JIMMY Palikat, anak kelahiran Sabah belum lagi tersenarai dalam golongan artis popular di Semenanjung tetapi dia antara anak seni tersohor di negeri kelahirannya malah popularitinya kini menjangkau ke Sarawak dan Brunei.
Dengan hanya bersandarkan sebuah lagu berjudul Tanak Kampung dalam versi dialek Dusun atau Anak Kampung dalam versi Melayu, Jimmy Palikat berjaya mencetus fenomena di Sabah.
Lagu itu menjadi kegilaan peminat muzik di sana dan boleh didengar berkumandang di merata tempat termasuk di kelab malam dan pusat karaoke.
Pelbagai klip video lagu itu berjaya menarik tontonan melebihi sejuta di YouTube! Menarik�nya, ia termasuklah rakaman persembahan secara
langsung lagu Anak Kampung gandingan Jimmy bersama penyanyi popular tanah air, Aizat pada Konsert Aizat Amdan Borneo Tour yang diadakan di Kota Kinabalu, tahun lalu
Selain di YouTube, lagu itu diputarkan di stesen radio RTM di Sabah, Sarawak dan beberapa stesen RTM di Semenanjung. Bagaimanapun, Nova Music percaya lagu ini mempunyai potensi besar untuk diketengahkan di semua stesen radio utama tanah air.
Menyedari kesulitan untuk memutarkan lagu itu dalam versi asalnya di stesen radio utama, Nova Music mengambil inisiatif merakam semula lagu itu dalam rentak reggae hip hop agar mendapat laluan lebih mudah di radio.
Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim berkata, pihaknya yakin lagu Anak Kampung akan popular kerana melodi kemelayuannya yang tulen dibantu lirik yang mudah diterima ramai akan dapat menambat hati pendengar muzik tempatan.
“Keyakinan kami bertambah kuat apabila melihat tontonan di YouTube untuk lagu itu yang mencecah angka sejuta lebih. Lagu itu juga sudah dirakam semula dalam pelbagai versi dialek daerah negeri Sabah, Sarawak dan Kelantan,” katanya.
Bagi menyuntik kesegaran dan memberi dimensi baru kepada lagu itu, kumpulan hip hop ternama, One Nation Emcees (ONE) yang popular dengan lagu Raja Gelek dan Syukur (Hanya Kau Yang Satu) diundang untuk berkolaborasi dengan Jimmy dalam rakaman versi baru Anak Kampung.
Menurut Mimi mewakili ONE, mereka mula mengenali lagu Tanak Kampung menerusi YouTube dan kali pertama mendengarnya terus suka dan terlintas di fikiran untuk bekerjasama dengan Jimmy untuk rakaman semula lagu itu.
“Kebetulan pada masa sama, pihak pengurusan Nova Music menghubungi pengurus kami untuk menyatakan hasrat mereka membuat kolaborasi di antara Jimmy dan ONE dalam rakaman semula lagu itu.
“Hasil perbincangan antara Jimmy, ONE dan Nova Music, semua pihak sepakat untuk merealisasikan rakaman semula lagu Anak Kampung dalam rentak reggae hip hop yang diyakini mampu menarik kelompok pendengar yang lebih ramai.
“Kami berbesar hati apabila Jimmy memberi kepercayaan kepada mereka untuk membuat susunan muzik baru untuk lagu itu yang menepati genre dipilih dan mengikut kesesuaian kolaborasi Jimmy dengan ONE.
“Walaupun kami diberi kepercayaan sepenuhnya, kami tetap berhati-hati dalam proses berkenaan agar tidak tersasar daripada melodi asalnya. ONE tidak mahu nanti dikatakan perosak lagu”, katanya.
Sementara itu, Jimmy berbangga dan dihargai apabila ONE bersetuju untuk bekerjasama dengannya.
“Saya berasa teruja berpeluang bekerjasama dengan kumpulan hip hop yang diminati ramai. Selepas lagu Anak Kampung mendapat sambutan hebat di Sabah, saya berharap rakaman versi baru lagu ciptaan saya itu dapat melonjakkan populariti lagu ini kepada kelompok pendengar yang lebih besar. Selepas mendengar hasil rakaman akhir lagu ini, saya yakin versi baru lagu ini boleh mendapat sambutan baik pendengar”, katanya.
Keyakinan Jimmy berasas kerana sejak rakaman versi baru lagu Anak Kampung diedarkan ke stesen radio pada 12 Mac lalu, lagu itu kini kerap diputarkan
di Suria FM, Cats FM dan beberapa stesen radio yang lain.
No comments:
Post a Comment