KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya RM4 juta akan berada dalam
genggaman Datuk Lee Chong Wei andai jaguh badminton negara itu meraih
pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.
Sebanyak RM2 juta berupa wang tunai dan RM2 juta lagi berbentuk
jongkong emas bakal menjadi milik Chong Wei yang kini semakin hampir
menjelmakan emas sulung Olimpik buat kontinjen Malaysia.
Selain RM1 juta yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
menerusi insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada setiap
pemenang pingat emas Olimpik, sebuah syarikat perabot, 3V Holdings Sdn.
Bhd. turut menawarkan ganjaran yang sama.
Terbaharu, Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) tampil dengan ganjaran
tersendiri apabila menawarkan jongkong emas bernilai RM2 juta hanya
kepada pemain badminton negara yang berjaya membawa pulang pingat emas
dari London.
Inisiatif yang dilakukan oleh 3V Holdings Sdn. Bhd., KLRC serta pihak
kementerian itu harus diberi pujian kerana ia secara tidak langsung
membakar semangat barisan atlet negara meraih emas Olimpik.
Diminta mengulas mengenai ganjaran itu, Setiausaha Kehormat Majlis
Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, ia bakal melonjakkan
lagi semangat atlet Malaysia dalam misi memburu emas Olimpik.
"Ganjaran besar yang menanti atlet-atlet Malaysia pada Sukan Olimpik
2012 di London sudah pasti menaikkan semangat mereka untuk memburu
pingat emas.
"Jadi saya juga berharap mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk
merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia membawa pulang pingat emas
sulung Olimpik," kata Kok Chi.
Bagaimanapun, Chong Wei, 30, harus terlebih dahulu menumbangkan musuh
tradisinya dari China, Lin Dan pada aksi final acara perseorangan
lelaki Olimpik 2012 di Arena Wembley malam ini jika berhajat meraih
ganjaran lumayan itu
Atas kertas, tugas Chong Wei tidak semudah yang dijangka kerana Lin
Dan turut menjadi watak 'pemusnah' di sebalik kegagalan pemain kelahiran
Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu meraih emas pada Olimpik 2008 di
Beijing, China.
Biarpun sekadar membawa pulang pingat perak empat tahun lalu, Chong
Wei tetap dianggap sebagai wira negara dan prestasinya di Beijing turut
mendapat pujian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagi menghargai keringat Chong Wei meraih pingat perak, beliau telah
dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) oleh kerajaan Pulau
Pinang yang membawa gelaran Datuk.
Hasil kejayaannya membawa pulang pingat perak itu juga, Chong Wei
menerima wang tunai sebanyak RM300,000 menerusi insentif Shakam, selain
diberikan pencen bulanan RM3,000 bermula 1 September 2008.
No comments:
Post a Comment