Jom Buat Duit

Tuesday 20 March 2012

Kumpulan Edcoustic - Tidak syok sendiri

ADA ketikanya, sesuatu itu mengambil masa untuk meresap ke jiwa, tetapi selepas mendengarnya berulang kali, sukar pula melupakannya. Ini adalah realiti dilalui kumpulan Edcoustic yang semakin popular di Indonesia.
Dengan menggabungkan hujung nama penuh masing-masing, Eggie Gusthaman Nuryadi (Eggie), 28, selaku gitaris dan Deden Supriadi (Aden) vokal), 32, mereka mewujudkan duo memperjuangkan irama pop inspiratif.


Genre ini jarang didengar tetapi adalah aliran melodi cuba diperkenalkan di Nusantara. Buat masa ini, lagu mereka semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar berjiwa romantik di Indonesia dan digemari pendengar Malaysia khususnya mereka yang sering mengikuti perkemba�ngan muzik semasa menerusi YouTube.

Setakat ini, Edcoustic sudah menghasilkan dua album sulung bertajuk Masa Muda pada 2004. Album kedua berjudul Sepotong Episod menemui peminat pada 2008. Tahun ini, mereka tampil dengan Koleksi Hits Muhasabah Cinta yang sudah memasuki pasaran negara ini

Menceritakan pengalaman mereka, Eggie berkata, mereka bukan jenis kumpulan terburu-buru menghasilkan album mengikut trend dan syok sendiri.

“Kami mengambil masa empat tahun untuk mengeluarkan satu album. Kami mahu menjadikan muzik sebagai inspirasi dan perangsang kepada masyarakat agar mereka dapat meneruskan hidup dengan cara yang positif dan tenang.

“Lirik Edcoustic banyak memuji Allah s.w.t dan mengenai kemanusiaan. Kami ada cara tersendiri menyanyi yang diiringi gitar akustik dan paling penting lirik memberi semangat kepada sesiapa mendengar�nya,” katanya.

Turut hadir bersama mereka adalah penyanyi kolaborasi dalam lagu Muhasabah Cinta, Arya Dewa Bima Samudra, yang pernah menyertai Indonesian Idol.

Edcoustic berada seminggu di Malaysia untuk sesi temu bual bersama stesen TV, radio dan media cetak untuk mempromosikan Koleksi Hits Muhasabah Cinta. Ia adalah kehadiran kali kedua mereka di sini di mana mereka pernah membuat persembahan akustik di Kota Bharu, Kelantan tahun lalu.

Untuk pasaran di sini, Koleksi Hits ini diedarkan oleh Inteam Records (M).
Kompilasi ini memuatkan 12 lagu termasuk satu lagu Jepun bertajuk, Kamisama. Lagu lain, Jalan Masih Panjang, 7 Surga, Di Persimpangan Aku Berdiri, Menjadi Diriku dan Pertengkaran Kecil.

Selaku vokalis, Aden, 32, mengakui ramai peminat dan pendengar mengatakan lagu mereka seperti lagu nasyid.

“Lagu kami menjurus kepada pop dan banyak menonjolkan mesej persahabatan. Kami selesa dengan penampilan sekarang memandangkan lagu akustik lebih senang diterima masyarakat. Apa kami perlukan adalah pendekatan, mesej dan lirik yang boleh sampai ke hati manusia dari satu tempat ke tempat lain.

“Muzik adalah sejagat dan bukan satu pertandingan siapa hebat atau sebaliknya. Muzik sepatutnya inspirasi dan menjadi perantara menyatukan manusia dan dapat mewujud�kan keamanan dalam jiwa.

“Mesej dalam lagu ini mengi�ngatkan kami sendiri sebagai insan dan fitrah manusia sentiasa berada dalam kealpaan tetapi Allah s.w.t masih memberi kesempatan untuk bertaubat. Suatu hari nanti kita semua akan kembali kepada-Nya,” katanya.

Edcoustic juga berharap dapat berkolaborasi dengan artis tempatan pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters