teruskan,” katanya tatkala pertemuan empat mata dengannya di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Nikita berada di sini untuk mempromosi dua single terbarunya, Ku Tetap Menanti dan Lebih Dari Indah. Walaupun masih pucuk muda dalam bidang nyanyian, ternyata Nikita mempunyai impian sendiri untuk bergelar bintang. Selain mula terbabit sebagai model iklan pada usia 8 tahun, dia terus mara bergelar model iklan dan aktres sehingga kini.
Bintang sinetron Bulan Bintang, Roman Picisan, Safa Marwah, Pengantin Remaja, Putri Yang Di Tukar dan banyak lagi ini terus bersinar apabila membuka ruang bakat ke bidang nyanyian.
Usahanya berbaloi apabila single pertama Ku Tetap Menanti berjaya merangkul lagu muat turun terbanyak dengan lebih satu juta muat turun pada 2010.
Malah baru lalu, dia dianugerahkan Best Celebrity Mobile Content 2010 Anugerah Telkomsel. Belum lagi dikira dengan anugerah Best Most Favourite Actress di Anugerah Gobel Panasonic dek penangan lakonannya dalam sinetron Putri Yang Di Tukar.
Ditanya mengenai cita-citanya yang sebenar, pantas Nikita akui dia sebenarnya mahu jadi doktor.
“Memang dari kecil saya mahu jadi doktor kerana ketika itu saya mahu mengubati nenek saya yang menghidap masalah jantung. Insya-Allah, selepas ini saya akan sambung pelajaran dalam bidang perubatan di universiti di Indonesia dan mungkin bergelar ‘The Singing Doctor’,” katanya gembira.
Bercakap mengenai album pertama yang sudah pun 80 peratus siap, Nikita meletak harapan yang agak tinggi untuk bergelar artis serba boleh.
Selain bekerjasama dengan beberapa nama besar dalam muzik Indonesia, Nikita turut berduet dengan Oscar Mahendra, artis baru yang sedang meningkat naik di sana melalui lagu Pantas Untukku.
Jumaat lalu, Nikita sempat bertemu dengan peminat di pusat beli belah Sungai Wang di samping melakukan hobi paling disukainya, membeli belah. Sebaik saja pulang ke negaranya, Nikita akan bercuti selama dua bulan dan terbang ke Amerika Syarikat sambil melawat ahli keluarga yang menetap di sana.
No comments:
Post a Comment