RIHANNA adalah satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Meneliti vokal dan gerak persembahannya, tidak bimbang bagi meletak label bintang muda ini antara yang paling berjaya di gelanggang antarabangsa.
Menerima pelbagai pengiktirafan di majlis-majlis anugerah termasuk Anugerah Grammy, Rihanna kini sudah mampu tersenyum kerana apa yang diperjuangkan selama ini bukanlah satu angan kosong.
Usia muda dan masih jauh perjalanan, anak kelahiran Saint Michael, Barbados ini sudah mampu melihat masa depannya.
Walaupun kisah kontroversi pernah terpalit padanya selepas dikhabarkan dipukul bekas kekasihnya penyanyi popular, Chris Brown hingga terpaksa membatalkan konsertnya di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Rihanna yang mula dikenali menerusi lagu Umbrella lima tahun lalu masih bertahan, malah namanya kian tinggi menjulang.
Katanya, gosip dan spekulasi bukanlah perkara besar yang mampu menggoyang perjalanannya.
“Saya gembira kerana menerima pelbagai dugaan dan cabaran di usia semuda ini kerana setidak-tidaknya saya tidak mudah melatah di kemudian hari. Ia semakin mematangkan saya dan menguatkan semangat untuk terus bekerja keras lagi,” katanya dalam satu temu bual di majlis sidang media antarabangsa, di sini, baru-baru ini.
Puas menghimpun koleksi lagu-lagu popular dengan peminat seluruh dunia, pemilik nama sebenar, Robyn Rihanna Fenty ini mula menongkah satu lapangan seni iaitu lakonan.
Meskipun tanpa pengalaman dan pendedahan kemas, penyanyi popular dengan lagu Don’t Stop the Music, Take a Bow, Disturbia, Russian Roulette dan Rude Boy yang kini berusia 24 tahun yakin menerima tawaran bagi membintangi filem Battleship.
Filem sains fiksyen sentuhan pengarah terkenal, Peter Berg yang diadaptasi daripada video permainan klasik kanak-kanak, Hasbro itu mengangkat Rihanna memegang watak Cora Raikes.
Pengalaman sebelum ini berlakon sebagai bintang undangan dalam filem Bring It On: All or Nothing pada 2006 menjadi bekalan buatnya tatkala meneliti keseluruhan skrip Battleship.
Menyifatkan lapangan lakonan sesuatu yang berbeza dan membuka dimensi baru kepadanya sebagai anak seni, pemegang lima trofi Grammy dan 18 pengiktirafan Billboard ini yakin untuk lebih serius menjadi pelakon.
“Saya terkejut apabila pengarah dan penerbitan filem Battleship menghubungi untuk menawarkan watak Raikes. Maklumlah, profil saya kuat sebagai penyanyi dan tidak terfikir ada pihak yang akan memandang bakat saya dari aspek berbeza. Namun, itulah rezeki dan ruang yang sentiasa terbuka jika kita benar-benar ikhlas dan bersungguh dengan apa dilakukan,” katanya lagi.
Filem ini ringkas pada plot ceritanya, namun padat dengan aksi hebat, dan visualnya sarat dengan kesan khas. Selain penonton akan tertarik dengan pertarungan antara tentera khas laut di Amerika Syarikat dengan sekumpulan makhluk asing yang ingin menakluk dunia, Battleship turut memaparkan erti peperangan sebenar mengikut idea asal pada permainan video klasiknya dulu.
Bercerita mengenai Battleship yang akan mula ditayangkan pada 12 April depan, Rihanna yang bergandingan dengan bintang muda, Taylor Kitsch, Alexander Skarsg�rd, Brooklyn Decker dan aktor terkenal Liam Neeson menyifatkan filem hebat ini sesuatu yang sangat dinantikan kaki wayang seluruh dunia.
“Raikes adalah seorang gadis yang kental dan begitu kuat berdiri bersama rakan sekerja yang semuanya lelaki sebagai tentera khas laut, USS John Paul Jones, berpusat di Pearl Harbour. Namun, sebaik mengetahui wujudnya makhluk asing, The Regents yang ingin membina empayar senjata bagi menakluk bumi, bermulalah adegan ngeri dan penuh debaran apabila sekumpulan tentera khas ini terpaksa berdepan menyelamatkan dunia.
“Hampir separuh penggambaran dilakukan di atas laut kerana Raikes bersama teman-teman lain termasuk Taylor Kitsch yang memegang watak Lt Alex Hopper, Alexander Skarsg�rd (Stone Hopper) dan Liam Neeson (Shane). Kononnya Raikes pakar dalam analisa senjata dan penggunaannya untuk berperang dengan makhluk asing.
“Saya begitu seronok sepanjang penggambaran dan pastinya tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti,” katanya.
Mengakui watak Raikes penuh cabaran kerana terpaksa bermain dengan emosi dan ekspresi wajah, bagaimanapun katanya, dia bertuah kerana pihak produksi termasuk pengarah dan barisan pelakon tidak jemu memberi tunjuk ajar kepadanya menghasilkan sebuah lakonan lebih bersahaja.
Memerhati gelagat si empunya vokal memukau ini khayal berkongsi pengalaman dalam dunia lakonan, terlintas pula persoalan mengenai karier nyanyiannya.
Bagaimana pula si penyanyi yang kini popular dengan lagu terbarunya, We Found Love ini ingin membahagikan masa?
“Memang tidak dinafikan lakonan adalah sesuatu yang berbeza berbanding nyanyian. Meskipun ramai beranggapan ia adalah lapangan seni sama, pengalaman dan corak kerjanya jauh berbeza. Saya sendiri tidak menyangka mampu merealisasikan impian pihak pengarah bagi menghidupkan watak Raikes yang awalnya membimbangkan saya.
“Bagaimanapun, selepas duduk hampir sebulan di lokasi penggambaran dan melalui pelbagai proses termasuk alih suara, penyuntingan dan kemudian melihat hasilnya, saya merasa satu nikmat kepuasan kerana segala penat lelah dan hasil kerja di lokasi akhirnya mengundang rasa berbaloi. Itulah yang membezakan rasa puas daripada lapangan nyanyian.
“Malah, lakonan juga menuntut saya meletak sepenuh fokus pada lokasi dan masa yang sama. Berhari-hari kita akan ‘berumah tangga’ di lokasi dan bekerja dengan orang sama. Apa yang penting adalah pemahaman dan keselesaan dalam menghidupkan watak. Namun, sebagai penyanyi, saya mengembara dan menempuh perbezaan zon masa setiap hari.
“Bayangkan, hampir setiap hari saya akan ke lapangan terbang dan bertemu orang berbeza. Ia adalah satu karier yang saya fikir mencabar dan membuka ruang diri untuk lebih matang dan berfikir. Namun, itulah keseronokan yang dialami. Kedua-duanya adalah cabang seni namun kepuasan dan gerak kerjanya sangat berbeza.
“Namun, jika ditanya soal masa dan minat, saya sukar meletak jawapan kerana semuanya masih baru. Jika diberi peluang dan kelapangan, pastinya saya tidak menolak untuk mencuba watak lain pula. Itu juga adalah satu impian saya untuk menjadi anak seni yang lebih versatil dan berupaya mencuba sesuatu tidak disangka.
“Bagaimanapun, dunia nyanyian tetap menjadi keutamaan dan pastinya, saya akan lebih fokus kepada penghasilan album, melakukan konsert seluruh dunia dan menghiburkan peminat yang tidak henti menyokong,” katanya.
Sementara itu, sekiranya anda ingin memenangi 10 cenderahati istimewa Hasbro bagi filem Battleship, jawab soalan mudah, Namakan pelakon yang memainkan watak Alex Hopper. Di manakah pertembungan pertama antara manusia dengan makhluk asing dan bilakah tarikh tayangan filem ini?
Sila e-mel butiran peribadi anda dan jawapan kepada murshid@hmetro.com.my bagi merebut 10 hadiah istimewa. Siapa cepat dia dapat!
No comments:
Post a Comment