Jom Buat Duit
Saturday, 31 March 2012
Suara emas Olivia Newton-John
DI sebalik usia 64 tahun dan suatu ketika hampir menyerah kalah dengan penyakit kanser payudara yang dihadapinya, Olivia Newton-John, membuktikan vokal emasnya tidak pernah hilang.
Mungkin menyedari Tuhan memberikannya peluang untuk hidup dan suara sebagai pengantara untuk terus berkarya sekali gus memotivasi pencinta Olivia agar terus bersemangat menjalani kehidupan biar sehebat manapun dugaannya.
"Ia lagu yang cukup indah. Berkisarkan kesedihan seseorang dan saya percaya semua pernah melalui kedukaan dalam hidup mereka begitu juga saya, apabila 20 tahun lalu dikhabarkan menghidap barah payudara tetapi saya masih mampu hidup dengan penuh gembira dan bahagia sekali.
"Pernah satu ketika saya seperti mahu melupakan nyanyian dan pulang ke Australia tetapi lagu ini mengejutkan saya agar jangan berputus asa," katanya selesai menyanyikan lagu Send In The Clown.
Khamis lalu, bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands, Olivia yang membuat kunjungan kali keduanya ke negara ini menghiburkan hampir 4,000 penonton dengan rangkaian lagu hitnya.
Seperti mana dijanjikan, konsert berkenaan adalah satu 'peta' perjalanan sejarah karier muziknya bermula dengan hit 'country' sehinggalah membawa peminat mengembara ke dunia muzikal Grease, Xanadu dan Physical!
Bagi generasi yang asing akan latar belakang Olivia, suaranya suatu ketika dulu pernah menakluk dunia dengan lagu-lagu yang menduduki carta teratas muzik sepanjang zaman seperti Hopelessly Devoted to You, You're The One That I Want, Have You Ever Been Mellow , Magic, Guilty, I Honestly Love You, Summer Nights dan Physical.
Persembahan beliau dalam Grease, salah satu daripada 10 filem muzikal yang paling popular dalam sejarah industri perfileman, bersama John Travolta juga menaikkan statusnya sebagai ikon filem yang sehingga kini masih aktif di atas pentas dan layar perak.
Keseriusannya sebagai penyanyi dan pelakon, meraih pelbagai anugerah termasuk empat anugerah Grammy dan pingat O.B.E daripada Ratu Elizabeth.
Terus saja pada pengisian konsert, tirai persembahan dibuka tepat jam 8.45 dan bintang filem muzikal Grease itu melontarkan vokal nyaringnya menerusi lagu baru, Pearls On A Chain dan Have You Ever Been Mellow.
"Selamat petang, 'am i right'?," kata Olivia cuba berbahasa Melayu.
Menyambung ucapannya, "Sepanjang 40 tahun menjadi artis rakaman di mana bermula ketika tadika lagi (berseloroh) saya melalui kehidupan yang sangat mengagumkan dan berasa terharu kerana sampai sekarang lagu-lagu saya masih diminati selain terus diberi kesempatan membuat persembahan seperti malam ini".
Olivia terus membuai perasaan peminat dengan menyampaikan lagu Sand, antara hit terawal melonjakkan namanya sebelum membawa peminat mengembara ke era 1980, di mana ketika itu filem Xanadu mencetuskan fenomenanya.
Xanadu adalah filem muzikal fantasi romantik ditulis oleh Marc Reid Rubel dan diarahkan oleh Robert Greenwald. Ia memuatkan hit seperti Magic, Xanadu dan Suddenly duet bersama Cliff Richard. Bagaimanapun untuk persembahannya di Are Of Stars, Suddenly dinyanyikan Olivia bersama penyanyi latarnya.
Mengimbas sejarah karier nyanyiannya, sebelum dikenali sebagai penyanyi pop, Olivia terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi Country.
"Saya dilahirkan Australia tetapi di besarkan di England. Sebelum dikenali sebagai penyanyi pop saya adalah penyanyi 'country'. Sepanjang pembikinan album 'country' saya banyak bekerjasama dengan produser Bob Dylan dan If Not For You, lagu yang melonjakkan nama saya dan melaluinya saya menerima pelbagai pengiktirafan," katanya.
Menjadi kemestian dalam persembahan, tidak hanya If Not For You saja disampaikan Olivia turut memperdengarkan rangkaian lagu 'country' seperti Let Me Be There dan If You Love Me, Let Me Know yang pernah dirakamkan penghibur terkenal Anita Sarawak.
Diikuti Please Mr Please yang pernah menjadi 'cover version' penyanyi kelahiran Singapura, Rahimah Rahim. Arena Of Stars semakin rancak bergema apabila Olivia mendendangkan lagu Country Road seterusnya penonton bersiri untuk menyanyikan lagu Physical bersama-sama.
Physical yang diterbitkan pada tahun 1981 pernah diharamkan penayangannya di Malaysia kerana video klip lagu itu dikatakan mengeksploitasikan unsur-unsur seks.
Seiring kematangan usia dan pengalaman, Olivia yang dulunya dikenali sebagai penyanyi lincah kini lebih mengutamakan lirik yang berbentuk motivasi. Salah satu lagu barunya yang disampaikan adalah Grace and Gratitude dipetik daripada album Grace and Gratitude: Renewed.
Seterusnya, dia menghiburkan pula peminat dengan lagu Don't Stop Believin yang dirakamkan pada 1977. Diikuti medley lagu klasik diberi nafas segar menerusi filem baru dibintanginya, Few Best Men. Dua lagu yang disampaikan itu adalah Mickey dan Sugar Sugar Honey Honey.
70 minit berlalu, akhirnya penantian penonton untuk mendengar vokal merdu Olivia mengalunkan lagu di petik dari filem Grease berakhir. Dia menyanyikan lagu You're The One That I Want pernah di duet bersama pasangan heronya, John Travolta' menerusi filem muzikal diterbitkan pada 1978 itu.
"Grease adalah bahagian yang cukup besar dalam sejarah karier seni saya sebagai penyanyi dan pelakon. Berpasangan dengan John Travolta, filem itu menjadi fenomena dan kehebatannya diperkatakan di seluruh dunia.
"Saya masih ingat, setiap kali mengadakan temubual ramai yang bertanya bagaimana saya melakonkan babak bercium dengan John Travolta dan saya menjawab ia berlarutan sehingga ke luar set... (ketawa)," katanya.
Semakin menghampiri penghujung konsert, semakin kuat Olivia mengimbau peminatnya dengan lagu yang pernah meninggalkan kesan di hati mereka seperti Hopelessly Devoted To You dan We Go Together.
I Honestly Love You yang ditulis oleh mendiang, Peter Allen, dipilih sebagai lagu penutup selepas 1 jam 30 minit membawa penonton mengembara, menyaksikan kelincahannya, merasai keindahan vokalnya yang masih unggul dan sehebat dulu.
"I Honestly Love you juga lagu yang penting buat saya. Lagu ini saya nyanyian di mana saja tempat saya membuat persembahan dan setiap kali ini saya menemui pelbagai keindahan melaluinya," katanya.
Persembahan Olivia malam itu, diiring lima pemuzik dan dua penyanyi latar yang diketuai oleh pengarah muzik, Andy Timmons.
Sebelum kemunculan Olivia di pentas, Farhan diberi penghormatan membuat persembahan pembukaan. Penyanyi berwajah manis itu menyampaikan rangkaian lagu seperti The Greatest Of Love dipopularkan oleh mendiang Whitney Houston dan hit, Still Got The Blues.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment