Jom Buat Duit

Thursday, 29 March 2012

Def Gab C nafi berpecah



ANGGOTA Def Gab C kini terdiri daripada (dari kiri), Cha'a, Ah Tonk, Eddie dan Asheed.


SUDAH lima tahun kumpulan yang terkenal dengan lagu Cinta Sakti dan Marilah Maria, Def Gab C menyepi tanpa sebarang kemunculan album baharu. Kali terakhir mereka muncul dengan album kompilasi The Best of Deb Gab C pada tahun 2006, manakala album studio terakhir mereka, Raw diterbitkan pada 2004.

Justeru, adakah kumpulan yang dianggotai Asheed, Eddy, Jemboo dan Ah Tonk itu sudah berpecah dan perjuangan seni muzik rock mereka sudah berkubur?
Kesempatan bertemu Def Gab C pada sidang akhbar pelancaran album terbaharu mereka berjudul, Neolithic di Restoran The Ship, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini membuka peluang untuk merungkai tentang persoalan tersebut.
“Sebenarnya kami tidak pernah berpecah. Ada ketika Asheed pernah keluar dengan album solonya dan yang lain pula, masih bermain muzik.

Cuma apabila Jemboo mengambil keputusan untuk keluar dari kumpulan, dari situ kami mengambil masa yang agak lama untuk mencari pengganti yang sesuai.
“Akhirnya, kami berjumpa Cha'a dan dapati dia sesuai dengan kumpulan kami dan kami juga tiada sebarang masalah untuk bersama dengannya memandangkan kami sudah kenal lama.
“Cara dia bermain gitar juga bertepatan dengan konsep yang kami bawa dan juga kelainannya diharap dapat menyuntik perspektif baharu buat Def Gab C,” jelas Eddie.
Maka, Def Gab C kini dianggotai oleh empat anggota iaitu Asheed, Eddie, Ah Tonk termasuk gitaris baharu mereka, Cha'a yang menggantikan Jemboo.

Album Neolithic pula memuatkan 10 buah lagu termasuk enam lagu baharu dan selebihnya lagu lama yang pernah hit suatu ketika dahulu. Antara lagu baharu Def Gab C termasuklah Rinai, Kurnia dan Cinta Di Mana.
PERSEMBAHAN Def Gab C terbukti masih hebat sewaktu mendendangkan dua buah lagu baharu mereka, Rinai dan Cinta Di Mana.
 
Bermatlamat mahu memberi bonus tambahan kepada para peminat yang sentiasa menyokong karier dan perkembangan mereka, sebab itu Def Gab C turut melancarkan juga album video cakera padat VCD dan karaoke Neolithic.

Dalam pada itu, ujar vokalis Def Gab C, Asheed, mereka juga sedang membuat perancangan untuk mengadakan sebuah konsert mini di Sandakan, Sabah yang mungkin diadakan pada bulan Julai.
Ditebak persoalan mengapa lokasi yang dipilih ialah Sabah, jawab Asheed: “Ini kerana penonton di sana masih lagi mendengar dan memberi sambutan yang hebat bagi lagu-lagu dan kumpulan lama.
“Jadi, kami memilih tempat di Sabah kerana di sana memang ramai peminat yang menantikan konsert seperti ini. Kami juga akan bergandingan bersama kumpulan lain dalam konsert itu kelak.”
Berbicara mengenai penjualan album Neolithic yang telah pun dilancarkan tahun lepas, jelas Eddie, ia telah pun terjual sebanyak 10,000 unit dan sangat bersyukur kerana telah diberi peluang oleh Music Valley Malaysia Production (MVM) untuk menghasilkan sebuah album penuh.

“Terima kasih kepada MVM Production kerana mempercayai pada era ini, memang sukar untuk sebuah kumpulan muncul dengan sebuah album penuh.
“Kelainan yang ditampilkan dalam album ini mungkin dari segi bunyi. Ini kerana sebelum ini, album-album kami bersama Jemboo.

“Namun kini, kita tampilkan Cha'a dan diharap diterima peminat,” akhiri Eddie yang juga mengatakan Cha'a ada menyumbangkan sebuah lagu ciptaannya yang berjudul Walaupun dalam album baharu Def Gab C itu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters