SIASAT...anggota polis memeriksa kenderaan dan rumah yang diserang, semalam.
KOTA BHARU: Serang, tembak, tetak dan bakar. Itu dilakukan sekumpulan lelaki termasuk dua bertopeng yang bertindak ala mafia ketika menyerang sebuah rumah di Kampung Che Arus, Kok Lanas, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, dua lelaki, Mohd Azreen Mohd Zain, 23, dan Mohd Raihan Razali, 25, parah akibat ditembak dan ditetak sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA).
Mangsa kemudian terpaksa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Kedua-dua mangsa bukan ahli keluarga pemilik rumah tetapi hanya bermalam di situ dan kejadian berlaku ketika Mohd Azreen dan Mohd Raihan serta tiga penghuni rumah itu termasuk seorang bayi berusia enam bulan sedang tidur.
Mohd Azreen yang ditemui di HTA berkata, sekumpulan lelaki tiba-tiba meluru masuk ke rumah berkenaan ketika mereka sedang tidur.
“Saya terkejut apabila tiba-tiba mereka datang dan terus menyerang kami yang tidur.Dalam keadaan kelam kabut, saya ditembak di paha kanan dan ditetak pada bahu kanan,” katanya yang masih lemah.
Mohd Raihan yang ditembak di kaki kiri, bagaimanapun gagal ditemu bual.
Ibu kepada Mohd Raihan, Rosidah Zakaria, 43, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang rakan anaknya pada jam 8 pagi semalam.
“Tiba-tiba saya dikejutkan dengan berita ini dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Semua anggota keluarga pemilik rumah itu tidak dicederakan oleh kumpulan penjenayah terbabit, namun rumah mereka, kereta Perodua Kelisa dan satu motosikal musnah akibat dibakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Wan Ngah Wan Long memaklumkan, pihaknya menerima panggilan jam 6.24 pagi berhubung kejadian kebakaran di kampung berkenaan.
Katanya, sebaik tiba, mereka dapati rumah terbabit termasuk sebuah kereta Perodua Kelisa dan sebuah motosikal musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.
No comments:
Post a Comment