KEPADA pengikut muzik dangdut era 90-an tentu masih mengingati nama kumpulan Eva yang meledak dengan lagu Bulan Cinta pada 1996. Demam dangdut yang melanda masyarakat ketika itu menyaksikan album pertama mereka berjudul 1001 Cinta terbitan Ruslan Mamat mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat. Lagu Bulan Cinta pula menjadi siulan ramai.
Ketika itu juga, Eva yang dianggotai oleh Rina, Mim, Linda dan Izzu tidak menang tangan menerima tawaran mengadakan persembahan di seluruh negara. Gaya persembahan dan imej yang tersendiri membuatkan nama mereka jadi sebutan peminat. Populariti yang diraih pernah menenggelamkan penyanyi irama komersial lain.
Bagaimanapun, Eva terpaksa akur populariti mereka tidak bertahan lama.
Dangdut akhirnya menuju penghujung, seterusnya memaksa kumpulan ini dibubarkan dan anggotanya membawa haluan masing-masing. Kini, selepas lebih 10 tahun mendiamkan diri Eva kembali aktif menyanyi.
Percayakan masih ada peminat, mereka berani mengambil risiko apabila tampil merakam dua lagu terbaru menggunakan modal sendiri. Bukan syok sendiri, sebaliknya keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pandangan yang diluahkan oleh ramai menerusi laman sosial serta kemunculan mereka menerusi program Tiada Lama Tiada Baharu di TV1, RTM baru-baru ini.
Ketika dijemput menyaksikan proses rakaman vokal mereka di White Noise Studio, Pandan Mewah di bawah kendalian komposer muda Andi A Merican, baru-baru ini, anggota Eva dilihat teruja. Maklumlah sudah lebih satu dekad mereka tidak menjejak kaki ke studio rakaman, sudah tentu berasa kekok. Biarpun sudah menjelang dinihari, mereka sabar menunggu giliran masing-masing.
“Kami merakamkan dua lagu berjudul Kukuhkan Cinta ciptaan Andi dan lirik Eenaz Mokhtar serta lagu Cuma Berbeza ciptaan Andy Kirana. Kalau dulu kami tampil dengan irama dangdut, kali ini berbeza apabila kami muncul dengan irama kontemporari. Lagipun status sebagai isteri dan ibu membuatkan kami tak sesuai lagi menyanyikan lagu dangdut dan bergelek depan peminat,” kata Izzu yang menguruskan kedai dobi di Ukay Perdana, Ampang.
Tambah mereka, biarpun di atas kertas Eva sudah berpecah, hakikatnya hubungan mereka akrab apabila sering berjumpa dan mengadakan aktiviti bersama. Impian untuk kembali ke pentas nyanyian tetap menyala, bahkan mereka pernah merancang untuk buat ‘comeback’ pada 2008, namun tidak kesampaian.
“Lagu-lagu kami masih diputarkan di stesen radio kerana diminta oleh peminat.
Inilah yang membakar semangat kami untuk kembali menyanyi. Kami tetap nak Eva hidup kerana nak membuktikan kepada masyarakat bahawa Eva bukan hanya mampu menyampaikan satu genre lagu, sebaliknya bakat kami versatil,” tambah Mimi pula yang kini bergelar pengurus akaun.
Eva menyedari pemilihan Andi sebagai penerbit album pastinya mengundang persoalan memandangkan kemampuannya belum teruji. Bagaimanapun mereka percaya bakat komposer baru sepertinya tidak boleh dipandang lekeh dan perlu diberi peluang. Apatah lagi, sikap Andi yang sering berkongsi idea dan senang dibawa berbincang memudahkan kerjasama kedua-dua belah pihak.
“Tujuan kami menghasilkan lagu ini sebenarnya untuk menguji pasaran.
Sekiranya diterima, kami merancang untuk tampil dengan lagu lain pula. Kami diperkenalkan dengan Andi menerusi Maya Matahari ketika hadir pada satu program TV. Ketika itu kami bertanyakan kepadanya siapa komposer yang sesuai dan dia mencadangkan nama Andi.
“Sesi fotografi untuk album ini juga dah siap. Kami memang rancang hasilkan produk yang siap kerana mahukan ia menemui peminat pada April nanti. Walaupun lama menyepi, skil nyanyian kami belum berkarat dan mendapat pujian komposer.
Dari segi imej pula, kami cuba tampilkan yang sesuai, tak seksi dan sedap mata memandang. Kami perlu fikir keluarga sebelum buat sesuatu,” kata Izzu lagi.
Dulu lain, sekarang lain. Mereka bergelar artis pada usia belasan tahun. Kini kesemuanya sudah menjangkau pertengahan usia 30-an. Mimi atau nama sebenarnya Mimmi Mazlan kini sudah berusia 36 tahun serta bergelar ibu kepada dua anak, Rina (Yusrina Md Yousoff, 33) kini ibu kepada 3 anak, Izzu (Izzudiawaty Izzudin, 33) kini ibu kepada dua anak dan Linda (Norhaslinda Ishak, 35) ibu kepada empat anak.
Sepakat menolak persoalan negatif mengenai pembabitan semula mereka dalam seni, Eva menegaskan tujuan mereka tidak lain tidak bukan ialah mahu kembali memeriahkan dunia seni tanah air. Tiada isu lain kerana mereka mendapat sokongan keluarga sepenuhnya.
“Lepas keluar Eva, saya bekerja dan tak fikir langsung untuk menyanyi.
Keinginan itu ada, tapi komitmen terhadap keluarga selepas berkahwin membataskan segala-galanya. Namun, kami terus berhubung dan Linda yang banyak nak menggerakkan semula Eva. Akhirnya impian ini jadi kenyataan.
“Kami buat keputusan untuk tukar konsep lagu. Bagaimanapun untuk persembahan, kami masih menyanyikan lagu dangdut. Tapi taklah sampai nak menari berlebihan kerana penampilan saya sendiri bertudung. Alhamdulillah suami dan anak-anak menyokong kerana mereka pun minat hiburan. Cuma, saya perlu pandai jaga kepercayaan yang diberikan,” kata Rina yang bergelar suri rumah sepenuh masa.
Selepas Eva dibubarkan, Linda menceburi bidang kontraktor dan andaman.
Bagaimanapun karier nyanyiannya tidak berhenti apabila dia menyanyi secara solo dalam majlis makan malam.
“Kami aktif semula menyanyi apabila anak-anak sudah besar. Suami saya benarkan saya aktif kerana tahu minat saya dalam nyanyian dengan syarat tanggungjawab terhadap keluarga tak diabaikan. Malah, rakaman lagu ini dibuat pada waktu malam kerana kami tak mahu mencuri masa bersama keluarga,” kata Linda yang berharap Eva kembali diterima peminat seperti dulu.
No comments:
Post a Comment