KUANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun maut dilanggar
kereta bapa saudaranya yang sedang mengundur di perkarangan rumahnya di
Kampung Sungai Miang, Pekan, malam tadi.
Nur Izzati Abdul Kadir dari Kampung Cenderawasih Fasa 2, Sungai Miang, mati akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi
Abdul Rahim berkata kanak-kanak itu dikatakan keluar dari rumah tanpa
disedari ibunya yang ketika itu meninggalkannya untuk membancuh susu di
dapur.
"Kejadian pada pukul 10.15 malam itu disedari jiran mereka sebelum
menjerit memaklumkan kepada bapa saudara kanak-kanak itu yang berusia 24
tahun," katanya.
Beliau berkata kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Pekan sebelum
dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan dia disahkan
mati di HTAA ketika menerima rawatan. - Bernama
No comments:
Post a Comment