KALI terakhir kelibat Ifa Raziah muncul di layar kaca televisyen pada awal tahun ini menerusi telefilem berjudul, Mr. Labuci di TV9. Sebelum itu dia giat mempersiapkan diri sepanjang menyertai program Maharaja Lawak yang disiarkan menerusi Astro.
Timbul beberapa dakwaan bahawa penyanyi, pengacara, pelakon dan kini merangkap pelawak itu kini sudah berani meletakkan harga yang tinggi untuk bayaran khidmat seninya!
Spekulasi segera timbul bahawa faktor tersebut adalah penyebab kenapa pemilik nama sebenar Saripah Raziah Mustapha itu semakin kurang muncul di kaca televisyen.
Ifa, 37, yang ditemui pada sidang akhbar majlis makan malam Hari Ibu bersama Jamal Abdillah di Restoran Khan Baba, Gombak, Selangor baru-baru ini menjawab spekulasi yang timbul.
Kosmo!: Ifa didakwa semakin cerewet dan menolak beberapa tawaran selepas Maharaja Lawak tamat.Benarkah begitu?
IFA: Selepas Maharaja Lawak tamat saya sebenarnya bercuti rehat selama dua bulan. Bukan saya sahaja suka-suka tetapi saya jatuh sakit sehari selepas program itu tamat sehinggakan tidak boleh keluar suara. Terpaksa saya tolak tawaran. Bulan Mac sudah beransur pulih. Tak berbaloi untuk saya cerewet. Penerbit bimbang bagi tawaran selepas saya keluar Maharaja Lawak sebab ingatkan saya sudah demand (letak harga). Sebab itu saya kurang berlakon sekarang ini.
Selama 10 minggu kekal dalam rancangan Maharaja Lawak pastinya meninggalkan impak buat karier dan kehidupan Ifa. Komen Ifa?
Saya dimaki hamun peminat Maharaja Lawak seluruh Malaysia! Ramai yang tak suka saya jadi pelawak. Alasannya adalah untuk menjadi pelawak perlu berwajah buruk tidak terkecuali pelawak wanita, juga tidak perlu cantik. Ia terbukti apabila saya mula bawa watak seperti nenek tua, baru penonton boleh terima.
Gelaran 3P iaitu penyanyi, pelakon dan pengacara sudah Ifa sandang dan kini pelawak pula. Adakah Ifa akan meneruskan bidang yang telah Ifa ceburi ini?
Jadi pelawak lebih susah daripada penyanyi. Oleh kerana saya menanggung tekanan selama 10 minggu itulah yang menyebabkan saya sakit. Kita boleh tertekan walaupun tidak terkurung. Bakat melawak sudah ada dalam diri cuma perlu lebih buat kajian, perlu skrip, jalan cerita dan punch line (penekanan) yang betul walaupun lawak spontan.
Pengalaman Ifa menjadi pelawak wanita?
Selama 17 tahun jadi artis, tempoh paling tertekan apabila menjadi pelawak tapi dalam masa yang sama saya gembira sebab dapat belajar. Bukan senang nak buat orang ketawa.
Kali pertama Ifa muncul sebagai penyanyi menerusi album pop pada tahun 1996, sebelum setahun kemudian muncul pula sebuah album dangdut. Tahun 2004 merupakan kali terakhir Ifa mengeluarkan album sekali gus hanya tampil bersama single. Bagaimana Ifa melihat senario itu?
Tidak mengeluarkan album tidak bermakna saya berdiam diri. Single terbaharu berjudul Luar Biasa sudah dilancarkan pada bulan April tahun lepas namun promosi hanya di YouTube dan menerusi beberapa buah stesen radio. Berlaku kekeliruan pada masa itu sebab single Luar Biasa nyanyian
Shahir AF pun dilancarkan pada waktu yang sama. Pendengar keliru dan menyebabkan saya tenggelam akibat judul lagu saya yang sama dengan lagu Shahir. Apa yang pasti, saya bakal muncul dengan single baharu genre balada berjudul Tanpa Ku Sedar pada bulan Mei ini ciptaan sepenuhnya Aesah Mustafa.
Bagaimana pula Ifa melihat perkembangan muzik dangdut negara kita sekarang ini?
Saya kecil hati sebenarnya. Peminat masih ramai tapi stesen radio tidak menyokong artis dangdut. Konon dangdut adalah lagu kampung. Saya merayu kerjasama daripada stesen-stesen radio untuk mennaikkan semula pengaruh lagu-lagu dangdut.
Dangdut dan balada merupakan dua genre dan teknik nyanyian berbeza. Apakah langkah Ifa untuk menjamin kualiti single pada masa akan datang?
Suara perlu diasah dan saya akui dangdut dan balada berlainan lenggok. Peti suara kita juga perlu sentiasa dijaga untuk memastikan vokal kita kemas. Kekurangan saya adalah pada nada rendah, jadi saya akan mula belajar teknik nyanyian dengan Cikgu Siti Hajar pada setiap hari Isnin bermula bulan April nanti.
Perkembangan terkini Ifa?
Saya akan bersama Roslan Shah bakal menjadi hos acara Projek Keamanan 1Malaysia di Taiping, Perak selama empat hari mulai 5 hingga 8 April ini. Bersempena acara itu akan berlangsung juga konsert rock dan dangdut. Antara artis lain yang turut hadir, Haiza, Syida, May, Bandi Amuk dan XPDC.
Selain itu saya juga akan menjadi pengacara majlis Makan Malam Hari Ibu bersama Jamal Abdillah pada hari Ahad, 6 Mei ini, di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam. Untuk mendapatkan keterangan lanjut hubungi Pengarah MSiS Event, Suriyani Kassim (019-3834300).
No comments:
Post a Comment