SEPANJANG tahun lalu, ramai bintang baru dalam lakonan muncul, namun ia sekali-kali tidak pernah menggugat kehebatan Eja.
Pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin ini jelas membuktikan bakat dan pesonanya tetap hebat apabila menang dua gelaran Aktres Terbaik pada Anugerah Skrin 2011 dan juga Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem seram Janin.
Pada usia 39 tahun dan 15 tahun berjuang tanpa kenal jemu, Eja akhirnya merangkul trofi kemanisan tanpa bersandarkan paras rupa atau terjebak dengan publisiti murahan. Sememangnya dia boleh dijadikan contoh.
Ketika ditemui Rap, baru-baru ini, Eja akui bukan kerja mudah untuk bertahan dalam bidang seni tanah air.
“Sebaik saja kita keluar rumah, dari hujung rambut hingga hujung kaki kita akan diperhatikan orang. Setiap perlakuan dan tindakan kita perlulah dijaga. Kita juga perlu berbaik dengan semua orang dan janganlah mencari musuh dalam bidang seni ini.
“Terus terang, saya tidak ada ramai kawan rapat dalam bidang seni kerana selepas habis penggambaran di lokasi, saya kena terus balik rumah untuk bersama suami dan anak. Itulah saja ‘privacy’ yang masih saya ada iaitu apabila bersama keluarga,” katanya yang selalu nampak cantik.
Kata Eja, rahsia kejayaan menjadi anak seni yang berjaya adalah melakukan kerja dengan ikhlas dan jangan ada agenda tersembunyi.
“Kalau seseorang itu masuk dalam bidang seni ini sekadar menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mencari jalan pintas glamor atau menjerat golongan kenamaan, ia pasti tidak akan kekal lama.
“Kalau begitu niatnya ia tidak akan ke mana kerana orang itu tidak akan fokus lagi kepada kerjayanya. Ia hanya akan memakan diri,” ujarnya.
“Saya sedar kerjaya lakonan perlukan pengorbanan yang tinggi. Kita juga jangan lekas jemu.
“Saya memang seorang yang degil dan berani untuk mencuba sesuatu yang baru terutama untuk peningkatan dalam karier lakonan. Suami memang faham dengan sifat degil saya itu.
“Saya juga tidak pernah kenal erti putus asa. Semuanya kerana cinta yang begitu mendalam dalam bidang seni serta sudah sebati dalam diri saya.
“Apapun, sejak menjadi ibu, saya perlu bijak bahagikan masa supaya rumah tangga tidak
terabai. Saya bertuah kerana suami saya cukup memahami isterinya yang bekerja 16 jam sehari ini,” katanya yang bersuamikan Mohd Silahuddin Jamaluddin.
Sebelum ini, Eja pernah mengungguli kategori Pelakon TV/VCD Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 2004 (ABPBH2004); Pelakon Wanita Pilihan menerusi filem Bilut (FFM 2006) dan Pelakon Drama Berunsur Islam TV Wanita Terbaik (Anugerah Media Islam Negara 2008).
Ternyata, rezeki ibu kepada Nur Eishal ini semakin melimpah sejak menang anugerah yang menjadi idaman semua anak wayang. Berbanding dulu, kini, dalam tempoh sebulan, dia dapat tawaran berlakon tiga filem sekali gus.
“Ia anugerah kelima buat saya sepanjang berkecimpung dalam bidang seni. 2011 juga tahun bersejarah buat saya. Saya kembali berlakon pada Ogos 2010,” katanya.
Apapun, Eja menafikan dia berlakon kerana mengejar anugerah semata-mata.
“Bagi saya, setiap produksi yang saya buat, saya akan beri 100 peratus komitmen. Apa yang penting, kita ikhlas, sabar dan bersungguh-sungguh.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, kejayaan akan datang juga satu hari nanti. Kemenangan tidak akan datang dengan jalan mudah,” katanya.
Menang anugerah juga bukan bermaksud Eja sudah boleh ‘demand’ atau letak harga.
“Tak perlulah nak ‘demand’. Selama ini pun saya bersyukur dengan bayaran yang saya terima, cukup untuk makan minum dan pakai,” katanya ringkas.
Namun, kata Eja, perlulah diingat kerana kejayaan bagi seseorang anak seni itu turut disokong dengan bantuan orang lain yang terbabit di sekeliling individu itu.
Kenapa Eja nak jumpa Ogy?
WALAUPUN sudah menang anugerah besar, Eja tetap menganggap dirinya masih serba kekurangan dan ingin terus menimba ilmu lakonan.
Justeru dia tidak berfikir dua kali apabila mendengar kelas lakonan yang yang dianjurkan aktres handalan, Fauziah Ahmad Daud (Ogy).
“Menang anugerah juga bukan bermaksud kita sudah terbaik dalam semua aspek. Apabila kita ke kelas lakonan, ia akan tentu menambah lagi ilmu sedia ada dan lakonan kita boleh diperbaiki lagi. Apa yang dipelajari boleh digunakan dalam projek lakonan akan datang.
“Saya percaya, pelakon juga perlu ada ilmu dalam misi untuk menjadi pelakon yang hebat sekali gus menaikkan kualiti produk seni tempatan.
“Jadi apabila Kak Ogy beritahu dia akan anjur kelas lakonan tahun depan (2012), saya terus bersetuju kerana ingin menimba ilmu dengan pelakon hebat sepertinya,” kata Eja.
Dalam pada itu, duta produk Go Cell ini turut terkilan tidak dapat kerja dengan seorang lagi bintang berkaliber, Ellie Suriaty yang baru mengarah filem genre seram, Penanggal terbitan Astro Shaw dan Grand Brilliance Sdn Bhd. Ellie juga seorang tenaga pengajar lakonan dan pernah membantu aspek lakonan Maya Karin dan Lisa Surihani bagi filem Ombak Rindu.
“Saya sudah dapat skrip untuk watak Sharifah Zahrah dalam filem itu tapi sayangnya tidak dapat berlakon kerana ada masalah pertembungan jadual penggambaran. Watak itu kini dilakonkan Fasha Sandha. Saya ingin sangat bekerja dengan Ellie kerana dia ada ilmu lakonan yang baik.
“Apabila mendengar Ellie melangkah setapak lagi untuk mengarah filem, saya memang teringin bekerja dengannya.
“Selain itu, saya ingin bekerja dengan pengarah filem yang kreatif seperti Zarina Abdullah yang berjaya menonjolkan Natasha Hudson dalam filem Chermin. Saya juga sudah lama tidak dengar cerita Zarina selepas filem Chermin? Apa yang dia lakukan sekarang? kata Eja.
Menyentuh kedatangan Tahun Baru 2012, Eja mengharapkan yang lebih baik buat kerjaya seninya.
“Saya sentiasa menunggu watak yang sesuai dengan usia saya sekarang. Watak remaja atau gadis pakai seragam sekolah tentu tidak sesuai lagi dengan saya.
“Kalau di Hollywood, bintang filem senior seperti Judi Dench dan Robert Redford masih lagi bawa watak utama tetapi watak itu kena dicipta khas buat usia mereka,” katanya.Dalam pada itu, peminat juga berpeluang menonton lakonan Eja pada tahun ini menerusi siri baru 13 episod, Tulus Meniti Takdir arahan dan skrip Rina Khan terbitan Layar Viana Sdn Bhd serta Masih Membara Cintaku.
7 mengenai Eja
Biru
Ubat batuk
Pasar Malam Bangsar Baru
Saiz 38
Puss In Boots
Daging kentang goreng berlada
Pulau Tioman
No comments:
Post a Comment