Jom Buat Duit

Tuesday, 7 August 2012

Hajat Amy Search kesampaian


AMY SEARCH (dua dari kanan) meluangkan masa membaca al-Quran bersama pelajar tahfiz yang dijemput pada majlis berbuka puasa anjurannya di Surau Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, Sabtu lalu.


KATA Amy Search, dia sudah lama memendam hasrat untuk mengadakan majlis berbuka puasa, tahlil dan doa selamat bersama pelajar tahfiz dan anak-anak yatim di kampung kelahirannya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru.

Niat suci yang tersemat di sanubari itu akhirnya termakbul juga apabila Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman berjaya mengumpulkan 70 pelajar tahfiz dari Madrasah Al-Quran Sinaran Baru Kempas dan 30 orang anak yatim Kampung Bakar Batu Sabtu lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi apabila impian saya terlaksana. Sebelum ini saya selalu menganjurkan majlis yang sama di ibu kota, tapi pada tahun ini, saya ingin lakukan di kampung saya,” katanya.

Turut mengiringi Amy pada hari berkenaan ialah isterinya Nourish; ibunya, Fatimah Idris, 85, kakak sulungnya Azizah, 55, sanak saudara dan penduduk setempat.

Usai solat Asar secara berjemaah, Amy bersama hadirat yang lain mengalunkan bacaan al-Quran.
Pada majlis yang berlangsung penuh sederhana tetapi terkesan dilimpahi rahmat, Amy turut mengambil peluang menyumbang duit raya dan memberi sumbangan berupa keperluan harian pelajar tahfiz Madrasah Al-Quran Sinaran Baru.
AMY turut menyampaikan sumbangan berupa wang ringgit yang dikumpul bersama teman-temannya kepada anak yatim dan pelajar tahfiz yang hadir.
 
“Sumbangan ini sebenarnya bukan datang daripada saya seorang, tetapi dikongsi bersama dengan rakan-rakan saya yang lain,” ujarnya dengan wajah penuh kelegaan.
Vokalis Search yang kini berusia 54 tahun itu turut memberitahu, setiap kali Ramadan, benaknya tidak lari daripada memikirkan tentang arwah bapanya yang sudah bertahun pergi menemui Ilahi.
Akuinya, kelunakan dan kesyahduan paduan suara anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz membacakan tahlil membuatkan Amy tersentuh seketika.

Pada majlis yang sama, pelantun lagu Fantasia Bulan Madu itu yang tidak bergiat aktif dalam dunia seni ketika bulan puasa turut dikejutkan dengan sambutan hari jadinya yang ke-54.
Kata isterinya, sepatutnya sambutan diadakan pada minggu lalu iaitu pada tarikh ulang tahunnya, 28 Julai lalu, namun mereka tidak berkesempatan berbuat demikian. Justeru, dia mengambil kesempatan dan berharap berkat majlis keagamaan yang dianjurkan akan menjadi satu momen sambutan ulang tahun yang terbaik buat Amy.

Bagaimanapun, menurut Amy, dia tidak kisah kerana sambutan hari lahirnya disambut pada bulan Ramadan yang mulia ini dengan cara yang lebih diberkati oleh Allah SWT.

Teruja
Rasa keriangan dan keterujaan Amy sebenarnya turut dikongsi bersama seluruh pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang menjadi tetamu khas penyanyi legenda tanah air itu.
SOKONGAN. Amy bersama kaum keluarga, termasuk ibunya, Fatimah Idris (dua dari kanan) bergambar selepas majlis tamat.
 
Salah seorang tahfiz, Mohd. Ali Khalid, 14, berkata, dia tidak sangka dapat berjumpa dengan selebriti tersohor itu.

“Kami satu madrasah sangat gembira berjumpa dengan abang Amy dan kami bersyukur kepada Allah kerana telah membuka pintu seorang hambanya memberi sumbangan kepada madrasah kami di Kempas, Johor Bahru,” katanya yang meminati lagu Isabella.

Malah dalam reaksi ringkas tenaga pengajar madrasah itu, Ustaz Mohd. Ali Mohd. Amin, dia memuji inisiatif penyanyi itu yang tidak lupa melunaskan tanggungjawabnya sebagai umat Islam.
“Ia satu langkah yang baik dan berharap ia mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa,” ujarnya.
Sementara itu seorang kanak-kanak dari Kampung Bakar Batu, Amira Mardi, 14, begitu ceria mendapat sumbangan duit raya dan dapat bergambar dengan Amy.

Justeru, kata Amy, jika tiada aral melintang, dia berhasrat untuk memahat majlis seumpama itu dalam kalendar tahunannya.

Ditanya bagaimana sambutan raya artis rock terkenal ini? Kata Amy, segalanya serba-serbi sederhana.

“Saya akan menyambut hari raya dan berada awal di Kampung Bakar Batu sebelum bergerak beraya di rumah keluarga isteri kesayangan saya di utara Semenanjung,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters