TAHUN lalu, nama pengarah prolifik,Osman Ali hangat
diperkatakan setelah beberapa pihak mempersoalkan kewajarannya
mengetengahkan beberapa adegan asmara di antara Haris dan Izzah menerusi
filem Ombak Rindu.
Malah, jika dilihat, keberanian Osman meletakkan beberapa babak boleh
dianggap ‘daring’ dalam filemnya sebelum ini seperti Puaka Tebing Biru
dan Anak Halal menyebabkan ada pihak mengandaikan Osman sengaja mencipta
kontroversi untuk menarik penonton ke pawagam.
Terbaru, tidak mustahil keberaniannya menyelitkan beberapa babak asmara
dalam filem Jiwa Taiko akan mengundang kontroversi dan pertikaian
seperti yang terjadi ketika tayangan filem Ombak Rindu tahun lalu.
Bagaimanapun, Osman menjelaskan, segala paparan yang dimainkan dalam
filem terbarunya itu adalah sebahagian dari kisah benar kehidupan remaja
liar zaman ini.
Katanya, bukannya mahu menggalakkan pergaulan bebas, sebaliknya segala
cerita yang diketengahkannya itu sememangnya berlaku dalam masyarakat
kita sama ada kita sedari atau tidak.
“Sejujurnya, bila kita buat filem yang mengetengahkan masalah remaja
masa kini, kita angkat isu seperti pergaulan bebas, penonton akan
melihat pada babak-babak yang ‘daring’.
“Padahal setiap paparan, ada mesej yang mahu saya sampaikan dan
bukannya saya mahu mempromosikan gaya hidup mereka serta seterusnya
menggalakkan remaja lain mencontohinya.
“Contohnya mesej yang saya cuba sampaikan, apa yang akan terjadi ekoran
tindakan kita yang tiada kawalan dan mungkin terjebak dengan penyalah
gunaan dadah, mengandung anak luar nikah dan banyak lagi,” terangnya.
Bercerita mengenai filem terbarunya itu, Osman berkata, pihaknya telah
melakukan hampir 30 peratus pemotongan dan 10 peratus lagi dibuat oleh
Lembaga Penapisan Filem (LPF).
“Nasihat saya lihat filem ini dengan fikiran terbuka dan pandangan yang
positif. Lihat apa mesej yang cuba saya sampaikan,” pintanya.
No comments:
Post a Comment