Jom Buat Duit

Sunday 11 December 2011

Memasak Dari Hati - Chef Wan




BERPENGALAMAN 25 tahun dalam industri masakan, berderet anugerah diterima Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan), 54. Dia adalah selebriti kulinari Asia dan penerima Anugerah Juri Sepanjang Hayat (2007) dan Anugerah Selebriti Chef Terbaik (2009).

Selain antara chef tetap di Asian Food Channel, dia pernah mengacarakan rancangan masakan bersama personaliti terkenal lain seperti Martin Yan, Anthony Bourdain, Rick Stein dan Todd English.

Chef Wan adalah tukang masak kebanggaan negara yang mana bakat dan kebolehannya diwarisi anak sulungnya, Nazri, 29, atau lebih dikenali sebagai Chef Riz.

Selaku juri program Maharaja Lawak Mega pula, kritikannya pedas dan berbisa tetapi dia melakukannya dengan niat mahu generasi muda berjaya, selalu berpijak di bumi nyata dan berjiwa kental.
Khamis lalu, Chef Wan melancarkan buku masak terbarunya berjudul Selera Malaysia Chef Wan, diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Buku itu mengandungi 138 resipi yang dibahagi kepada enam kategori hidangan — daging, ayam dan itik, ikan dan makanan laut, kerabu dan sayuran, nasi, mi dan sup.

Buku ini juga memuatkan hidangan klasik Malaysia seperti Kerutup Daging Terengganu, Sotong Goreng Gaya Nyonya dan Nasi Ulam. Buku dilancarkan ibu yang juga idolanya, Noraini.

Pun begitu, sebelum mengecapi kemasyhuran dan kemewahan, sebagaimana orang lain, dia tidak terlepas daripada ujian dan cabaran. Semangat kentalnya mengatasi segala rintangan yang datang dan sebab itu Chef Wan kecewa apabila ada chef sekarang tidak ikhlas dalam kerja mereka dan sanggup ‘menikam’ kawan.

Ikuti rakaman perbualan SELEBRITI bersama Chef Wan.


Hari ini ramai chef di luar sana ingin mengikut jejak anda sebagai chef selebriti yang terkenal di seluruh dunia. Justeru, ceritakan susah payah anda sehingga berjaya membina nama besar dalam dunia masakan?

Saya tidak menyangka akan berjaya dan boleh bertahan hingga ke hari ini. Namun bukan senang hendak membina nama sebesar ini. Ia adalah perjalanan yang sangat jauh dan panjang.

Semua yang saya peroleh hari ini kerana semangat, keazaman dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik. Apabila tiba bab kerja, tiada istilah main-main kerana kita mesti buat apa saja dengan bersungguh-sungguh dan serius untuk berjaya.

Alhamdulillah, saya mewarisi kepakaran memasak daripada emak. Makanan menghubungkan masyarakat dari seluruh dunia dan makanan juga menunjukkan budaya dan bangsa kita. Di setiap negara yang kita lawati, mesti ada makanan yang melambangkan bangsa dan budaya hidup masyarakat di sana.

Usah kata di luar negara, di negara kita sendiri, setiap negeri ada masakan istimewa. Misalnya Negeri Sembilan dengan gulai masak lemak cili apinya, Perak pula terkenal dengan tempoyak, Kelantan dengan budu, Nasi Dagang dan Nasi Kerabu dan Pahang dikenali dengan gulai ikan patin. Bidang masakan ini terlalu luas, semakin banyak kita teroka, semakin banyak peninggalan yang diwariskan oleh orang dulu-dulu.
Kejayaan dinikmati hari ini hadir bersama cabaran yang bukan sedikit sehingga akhirnya seluruh dunia mengenali saya dan dilantik menjadi duta masakan. Apa pun, ia berkaitan keikhlasan. Kalau kita buat dengan ikhlas, pasti Allah SWT membantu kita. Saya buat yang terbaik untuk semua.

Saya bangga jadi tukang masak kerana ia warisan paling besar ditinggalkan oleh nenek moyang kita dan kita mesti berbangga dengannya. Kita mesti ada rasa yang masakan itu hak milik kita semua dan perlu dikekalkan serta diperkenalkan kepada anak kita.


Kita lihat chef hari ini bersaing dengan cara kurang sihat dan suka tikam belakang. Apa pendapat anda?

Kenapa perlu memburukkan antara satu sama lain? Bumi Allah SWT ini luas dan setiap orang diberikan pelbagai bakat dan kebolehan. Mereka bebas mencari rezeki mengikut cara masing-masing. Kenapa mesti takut dengan bayang-bayang sendiri. Semua orang boleh berjaya, tetapi mestilah buat dengan hati bersih dan tiada hasad dengki.

Ini yang terjadi pada Nazri dalam Masterchef Malaysia. Ramai chef lebih senior tidak puas hati apabila dia diambil menjadi juri Masterchef Malaysia sehingga membuatkan dia tertekan dan sanggup menambah perkara tidak betul dalam senarai kurikulumnya. Apabila saya dapat tahu apa Nazri buat, saya sangat sedih. Ketika bercakap dengannya di telefon, saya menangis. Susahnya saya membina nama, tetapi anak sendiri sanggup buat perkara yang memalukan saya.

Dia terpaksa buat kerana tak yakin dengan diri sendiri, apatah lagi orang sekeliling asyik memberi tekanan kepadanya. Dia sepatutnya berbangga dengan kebolehan dirinya. Dia belajar masak dengan saya ketika usianya 12 tahun dan selagi dia tidak boleh buat seperti mana saya mahu, saya paksa dia buat sampai ‘jadi’ kerana saya mahu dia jadi chef terbaik.

Saya tahu Nazri kuat bekerja, lima tahun dia tidak pernah bercuti dan sekarang dia ada dua restoran. Saya katakan padanya, jangan pedulikan apa orang kata. Masterchef Malaysia ambil dia sebagai juri kerana percayakan bakatnya. Nazri perlu berpegang kepada prinsip hidupnya. Walaupun kecewa dengan apa Nazri buat, saya tetap berbangga dengannya kerana dia sedar dan sanggup mengaku kesilapannya serta minta maaf dengan semua pihak. Nazri belajar daripada kesilapan itu dan hidup mesti diteruskan. Oleh itu Nazri kena kuat dan tabah. Kepada chef lain, jangan melakukan perkara sama. Jangan fikir, sijil yang berjela-jela adalah segala-galanya. Memasak perlu daripada hati. Apabila kita berada di dapur, itulah dunia kita.


Anda sudah mendapat segala-galanya, kemasyhuran dan kesenangan hasil kerja keras selama ini. Apa yang anda harapkan lagi pada masa akan datang?

Saya mahu buka sekolah masakan yang menawarkan segala pendidikan dan keperluan memasak di sekolah itu. Ia dibuka kepada semua peringkat usia, daripada kanak-kanak sampailah kepada orang tua.

Contohnya, pada cuti sekolah, ibu bapa boleh hantar anak mereka belajar masak di sekolah itu supaya apabila dewasa nanti dan terpaksa merantau di negara orang, mereka boleh berdikari.

Untuk menzahirkan impian itu, saya akan bekerjasama dengan KDU (Kolej Damansara Utama). Insya-Allah, sekolah itu akan menjadi kenyataan hujung tahun depan.

Saya juga dengan kerjasama chef lain ingin menghasilkan buku ensiklopedia masakan mengandungi semua masakan dari setiap negeri, senarai rempah ratus, petua masakan dan resipi. Ia buku rujukan lengkap mengenai masakan. Saya mula mengumpul bahan sejak empat tahun lalu dan banyak lagi perlu dibuat.
Untuk memberikan yang terbaik, saya sanggup meredah kampung berjumpa orang di sana minta resipi terkenal di sesuatu daerah itu. Saya sanggup bayar asalkan dapat resipi lengkap dan betul.


Harapan anda terhadap anak yang bakal mewarisi legasi ditinggalkan nanti?

Selama ini saya bekerja keras dan saya mahu anak mewarisi semangat saya serta berharap mereka menghargai pengorbanan saya. Hidup ini tidak dapat lari daripada cabaran dan anda diberi pilihan untuk mewarnai kehidupan ini.

Saya bangga dengan apa yang saya lakukan kerana bidang masakan mengubah seluruh hidup saya. Ramai juga kurang senang dengan saya kerana saya terlalu berterus terang. Misalnya ketika menjadi juri Maharaja Lawak Mega, sebelum duduk di kerusi juri, saya berdoa semoga menjadi juri yang bagus kerana saya tidak mahu melukakan hati sesiapa.

Setiap kritikan saya adalah jujur dan ikhlas. Barangkali ada yang mempersoalkan apa kelayakan saya untuk menjadi juri program lawak.

Cuba anda bayangkan selama setengah jam saya mengendalikan program masakan dan saya cuma memasak tiga resipi.

Kalau saya tidak ‘pandai’ bercakap dan berlawak, apa lagi saya nak buat untuk mengisi masa yang ada.

Tentu penonton akan bosan semata-mata mahu menunggu masakan itu siap di masak. Jadi unsur lawak itu memang ada pada saya dan minat saya yang lain adalah berlakon.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters