Jom Buat Duit

Sunday 11 December 2011

Menanti Hasil Cinta - Mawi & Ikin




DEBARAN menanti kehadiran cahaya mata sulung makin dirasai pasangan selebriti romantik, Mawi dan Ekin. Hati berbunga riang apabila kandungan sudah menjengah usia tujuh bulan, bermakna tidak lama lagi mereka akan menatap wajah hadiah terindah yang bakal menyerikan bahtera cinta.

Ketika menemubual Mawi, teruja penyanyi dan pelakon yang dilahirkan pentas realiti Akademi Fantasi 3 ini berkongsi rasa mengenai perkembangan peribadi dan kerjayanya. “Sejak Ekin disahkan hamil, saya sudah bersedia menjadi bapa. Ini kehidupan baru bagi kami. Pada mulanya saya tidak berani letak harapan tinggi kerana bimbang kecewa lagi. Maklumlah, sebelum ini Ekin dua kali keguguran. “Siang malam saya berdoa agar Ekin dan bayi dalam kandungan sihat. Alhamdulillah, kandungan sudah masuk bulan ketujuh. “Bahagia yang dirasai sukar digambarkan dengan kata-kata. Hari-hari terasa sangat indah apatah lagi melihat perut Ekin semakin membesar. Moga proses kelahiran bayi sulung kami ini mudah, itu yang saya pohon selalu,” kata Mawi.

Sambungnya bersemangat, sepanjang tempoh kehamilan Ekin tidak mengalami alahan yang teruk bahkan dia tidak cerewet dalam soal pemakanan. Kalau ada pun mengidam, apa yang diminta juadah yang biasa dinikmati dan mudah dicari. Pendek kata, segala-galanya dipermudahkan Ilahi selepas diuji dengan duka yang cukup menyentap tangkai hati pasangan suami isteri ini. “Pada awal kehamilan, Ekin ada mual-mual tetapi tidaklah teruk sangat. Pengalaman lalu banyak mengajar kami supaya lebih berhati-hati dan kerana itu sebaik saja mengetahui Ekin hamil, saya menghantar dia pulang ke Johor supaya dapat dijaga ibunya.

“Selepas tiga bulan barulah Ekin kembali ke Bangi dan mak serta neneknya juga ikut sama. Dengan bantuan ibu mentua, makan minum Ekin terjaga. Saya pun tidak susah hati keluar bekerja kerana ibunya ada di rumah menemani Ekin. “Saya tidak membenarkan dia melakukan kerja-kerja rumah dan melakukan aktiviti yang banyak pergerakan. Dalam tempoh hamil biarlah dia banyak berehat dan memang itulah yang terbaik untuknya dan bayi dalam kandungan,” katanya yang merahsiakan jantina zuriat sulungnya itu kerana mahu memberikan kejutan.

Ditanya mengenai persiapan, Mawi berkata tidak banyak yang dibeli kerana masih awal. Kalau adapun sekadar beberapa helai baju dan barut moden. “Orang tua selalu berpesan jangan terlalu seronok membeli itu ini. Biarlah dulu, apabila kandungan sudah masuk lapan bulan barulah kami akan menyediakan apa yang patut. Lagipun tak perlu kelam-kabut kerana zaman sekarang mudah. Semua barang dah ada, pilihan pun banyak, cuma sediakan duit. “Bilik anak pun belum siap lagi, nama pun tak cari lagi. Tak mengapalah, pelan-pelan kayuh,” katanya.

Mengulas perihal kerjayanya yang agak perlahan tahun ini, sambil ketawa Mawi berkata, diamnya bukan kosong tetapi rancak mengatur perancangan memantapkan syarikatnya, MW Entertainment. Tidak dinafikan undangan persembahan tidaklah sekencang dulu tetapi kata Mawi hasilnya cukuplah untuk kelangsungan hidup. Sebagai anak seni, dia sedar perlu bersedia kerana tidak selamanya di atas. Ada ketikanya bintang yang pernah disanjung akan berada di bawah dan jika bijak mengatur perancangan, tidak mustahil akan kembali menjadi sebutan. “Apabila menceburi dunia hiburan, saya sering mengingatkan diri supaya sentiasa berfikiran positif. Tidak kiralah sama ada orang masih ingat atau tidak, kita kena optimis. Sedar tak sedar, sudah tujuh tahun saya dalam industri. Sepanjang tempoh itu banyak yang saya belajar dan boleh dijadikan iktibar.
“Ramai cakap saya senyap tahun ini. Diam bukan sebarang diam tetapi diam berisi. Saya rancak mengatur perancangan untuk memantapkan lagi syarikat dan kerjaya. Insya-Allah dalam waktu terdekat, saya akan merakamkan single terbaru ciptaan M Nasir yang dijangka menemui peminat hujung bulan ini. Setakat ini judulnya belum ada tetapi apa yang saya boleh janjikan, melodinya sangat ‘catchy’, segar dan menarik. M Nasir tampil dengan melodi baru untuk dikongsi dengan pencinta muzik tanah air. “Harap percubaan saya ini dapat diterima ramai dan ia menjadi pembuka tirai saya untuk 2012. “Dalam pada itu, saya belajar selok-belok kerja belakang tabir dan penerbitan filem, telefilem serta drama. Saya memang ada rancangan mahu terbitkan drama dan filem tetapi tidak boleh terburu-buru. Saya kena kaji sedalam-dalamnya apa yang penonton mahu dan suka.

Projek ini menuntut perbelanjaan yang tinggi, jadi tak boleh main hentam. Paling penting produk yang dihasilkan nanti mesti berkualiti dan punya mesej yang bagus,” katanya yang menerima banyak tawaran menjayakan drama serta teater tetapi belum bersedia memberikan komitmen. Selain itu fokus diberikan kepada penerbitan album Sepah 2 yang sudahpun memulakan proses rakaman baru-baru ini. Di bawah syarikatnya, projek itu membabitkan komposer ternama seperti Azmeer, M Nasir, Aidit Alfian serta mengetengahkan komposer baru berbakat besar iaitu Shahir. “Berdasarkan perbincangan sebelum ini, album Sepah 2 akan memuatkan enam lagu. Mungkin ada penambahan, tengoklah macam mana nanti. dengan komitmen Jep dan Shuib. Ini adalah percubaan pertama MW Entertainment dan Sepah menjadi perintis,” katanya yang terbabit dengan program Gempak Selebriti yang berlangsung 3 dan 4 Disember lalu di One Borneo, Sabah, diikuti di Manjung, Perak, semalam dan hari ini (10 dan 11 Disember) serta di Johor Bahru minggu depan (17 dan 18 Disember).

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters