Jom Buat Duit

Saturday, 31 March 2012

Tisha diberi tempoh 48 jam


TISHA sememangnya sebelum ini berada dalam senarai pendek protege pilihan Ferhad.
 
PROGRAM realiti Mentor 6 yang memulakan saingan pada Ahad lalu menyaksikan tiga protege Kumpulan A iaitu Ana Syuhada Noor Asram (protege Ramlah Ram), Anas Ridzuan (protege Faizal Tahir) dan Shanorbiah Shamsir Alam (protege Ferhad) tampil membuat persembahan.

Bagaimanapun, salah seorang peserta yang menjadi tumpuan ramai pastinya Shanorbiah atau lebih dikenali sebagai Tisha yang merupakan peserta bidan terjun apabila menggantikan protege asas Ferhad iaitu Salwani Sawi atau Wanie yang terpaksa menarik diri pada saat akhir.

Mempersembahkan dua buah lagu iaitu Kaulah Segalanya dan Rindu Bayangan, Tisha mengakui ia merupakan satu cabaran yang besar kerana mempunyai masa yang cukup singkat untuk membuat persiapan.

“Pada hari Khamis iaitu tiga hari sebelum konsert mingguan Mentor 6) berlangsung, saya telah mendapat panggilan daripada pihak TV3 meminta saya menggantikan Wanie yang menarik diri. Kemudian pada keesokan harinya, saya terus bertolak dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.
“Apabila turun sahaja dari kapal terbang, saya terus dibawa ke Sri Pentas TV3 di Petaling Jaya dan bertemu dengan Ferhad. Selepas itu kami terus berlatih dan saya hanya mempunyai masa 48 jam untuk menghafal lirik lagu dan menentukan bentuk persembahan,” ujarnya.

Menurut Tisha, biarpun berasa sedikit tekanan kerana masa yang dimiliki cukup terhad untuk membuat persiapan berbanding dua orang lagi protege kumpulan A, namun dia tetap gembira kerana masih mampu membuat persembahan yang baik.

Ujarnya, walaupun pernah menyertai program realiti TV anjuran ntv7, Audition sebelum ini, namun peluang menyertai Mentor 6 akan dijadikan platform buat dirinya untuk bergelar sebagai penyanyi.
“Sudah tentu peluang kedua yang diberikan ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya. Mendapat bimbingan daripada penyanyi hebat seperti Ferhad, saya yakin banyak ilmu dan pengalaman yang boleh saya pelajari,” tuturnya.

Mengulas mengenai pemilihan Tisha sebagai pengganti Wanie, Ferhad memberitahu, Tisha sememangnya sudah berada dalam senarai pendek pilihannya.

Ujar Ferhad, sebelum ini dia memilih Wanie sebagai protege kerana keunikan vokalnya, manakala protege baharunya itu pula dilihat memiliki pakej lengkap untuk bergelar sebagai seorang penyanyi.
“Pada mulanya saya agak gementar dan faham dengan tekanan yang terpaksa dilalui oleh Tisha. Bagaimanapun, dengan persembahan yang ditampilkan, saya yakin dia mampu untuk pergi lebih jauh dalam program ini,” kata Ferhad.

Konsert Mentor 6 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada minggu lalu menyaksikan Anas berjaya mengatasi Ana Syuhada dan Tisha dengan peratusan undian tertinggi untuk minggu pertama.

Anas yang mempersembahkan lagu Kau Di Hatiku mendapat undian sebanyak 79 peratus, manakala Tisha berada di tempat kedua dengan 55 peratus dan Ana Syuhada sekadar memperoleh 51 peratus.

Tahap keyakinan
Sementara itu, salah seorang juri tetap iaitu Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah berkata, dia sangat berpuas hati dengan persembahan Anas, Tisha dan Ana Syuhada dilihat tidak terlalu terikut-ikut dengan gaya mentor masing-masing.

Jelasnya, memandangkan saingan baru sahaja bermula masih ada lagi beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki dan beliau yakin persembahan ketiga-tiga protege akan menjadi lebih bagus pada saingan yang seterusnya.
“Saya tidak nafikan mereka telah membuat persembahan yang cukup menghiburkan, cuma tahap keyakinan diri mereka masih lagi belum memuaskan. Namun, saya percaya masalah sebegini boleh diatasi dengan bantuan mentor mereka.
“Mengenai persembahan pula, saya dapati tiada protege yang menyanyi sumbang atau lupa lirik. Saya harap ia dapat terus dikekalkan pada persembahan yang akan datang,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Kak Pah turut memuji Tisha yang mampu menghadapi segala tekanan dengan persembahan yang menarik, meskipun menjadi peserta bidan terjun dan hanya mempunyai masa yang terhad untuk membuat persiapan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters