Jom Buat Duit

Thursday, 5 January 2012

Haiza cuba pop komersial



PASARAN album yang menguncup dan berubah kepada trend ‘single’ turut ditempuhi oleh penyanyi lagu Dag Dig Dug, Haiza, bagi meneruskan kelangsungan kariernya. Berbekalkan tekad yang kental, penyanyi yang memulakan karier pada usia 15 tahun ini terus mempertaruhkan ‘single’ terbaru.
Menerusi syarikat miliknya, My Own Entertainment Management (MOEM), penyanyi berusia 32 tahun dari Benut, Pontian ini pernah menerbitkan ‘single’ pertamanya berjudul Marilah Pada Ku, tahun lalu.

Kini sebagai pembuka tirai 2012, Haiza tampil menerusi single seterusnya Semalam, hasil ciptaan Nawfas dan lirik Mawar Putih.

“Susunan muzik lagu Marilah Pada Ku ciptaan Omar K dan Audi Mok dulu masih tidak lari daripada unsur dangdut, tapi lagu Semalam menonjolkan muzik berkonsep pop komersial sepenuhnya tanpa ada unsur muzik dangdut. Susunan muziknya begitu berbeza daripada lagu saya sebelum ini.


“Ini kali pertama saya cuba buat kelainan selepas 17 tahun menyanyi. Bukan nak lari daripada dangdut, tapi ini sebahagian daripada tugas artis. Kita perlu ada pembaharuan dan perlu warnakan genre muzik supaya peminat tak bosan. Saya tak tinggalkan dangdut terus kerana masih menyanyikan muzik ini dalam setiap persembahan.

“Sebenarnya ada kisah menarik di sebalik pemilihan lagu Semalam sebagai single kedua saya. Lagu ini saya terima ketika pergi berbulan madu dengan suami (Norhanafpe Omar) ke Medan, Indonesia pada pertengahan 2011. Sebelum ini saya ada bertanyakan Nawfas kalau-kalau ada lagu yang sesuai untuk saya nyanyikan.

“Dia e-melkan lagu ini kepada saya dan apabila tengok liriknya saya dah suka. Kebetulan pula ketika itu, banyak kenangan manis saya lalui dengan suami di Medan,” katanya.

Apabila balik ke Kuala Lumpur, dia memperdengarkan lagu ini kepada adiknya dan mendapat reaksi positif. Begitu juga apabila diperdengarkan kepada beberapa pihak, semuanya mengatakan lagu ini sedap.

“Idea orang muda macam Nawfas memang segar. Saya terus berbincang dengannya dan setuju ambil lagu ini. Namun, saya minta padanya agar susunan muzik jangan terlalu pantas dan dimasukkan elemen muzik bossanova agar lebih seksi.

“Lagu ini sudah siap dan urusan promosi untuk stesen radio diserahkan kepada Pojie dan Nana yang berpengalaman. Saya lebih senang berikan tanggungjawab ini kepada pegawai promosi kerana mereka tahu kerja yang dilakukan. Mereka pasti akan ikut saluran yang betul untuk berurusan dengan semua pihak berbanding saya,” katanya.

Sebagai strategi promosi, Haiza nekad mengeluarkan modal untuk menghasilkan muzik video lagu ini. Tugas pengarahan diberikan kepada Shuhaimi Lua daripada Tanah Beris Film Production Sdn Bhd yang pernah menghasilkan filem pendek Chukang serta muzik video Farawahida dan Fazli Zainal.

“Saya kena memperjudikan nasib terbitkan muzik video ini. Tak sangka idea Shuhaimi juga menarik kerana jalan cerita yang dipaparkan ada kena mengena dengan kisah hidup saya. Kalau direnungkan ia sedikit sebanyak ada persamaan mengenai hubungan saya dengan seorang kawan lelaki satu ketika dulu.

“Tambah pula, Zain Saidin yang digandingkan dengan saya, berdarah campuran Melayu-Inggeris. Dulu kawan saya itu juga berdarah campuran Melayu Australia. Bayangkan kami berkawan daripada tadika hinggalah masuk sekolah menengah. Apabila saya bersekolah di Kuala Lumpur sejak mula menyanyi, kami tetap berjumpa setiap kali saya balik kampung.

“Namun, peliknya kami bukan bercinta walaupun ramai yang anggap begitu. Hubungan kami hanya terputus apabila kami meningkat dewasa. Selepas saya berkahwin, saya dapat khabar dia juga sudah bertunang dan seterusnya berkahwin. Kami masih berkawan sampai sekarang dan saya juga rapat dengan isterinya,” kata Haiza.

Pengalaman berlakon dengan Zain juga disifatkan amat menarik kerana Haiza awalnya malu-malu walaupun berbeza usia dengan Zain.

“Zain bagus dan berikan komitmen terbaik biarpun dia kurang sihat ketika itu. Bayangkan penggambaran dibuat bermula jam 7 pagi hingga 7 malam di Universiti institut Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Sebaik penggambaran berakhir dia mengucapkan terima kasih dan berbesar hati kerana saya memilihnya.

“Saya juga senang dengan Shuhaimi walaupun ini kali pertama bekerjasama. Cara kerjanya ringkas, tapi pantas tanpa menghabiskan banyak masa. Penggambaran di lokasi luar memang berisiko kerana keadaan cuaca tak menentu. Namun, kepantasan dia bekerja banyak menjimatkan masa.

“Proses suntingan dibuat dalam masa seminggu dan saya berpuashati dengan hasil muzik video ini. Saya juga berterima kasih dengan beberapa pihak yang sudi menaja pembikinan muzik video ini iaitu koordinator dari Szemie Artistic & Gallery, O’Oi Couture (pakaian), Miracle Touch By Epie Temerloh (solekan) serta lokasi dari Hotel UiTM Shah Alam,” katanya.

Ditanya mengenai zuriat dalam perkahwinannya yang sudah memasuki tahun kelima, Ogos nanti, Haiza akui memang teringin menimang anak.

“Memang ada pihak yang bertanya perkara ini. Kami sendiri pun sudah berusaha tapi belum ada rezeki lagi. Ada yang suruh kami ambil anak angkat tapi perancangan ke arah itu belum ada lagi dan perkara ini perlu difikirkan betul-betul.

“Nak ambil anak saudara sendiri pun, semuanya sudah dewasa. Malah, ada kawan-kawan media yang pergi ke Tanah Suci Makkah mendoakan supaya kami dikurniakan anak dan kami percaya ini semua ketentuan Allah S.W.T.
“Suami saya tidak mahu saya terlalu memikirkan perkara ini kerana bimbang saya jadi tertekan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters