Jom Buat Duit

Monday, 20 February 2012

Duda berang dijel





KOTA BHARU - Tindakan seorang duda mencederakan tiga anak kandung dengan menggunakan wayar elektrik dan paip getah kerana berang kad sim telefon bimbitnya dipatahkan menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Zawawi Dollah, 37, (gambar) selepas penganggur itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap anak-anaknya yang berusia tujuh, sembilan dan 11 tahun sehingga badan ketiga-tiga anaknya lebam.

Zawawi didakwa melakukan perbuatan mencederakan anak-anaknya itu dengan menggunakan wayar elektrik dan getah paip di sebuah rumah di Lot 122, Jalan Kuala Krai, Kok Lanas di sini pada pukul 6.30 petang, 13 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa bekas isteri tertuduh hendak menjemput ketiga-tiga anaknya yang berada di bawah jagaan tertuduh dia mendapati ketiga-tiga anaknya mempunyai kesan lebam pada badan akibat dipukul oleh ayah mereka.
Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah mencederakan anak-anaknya dengan menggunakan wayar elektrik dan getah paip.
Punca tindakan tertuduh disebabkan si bapa marahkan anak-anaknya kerana telah mematahkan kad sim telefon bimbit miliknya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam semasa membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan memohon supaya dia diberikan hukuman yang ringan.
"Saya mohon dikurangkan hukuman. Ini kesalahan pertama saya. Bukan niat saya hendak mencederakan mereka," ujarnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal supaya memberi pengajaran kepadanya.
Mohd. Fazaly Ali menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 15 Februari lalu dan dikenakan dua sebatan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters