Jom Buat Duit

Tuesday 20 March 2012

Bukan cinta yang Che Ta kejar

JELITA...gembira dengan kebahagiaan yang dilalui bersama anak-anak.
JELITA...gembira dengan kebahagiaan yang dilalui bersama anak-anak.

AGAKNYA Rozita Che Wan dilahirkan ke dunia seni ini untuk menjadi ‘bahan’ gosip. Tidak habis-habis namanya diheret ke kancah gosip sejak hari pertama menjadi artis.
Yang pasti, kalau diberi pilihan, tiada siapa mahu jadi bahan percakapan orang. Kalau yang memberikan manfaat tidak mengapa juga sebaliknya, gosip yang entah apa-apa.

Terbaru, berlegar gosip kononnya Rozita atau nama sebenarnya, Rozita Abu Bakar@Che Wan dilihat bersama Shahir AF8 lagi di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Versi lain pula mendakwa jejaka itu bukannya Shahir tetapi pelakon seksi kacukan Melayu-Inggeris, Zain Saidin.Saat memperjelaskan isu berkenaan, Rozita mesra disapa Che Ta dalam loghat utara menebal, tidak henti-henti ketawa.“Baru-baru ini, seorang wartawan daripada sebuah akhbar bertanya, ada peminat nampak saya pegang tangan dengan Shahir di Sungei Wang.

“Sungei Wang? Hai, agak-agak jugalah kalau nak bergosip pun. Bukan tujuan nak cakap Sungei Wang bukan pusat beli-belah pilihan saya, cuma dalam umur begini, saya tak nampak apa tujuan saya nak ke tempat yang sesak dan dipenuhi remaja itu.

“Terus-terang dah lama tak jejak kaki ke sana, dulu-dulu masa muda-muda adalah sekali dua,” jelasnya.

Pada temu bual itu, Rozita juga menjelaskan lebih lanjut hubungannya dengan Zain.

“Kami memang kawan rapat tapi bukanlah bercinta. Kami jadi rapat sewaktu berlakon drama Kiah Pekasam. Zain ini mudah sangat percaya orang, semua orang dia rasa baik.

“Sebaliknya, saya yang sudah senior selalu berpesan agar dia lebih berhati-hati. Jadi, apabila dia diperdaya orang, dia akan bercerita dengan saya. Pendek kata, kami macam adik dan kakak,” jelas Che Ta.

Terbiasa sendirian dan selesa menjalani hidup tanpa lelaki, cinta bukan lagi keperluan utama yang dikejar Che Ta sekarang. Paling penting, kasih sayang buat anak-anaknya, Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14.

“Tak perlu nak cakap ‘I love you’ 100 kali kepada saya sebab saya takkan cair! Saya ni dah berusia dan tak termakan dengan ayat-ayat pancing sebegitu!

“Dalam perhubungan, saya mencari pasangan yang memahami dan terima bahawa suara wanita juga penting untuk didengar dan diberi perhatian lebih-lebih lagi soal rumah tangga.

“Kalau asyik nak kena ikut cakap mereka (lelaki) saja, baiklah saya solo begini - tak payah pening kepala!” katanya sambil ketawa.

Menyambut ulang tahun ke-41 pada 9 Mac lalu, Che Ta turut diraikan One Drop Perfumes dalam sebuah majlis dinamakan ‘Intimate Evening & Fancy Dinner With Rozita Che Wan’. Ia membabitkan empat daripada lima pemenang peraduan ‘online’ jenama haruman popular itu.

Mereka adalah Hamizah Othman, 44, Mohd Shazwan Shamsudin, 30, Nor Aini Abu Hasssan, 49, dan Zafifi Ideris, 29. Manakala seorang lagi, Nahriel Otoh Dikih, tidak hadir.

Berlokasikan restoran berputar, Menara Kuala Lumpur, Jumaat lalu, penampilan Che Ta tidak membayangkan langsung dirinya melewati gerbang 40-an.

Malah kejelitaannya juga memukau pelancong dan membuatkan salah seorang tetamu dari Kanada berulang kali menghampiri dan memuji kejelitaannya malam itu.“Biar macam manapun luaran saya nampak muda, yang pasti enjin ‘dalaman’ dah tua. Macam kita beli kereta zaman 1980-an, biar dicat baru tapi enjinnya tetap lama juga,” katanya dengan penuh rendah hati.

Sambungnya lagi: “Begitu juga dengan saya, mungkin orang tak percaya saya dah cecah 40 tahun tapi hakikatnya saya tak boleh nak aktif-aktif macam orang muda.”

Beralih kepada topik kerjaya, Che Ta baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod, Bunga Bunga Cinta (BBC) arahan Cik Li yang disiarkan menerusi slot Zehra, setiap Jumaat, jam 9 malam di TV3.

BBC memberi pengalaman baru buatnya kerana itulah kali pertama dia membawakan watak jahat. Akui Che Ta watak Baidah cukup mencabar.

“Bagi pelakon lain mungkin Baidah watak mudah tapi tidak bagi saya. Selain tak pernah bawa watak jahat, saya selalu tak sampai hati nak buat aksi penderaan dalam drama itu termasuk meninggikan suara.

“Menerusi drama ini, Baidah terpaksa membesarkan tiga anak saudaranya disebabkan wasiat suami dan dalam masa sama mahu menguasai harta mereka. Kanak-kanak itulah menjadi mangsa Baidah kerana dendamnya terhadap suami yang pernah curang.

“Pada peringkat awal susah untuk saya selami watak ini kerana lontaran dialog kata pengarah tak cukup garang dan adegan pukul tak nampak ‘real’. Tapi lepas itu semua OK,” katanya lebih gemar membawakan watak komedi.

Merehatkan diri selama seminggu sebelum kembali ke set penggambaran untuk drama 26 episod, Cinta Chef, kali ini Che Ta bakal bergandingan dengan pelakon muda mencipta nama, Izara Aishah dan Johan As’sari.

“Belum lagi masuk set, saya dah dapat membayangkan betapa lucunya cerita ini. Masakan tidak, saya memegang watak pemilik sebuah hotel berebutkan seorang chef dengan anaknya sendiri lakonan Izara Aishah,” katanya.

Pada penghujung Jun pula, Che Ta akan terbabit dalam penggambaran filem arahan Micheal Ang, KL Meroyan yang turut dibintangi Didie Alias serta pelakon yang biasa bekerjasama dengan pengarah itu seperti Erra Fazira dan Sharifah Shahora.

Tawaran Micheal Ang pada Che Ta memang sukar ditolak kerana keseronokan bekerja dengan kawan-kawan.

“Sebelum masuk set penggambaran KL Meroyan, pada Mei nanti saya serta pelakon-pelakon Pontianak Beraya Di Kampung Batu sekali lagi terbabit dengan penggambaran musim kedua drama berkenaan.

“Insya-Allah, difahamkan drama itu masih diterajui Erra dan Amy Mastura. Apa yang seronoknya setiap kali masuk set penggambaran Micheal, semua yang terbabit adalah kawan-kawan. Cuma yang tak tahan sikit, Micheal suka sangat ‘shooting’ subuh-subuh.

“Saya masih ingat masa kami menjayakan musim pertama Pontianak Beraya Di Kampung Batu, ada satu babak selepas Erra dan Didie menyanyi, tiba pula giliran saya menyanyi. Elok buka mulut, hujan terus turun. Habislah saya jadi bahan ejek mereka.

“Memang lawak. Saya cakap dengan Micheal, kalau ada babak minta saya nyanyi, dia kena beri bayaran lebih sebab nak kena pergi kelas vokal dulu!” kata Che Ta.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters