Jom Buat Duit

Friday 9 December 2011

Maharaja Lawak Mega - Kumpulan 3G Tersingkir Pada Minggu ke 6







KEJUTAN berlaku pada malam persembahan minggu keenam pertandingan Maharaja Lawak Mega terbitan Astro, Jumaat lalu apabila dua kumpulan pilihan ramai, iaitu 3G yang dianggotai Yassin Yahya (Yassin), Fadzilah Mohammad @ Ali (Didie Alias) dan Alliza Abdullah (Enot) tersingkir selepas menerima markah kedua terendah dengan 52 mata.

Turut disingkirkan pada malam itu kumpulan berasal dari Indonesia, Bawel yang dianggotai Dodon Jambul (Dodon), Amir Suhermin (Amin Bawel) dan Dadang Koswara (Dadang).
Mereka berada di tangga paling bawah dengan 49 mata.

Melihat daripada situasi itu ternyata persembahan bagus ditampilkan bukanlah menjadi faktor penentu.

Sebaliknya dalam peringkat ini, juri memberikan pengaruh besar terhadap penonton dalam membuat penilaian sekali gus memberikan undi kepada pelawak bertanding.

Tambahan pula, juri sendiri mempunyai kuasa apabila 50 peratus markah datang dari mereka.

Ini jelas dilihat apabila kritikan dibuat Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan terhadap 3G, sudah mempengaruhi penonton sehingga menyebabkan kumpulan itu disingkirkan dalam persaingan bertemakan muzikal itu.

Turut menjadi juri tetap, bekas jaguh bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan dan Datuk Siti Nurhaliza, sementara penyanyi utama kumpulan Padi, Fadly menjadi juri jemputan.

Perkara ini turut diakui Didie mewakili 3G yang ditemui di sidang media khas.

Katanya, pengaruh juri pertama iaitu Chef Wan sangat besar dan apa saja yang dikatakan pasti didengari penonton Maharaja Lawak Mega.

“Pada awalnya kami dikritik Datuk Siti Nurhaliza.

“Bagi saya apa yang dinyatakan olehnya sudah dianggap baik, bagaimanapun apabila Chef Wan menyatakan kelemahan kami, saya sudah dapat merasakan bahawa ia akan memberi kesan kepada pola undian dan sokongan penonton,” katanya.

Jelas Didie lagi pada malam persembahan itu mereka sudah cuba melakukan yang terbaik, bagaimanapun dalam waktu sama tidak menafikan tema persembahan secara muzikal sebenarnya adalah satu cabaran besar untuk mereka.

Dari sudut persembahan kumpulan 3G, boleh dianggap kreatif apabila menampilkan lawak bersahaja dengan mengambil latar pertandingan Sukan Sea, yang berlangsung di Jakarta dan Palembang, Indonesia baru-baru ini. Waktu sama mereka cuba menerapkan semangat patriotisme.

Namun dalam kritikannya, Chef Wan berkata bahawa apa yang dipersembahkan 3G agak kosong, dan tiada pengisian lawak.

Menjelaskan mengenai kritikan diterima, kata Didie, 3G cuba menampilkan lawak menerusi himpunan lagu disampaikan dan pergerakan tubuh.

Sementara itu Bawel pula menafikan perbezaan budaya dan bahasa menjadi antara punca kepada penyingkiran mereka pada persaingan minggu keenam.

“Lagipun apa yang kami lakukan adalah untuk menimba pengalaman.

“Sepanjang pembabitan kami dalam rancangan Maharaja Lawak Mega, kami banyak bertanya kepada teman-teman di sini terutama membabitkan komunikasi.

“Apatah lagi dari sudut makna satu-satu perkataan itu.

“Kami tidak punya masalah dan berasa senang kerana semua teman-teman yang sama-sama menyertai pertandingan ini banyak membantu. Ibaratnya kami sudah seperti satu keluarga.

“Anggota kumpulan Bawel banyak belajar sepanjang menyertai pertandingan ini.
“Adat pertandingan menang dan kalah itu perkara biasa. Kami menerima keputusan dibuat dengan tangan terbuka,” katanya.

Pada persaingan minggu keenam turut memperlihatkan kebangkitan satu-satunya peserta solo, Adlin Aman Ramli.

Walaupun berada di tangga paling bawah sebelum persaingan bermula, ia langsung tidak menghalangnya untuk memberikan persembahan terbaik.

Pujian juga harus diberikan kepada kumpulan ‘otai’ Osbon yang dianggotai Mohd Yusof Abdul Hamid, Mr.Os dan Sharizah Ahmad (Abon) menampilkan lawak Michael Jackson. Persembahan mereka cukup mencuit hati.

Mereka berdua berada di tangga teratas selepas undian dibuat peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan markah diberikan juri.

Turut bertanding pada minggu keenam Maharaja Lawak Mega, kumpulan Pimai, Boboi, Syok, Bawal Power (BP) dan Saehu juga dari Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters