Jom Buat Duit

Sunday, 8 January 2012

Fasha dan Neelofa Gaduh?

pix_middle

“GADUH? Bila pula kami bergaduh?” frasa spontan itu meluncur laju daripada bibir dua aktres jelita ini. Jelas riak terkejut di wajah Fasha Sandha, sekali gus menafikan perkhabaran kononnya mereka berseteru, bahkan tiada istilah tergugat seperti mana diperkatakan di beberapa blog gosip.
Sepanjang sesi fotografi eksklusif bersama SELEBRITI Rabu lalu, Fasha dan Neelofa dilihat berbual mesra ketika dirias jurusolek popular, Bosco dan Epie Temerloh.



Kata Fasha, bukan tidak peka dengan perkembangan sekeliling, tetapi jelasnya dia langsung tidak tahu- menahu mengenai cerita yang disensasikan itu.
“Maaf, saya tak pernah dengar cerita ini. Saya tak pernah baca blog, malah tidak ada sesiapa pun bercerita kepada saya. Selama ini saya tak pernah ambil peduli gosip dan cerita panas di Internet kerana bagi saya, itu semua tak perlu. Saya cuma melayari laman sosial Twitter (@FashaSandha1). Itulah medium yang menghubungkan saya dengan peminat.

“Bagi saya, Neelofa pelakon baru yang baik dan berpotensi pergi jauh. Apabila bertemu senior, dia tidak berat mulut untuk bertegur sapa. Bagi saya, sikap itu sangat bagus dan harus dikekalkan. Secara peribadi, saya selesa berbual dengannya biarpun hanya bertemu beberapa kali.

“Saya tidak boleh komen mengenai cerita murahan seperti ini kerana ia tidak berlaku. Tidak ada isu pun untuk diperbesar-besarkan,” katanya yang nampak anggun dalam persalinan rekaan terbaru Rizman Ruzaini.

Belajar daripada pengalaman, Fasha menjelaskan, dihimpit kontroversi adalah asam garam dunia artis. Justeru itu, tidak perlu cepat melatah, sebaliknya tangani dugaan itu secara tenang dan bijak. Paling penting, banyak bersabar kerana lama-kelamaan apa yang diperkatakan itu pasti reda dengan sendirinya.

“Tidak dinafikan, dua tahun pertama dalam industri, saya cepat melatah dan tertekan. Maklumlah, ketika itu saya belum matang. Lama-kelamaan saya mula memahami sepak terajang bidang ini dan boleh menerimanya dengan tenang.

“Lagipun tidak perlu risau kerana peminat pandai menilai mana yang benar dan mana tidak. Saya bersyukur ada peminat menerima saya seadanya dan jujur menyayangi saya,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman manis.

Reaksi berbeza daripada Neelofa yang sedia maklum, desas-desus kurang enak itu menjadi topik panas di Internet kebelakangan ini. Namun, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor tenang apabila persoalan hangat itu dibangkitkan.

Seakan-akan dapat membaca apa yang tersirat di fikiran penulis, sambil ketawa kecil si manis ini berkata, cerita itu sengaja diperbesar-besarkan, walhal antaranya dengan Fasha tidak ada apa-apa.

“Saya tidak pernah bergaduh dengan Fasha. Sebagai pendatang baru, saya menghormatinya. Ini gandingan kedua kami dalam sesi fotografi dan pernah bertemu dalam beberapa majlis.
“Biarpun ada nama besar dan disanjung ramai, Fasha melayan artis baru seperti saya dengan baik. Dia ramah dan mudah mesra, malah tidak lokek berkongsi ilmu. Setakat ini saya tidak ada masalah berbual dengannya.

“Hairan, antara kami tidak ada apa-apa, orang luar pula sibuk besar-besarkan cerita. Cara mereka bercerita ibarat artis bertarik rambut, padahal apa yang mereka perkatakan itu belum tentu sahih.

“Tolong jangan laga-lagakan saya dan Fasha. Saya masuk dalam industri kerana mahu kembangkan bakat, bukan mencipta nama dengan cerita kurang enak begini. Saya mengagumi bakat dan ketabahan Fasha. Dia anak seni yang berjaya,” katanya memohon pengertian supaya perkara ini bernoktah di sini.


Pelapis penting buat industri - Fasha

MESKIPUN artis baru muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, populariti Fasha tidak pernah tergugat. Akui Fasha, ramai bertanya macam mana dia boleh kekalkan populariti hingga ke hari ini.

“Sebenarnya tidak susah untuk ‘maintain’ kalau kita berniat baik, ikhlas, berdisiplin dan mencari rezeki untuk keluarga. Saya pernah lalui zaman kejatuhan, tetapi bangun semula dengan semangat baru.

“Saya wanita besi yang tidak ambil pusing apa orang cakap. Saya hanya perlu menghargai mereka yang sayangkan saya. Tak perlu fikir tanggapan negatif orang kerana ia hanya melemahkan kita.

“Ada juga yang tanya, tidakkah saya risau dengan kemunculan ramai pelapis baru. Kenapa pula saya perlu bimbang? Pelapis penting buat industri. Jika bekerja keras, kita akan mengecapi kejayaan, namun perlu ingat apabila tiba masanya, kerjaya kita akan perlahan dengan sendirinya.

“Mungkin ketika itu kita menceburi perniagaan atau berkahwin, jadi dengan adanya pelapis, industri akan terus meriah. Bayangkan kalau tidak ada pelapis, apa akan jadi? Pasti susah bukan?” kata Fasha yang turut menzahirkan rasa syukur, Salun Chinta miliknya mendapat sambutan.

Aktres yang sibuk dengan penggambaran filem Penanggal dan bakal muncul dengan drama rantaian Seindah Sakura menerusi slot Akasia TV3 ini berkata, usah pandang enteng wajah baru yang menghiasi industri.

Katanya, ramai yang berbakat besar dan mampu menghasilkan persembahan berkualiti. Ramai yang bagus di matanya, termasuk Neelofa, Johan Asa’ri, Tiz Zaqyah dan Ummi Nazeera.
Berbicara soal peribadi pula, cerita mengenai perkahwinannya dengan kekasih hati, Rizal Ashram (Jejai) terus melingkari kerjaya seninya. Malah, Fasha hanya ketawa panjang apabila perihal bilakah akan menamatkan zaman bujang diajukan.

“Terus-terang, saya belum bersedia mendirikan rumah tangga, malah belum sampai masa untuk saya memperkatakannya. Jika tiba masa satu hari nanti, saya akan maklumkan kepada semua. Yang boleh saya janjikan, apabila ada ketetapan nanti saya tidak akan merahsiakannya.

“Usia saya belum masuk angka 30, jadi tidak perlu beriya-iya bercerita soal perkahwinan. Lagipun bila banyak bercakap walhal perkara belum tentu berlaku, ia hanya mengundang banyak masalah. Jadi jalan terbaik adalah diam dan saya lebih selesa begini. Pinta saya, doakan yang baik-baik buat saya,” katanya riang.

Kata Fasha, jadualnya juga sangat padat hingga Mei depan. Waktu sama, pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABP2010) ini akan bercuti bersama peminat ke Jakarta serta Bandung pada 13 hingga 16 Januari ini.


Debaran Neelofa

DILABEL pendatang baru paling menyerlah, Neelofa mengakui jauh di sudut hati, ada rasa gentar. Harapan disandarkan peminat sungguh tinggi, walhal banyak lagi ilmu perlu digalinya.

“Paling saya takut andai tidak mampu capai apa yang diharapkan orang. Jujur, saya berdebar-debar menanti tayangan filem Azura kerana ia buah tangan sulung saya.

“Selepas Azura, baru saya menjayakan drama yang sudah ke udara di TV, termasuk Tahajjud Cinta dan Jiwa & Lara. Harap penonton yang melihat Azura nanti menilai persembahan saya sebagai kerja pertama.

“Saya akui bukan mudah berada di tahap ini dalam tempoh pantas. Saya kena ‘maintain’ dan kerana itu perlu berhati-hati dalam memilih strategi. Yang pasti, saya tidak mahu pendedahan keterlaluan kerana ia tidak bagus untuk jangka panjang.“Tahun ini, saya akan muncul dalam Nona hingga Disember dan Azura akan keluar tidak lama lagi, manakala filem Lemak Kampung Santan pula akan jadi penutup agenda 2012 saya.

“Bermula Mei hingga Julai, siri rantaian Dejavu arahan Erma Fatima akan bersiaran. Itu strategi saya di mana wajah saya sentiasa dapat dilihat sepanjang tahun ini,” katanya yang gembira dengan maklum balas positif banyak pihak terhadap gaya penyampaian bersahaja ketika mengacara program majalah wanita popular Nona.

Mengenai kekasih, dengan jujur Neelofa mengakui belum ada cinta di hatinya. Pun begitu, gadis ini tidak menyembunyikan hakikat ada rapat dengan seseorang tetapi atas dasar persahabatan, malah ada yang cuba mendekati tetapi hatinya belum terbuka.

Jelasnya, tidak perlu terburu-buru kerana dia masih muda, bahkan soal cinta tidak boleh dipaksa-paksa, kelak memakan diri. Biar ia datang dengan sendiri dan apabila bertemu insan yang benar-benar mampu menawan hatinya dan
keluarga satu hari nanti, pasti dikongsi perkhabaran gembira itu.

“Kadangkala saya kasihan dengan diri sendiri. Bukan tidak ada yang mahu, tetapi bukan senang nak mencari yang memenuhi kriteria. Selain boleh bergaul mesra dengan keluarga saya, orang itu mesti faham jadual kerja saya. Itu yang susah kerana tidak semua orang boleh terima.

“Buat masa ini saya tidak akan mencari dan kalau hati tiba-tiba terbuka satu hari nanti, saya akan terima secara perlahan-lahan.

“Bukan mudah bercinta apabila bergelar artis. Perjalanan hubungan itu akan jadi perhatian dan ia boleh dibangkitkan sebagai isu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters