Majistret Nor Azlina Hashim memerintahkan tertuduh, Mohd Hakimi Samsul, 20, membela diri selepas yakin pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya dan menetapkan 12 dan 13 Januari depan untuk kes pembelaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Hakimi didakwa melepaskan tembakan dengan HK MP5 tanpa alasan yang sah hingga mencederakan Mohd Azizi Azri Aziz.
Tertuduh yang bertugas di Balai Polis Rahang didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Jelebu menghala ke Pantai jam 3.30 pagi, 8 Mei lalu.
Dia kini digantung kerja didakwa mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kali pertama anggota polis itu didakwa pada 28 April lalu dan Mohd Hakimi dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam Param Sundram. Sebelum ini akhbar melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera ditembak polis kerana tidak memberhentikan motosikalnya selepas diarahkan kereta polis peronda (MPV).
Insiden dikatakan bermula di depan pusat beli-belah di Jalan Dato Siamang Gagap apabila kereta peronda dinaiki dua anggota polis mengejar sekumpulan 20 penunggang motosikal, termasuk Mohd Azizi.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh dipetik berkata, pihaknya menggantung kerja serta-merta terhadap anggota polis berpangkat konstabel itu susulan insiden itu bagi melakukan siasatan sebelum didakwa di mahkamah.
No comments:
Post a Comment