Jom Buat Duit

Monday, 20 February 2012

Mahu popular tanpa kontroversi


TIGA aktres pelapis (dari kiri), Nur Fathia, Miera Liyana dan Tasha Shila sering dilanda gosip dan kontroversi negatif.



SAMA cantik, sama panas. Itu yang menyebabkan Kosmo! menggandingkan tiga jelitawan muda Miera Liyana, Nur Fathia dan Tasha Shila ketika ditemui dalam majlis anjuran Rafflesia di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tidak dinafikan nama mereka bertiga begitu pantas popular berbanding rakan seangkatan mereka yang lain. Selain bakat, jelita, kontroversi panas juga antara menyebab nama mereka melonjak secara tiba-tiba.

Mereka bertiga yang kelihatan anggun menyarungkan busana merah menjerit rekaan pereka fesyen Raffai mengerti kontroversi merupakan menu wajib sebagai anak seni, namun itu tidak bermakna mereka sengaja mencari kontroversi dengan harapan nilai diri mereka di dalam industri seni lebih tinggi.

Kontroversi bukan gimik - Miera
Jika sebelum ini, siapa yang kenal Miera Liyana Kasmi atau Miera Liyana jika tidak kerana kontroversi pakaian mendedahkan sebahagian payudaranya dalam sebuah majlis pada tahun lalu. Tidak tamat di situ, kemudian Miera sekali lagi dihambat kontroversi apabila dikatakan mabuk di sebuah pusat hiburan.

Terkini selepas kisah cintanya terdedah pada khalayak umum bersama hero filem Azura 2011, aktor Shahrizal Jaszle, kali ini mereka berperang apabila hubungan yang disemai selama enam bulan itu dilanda badai gara-gara orang ketiga yang menyebabkan Miera, 19, menuduh kekasihnya itu curang.
Mengakui hubungan cinta itu sudah putus di tengah jalan pada pertengahan Januari lalu, hati gadisnya masih terluka ekoran pengakuan kekasihnya dan orang ketiga iaitu seorang pelajar perubatan bernama Putri yang mereka mempunyai hubungan rapat.

"Saya bersemuka bersama Shah, Putri, ibu dan juga pengurusnya. Saya tanya dia betul-betul dan dia mengaku. Saya jenis tidak suka tuduh sebarangan, sebaliknya siasat, selepas terbukti memang dia mempunyai hubungan dengan Putri, saya putuskan hubungan kami," ujarnya.
Meskipun begitu perasaan sayang dan cinta terhadap Shahrizal masih menebal di hati Miera dan dia berkira-kira untuk memberi peluang kedua kepada lelaki itu andai dia benar-benar berubah.
"Saya dan dia jarang bergaduh, bila jadi macam ini saya fikir lebih baik kami berehat dahulu dan menjadi kawan sahaja kerana saya masih sakit hati dengan apa yang dia buat pada saya.
"Tipulah saya tidak sayang dia sebab kami kenal sejak sekolah lagi. Tetapi buat masa ini biarlah kami menjadi kawan sahaja walaupun dia masih merayu untuk saya memaafkan dia," balasnya dengan mata sedikit berkaca.

Disoal tidak malukah Miera selepas satu persatu kontroversi membabitkan dirinya terdedah pada mata umum atau kontroversi hanyalah satu gimik untuk lebih cepat popular.
"Malu, siapa yang tidak malu apabila soal peribadi menjadi tatapan umum. Ini soal maruah saya, apa yang terjadi bukan satu gimik termasuk kontroversi pakaian terdedah itu.
"Kalau boleh saya mahu popular dan dikenali ramai kerana bakat lakonan saya bukannya kontroversi," tuturnya yang telah berkecimpung dalam dunia seni selama tiga tahun.
Mungkinkah Meira bakal menjadi pelapis ratu kontroversi dalam industri hiburan tempatan? Jawabnya: "Idola saya Nasha Aziz, dia juga melalui pelbagai kontroversi sehingga kini dia bergelar ikon kepada orang lain. Semua nama besar hari ini pernah melalui kontroversi malah ada yang lebih teruk daripada saya.

"Saya bukan kata untuk menjadi ikon saya harus ada kontroversi tetapi itu adalah lumrah apabila menjadi orang yang dikenali. Saya tidak menyesal dengan segala kontroversi sebaliknya ia menjadi pengajaran buat saya untuk lebih berhati-hati dan kuat pada masa depan."
Insiden lokasi Nur Fathia

Nama Nur Fathia nampaknya tidak boleh lari daripada insiden di lokasi penggambaran yang menyebabkan kontroversi. Antaranya kontroversi membaling telefon kepada pengarah di lokasi penggambaran drama Stanza Cinta lakonannya bersama aktor popular Aaron Aziz tidak lama dahulu.
Reda seketika namanya daripada laman gosip, kemudian nama Nur Fathia muncul pula dengan gosip kononnya dia tidak memulangkan baju penaja, membawa rakan lelaki ke set penggambaran dan dikatakan semakin besar kepala atau bersikap diva.

Namun ujar Fathia, sejak insiden di set penggambaran drama Stanza Cinta, dia banyak belajar untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Bagaimana pun, dia tidak mengerti kenapa namanya sentiasa menjadi sebutan apabila dikaitkan dengan isu artis bermasalah sedangkan dia sudah memberi sehabis baik ketika berada di lokasi penggambaran.

"Memang saya ada bawa rakan lelaki di set penggambaran tetapi saya tidak mengganggu produksi, dia hanya datang menghantar makanan sahaja.
"Masalah disiplin lain tidak ada rasanya, saya datang tepat pada masanya. Saya tidak tahu apa yang mereka mahukan daripada saya. Asyik ada sahaja yang tidak kena tentang saya.
"Tidak banyak cakap orang kata saya sombong, kadangkala saya senyap kerana sibuk baca skrip. Pihak produksi juga tidak ada masalah dengan saya," kata gadis berusia 24 tahun itu lagi.
Fathia yang merupakan pelajar jurusan undang-undang dan bercita-cita menjadi peguam kini sedang dalam cuti semester selama tiga bulan sudah lali dengan kontroversi yang melanda dirinya.
"Saya tidak rimas sebab sudah lali dengan pelbagai cerita kontroversi. Apa yang penting saya bekerja dan lakukan yang terbaik untuk peminat.

"Sekarang peminat sudah lebih terbuka dan bijak, saya yakin mereka dapat membeza yang mana hanya khabar angin dan yang mana cerita benar," luahnya yang akan muncul dengan telefilem berjudul Mek lakonan bersama Remy Ishak.
Tasha tidak takut kontroversi

Tasha Shila juga tidak ketinggalan berada dalam senarai artis panas apabila namanya hangat di Internet gara-gara fotonya ketika menyambut hari lahir di sebuah kelab malam tersebar. Dia dikatakan menari penuh ghairah tarian tiang pada majlis hari lahirnya itu.
Bukan itu sahaja nama Tasha juga menjadi panas apabila dia dikatakan menjalinkan hubungan dengan VIP, minum arak di sebuah restoren terkemuka di pusat beli-belah Pavillion dan terbaharu Tasha dikatakan seorang lesbian.
Tertawa saat dia dikatakan lesbian kerana menganggap cerita itu lucu, kata Tasha, jika boleh dia enggan memperbesarkan isu kontroversi kerana sudah banyak komen diberikan berhubung isu tersebut.

"Saya tidak mahu komen lebih-lebih nanti orang kata saya cuba tegakkan benang yang basah pula. Saya tidak mahu panjangkan isu ini sebab saya tidak mahu orang ramai terlalu fikirkan kontroversi mengenai saya. Lebih baik jika mereka komen tentang lakonan saya." katanya.
Akui Tasha meskipun dia tidak mengambil pusing segala kontroversi yang terpalit kepadanya, sedikit sebanyak itu negatif itu menjejaskan perjalanan kerjayanya sebagai seorang aktres baharu.
"Sedikit sebanyak ia ada menjejaskan karier tetapi harus saya akui sejak kontroversi timbul semakin ramai pengikut saya di Twitter. Ada yang memberi sokongan dan ada juga yang memberi komen negatif.

"Apapun, saya tetap akan melakukan yang terbaik untuk diri dan juga peminat," jawabnya.
Sungguhpun begitu kata Tasha dia tidak takut dengan kontroversi membabitkan dirinya kerana dia yakin dia berada di pihak yang benar.
"Saya tidak takut sebab semua kontroversi itu tidak betul sama sekali. Ketika sambutan hari lahir saya di kelab, mana ada saya menari tarian tiang, rakan-rakan saya pun pelik di tiang mana pula saya menari.

"Memang saya mengaku yang saya ada sekali sekala ke kelab tetapi saya bukanlah kaki kelab, cuma hadir jika terdapat acara sahaja.
"Soal minum arak, gila ke saya melakukan perbuatan itu di restoren yang orang ramai lalu lalang. Gosip itu tidak berasas sama sekali," luahnya yang kini lebih berhati-hati dalam segala tindak tanduknya.

Tasha yang sudah dua tahun berada dalam industri seni tidak kecewa dengan kontroversi melandanya namun, dia berharap agar peminat lebih mengingatinya kerana lakonannya.
"Kalau boleh saya tidak mahu sebarang kontroversi kerana saya pertaruhkan bakat," terangnya yang kini sedang menjalani penggambaran drama Atas Nama Cinta dan Landasan Cinta.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters