SEMENJAK dibebaskan daripada hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya kerana kesalahan khalwat pada tahun lalu, pelakon Muhaizad Ahmad Mustapha atau lebih dikenali sebagai Ako Mustapha dilihat sudah jarang muncul di kaca televisyen.
Sedangkan dia antara pelakon lelaki yang kerap menjadi pilihan pengarah untuk membintangi watak utama dalam beberapa buah drama seperti Halimah Jongang selain pernah tampil di layar perak.
Justeru, adakah nama Ako Mustapha sudah disenarai hitam oleh pihak penerbit drama dan filem tempatan?
Kosmo! segera menemu bual pelakon berusia 21 tahun yang juga suami kepada Katrina Shuaib Abdullah itu sewaktu ditemui di set penggambaran drama bersiri Bukan Untukmu di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Adakah Ako sudah tidak aktif lagi dalam bidang lakonan?
AKO: Sebenarnya saya masih lagi aktif berlakon sehingga sekarang dan sangat berterima kasih kepada beberapa orang pengarah yang tetap memberi kepercayaan kepada saya, meskipun saya pernah dilanda kontroversi sebelum ini.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, saya lebih gemar untuk menerima tawaran sebagai watak pembantu dan beberapa kali pernah menolak untuk memegang watak utama.
Sudah lebih setahun saya tidak muncul sebagai watak utama dalam mana-mana drama dan kali terakhir menerusi drama Halimah Jongang.
Apakah yang membuatkan Ako menolak untuk membintangi watak utama yang ditawarkan?
Kalau boleh saya mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga. Sekiranya menerima tawaran memegang watak utama dalam sesebuah drama, saya terpaksa berada di lokasi penggambaran dalam tempoh yang agak lama.
Lagipun anak saya iaitu Merissa Tempawan masih lagi bayi dan pastinya dia perlu mendapat lebih banyak perhatian dan kasih sayang seorang ayah. Jadi, dengan menerima watak pembantu, saya ada lebih masa untuk bersama-sama isteri dan anak.
Sewaktu dikenakan tuduhan khalwat dahulu, ada rakan-rakan yang menjauhkan diri?
Sememangnya saya sangat bersyukur kerana mempunyai ramai rakan-rakan yang sentiasa menyokong, meskipun saya berhadapan dengan masalah yang berat. Malah, ada yang sanggup menghulurkan bantuan kewangan untuk membayar kos guaman sehingga peguam saya sendiri terkejut.
Apakah yang membuatkan Ako tertarik menerima tawaran sebagai watak utama dalam drama Bukan Untukmu?
Saya tertarik dengan jalan cerita drama ini kerana ia mengisahkan tentang amalan cina buta yang jarang-jarang dipaparkan.
Saya memegang watak sebagai Iskandar yang hidup bahagia bersama isteri iaitu Nadia (Memey Suhaiza), namun secara tidak sengaja Iskandar telah melafazkan talak lima terhadap isterinya.
Bagi saya, drama ini dapat memberi banyak pengajaran yang berguna kepada para penonton supaya tidak memandang mudah tentang lafaz cerai.
Walaupun lafaz dibuat secara tidak sengaja, tetapi penceraian akan tetap berlaku akibat terlanjur kata-kata.
Sebagai contoh, dalam drama ini Iskandar terlepas kata apabila menceraikan Nadia dengan talak lima, namun secara tidak langsung talak tiga tetap jatuh ke atas isterinya itu sehingga mereka terpaksa mencari jalan untuk kembali bersama dan cuba melakukan cara cina buta.
Bagaimana pula dengan gandingan Ako bersama Memey dalam drama ini?
Saya melihat Memey merupakan seorang pelakon wanita yang cukup bagus dan tiada masalah untuk kami mencari keserasian.
Malah, pengarah drama ini iaitu Along Kamaruddin juga banyak membantu kami untuk memantapkan lagi watak masing-masing.
Sebelum ini saya dan Memey pernah berlakon beberapa buah drama bersama-sama ketika dia mula-mula menceburi bidang lakonan dahulu.
Kini, saya lihat mutu lakonannya semakin meningkat dan tidak hairanlah dia semakin mendapat perhatian pengarah.
Adakah Ako akan lebih kerap menerima tawaran memegang watak utama selepas ini?
Semuanya bergantung kepada tawaran yang akan diberikan kepada saya nanti. Bukan saya mahu terlalu memilih sangat, cuma saya ingin mendapat watak yang sesuai serta jalan cerita yang lebih menarik. Pada tahun ini juga sasaran saya mahu berlakon sekurang-kurangnya sebuah filem.
No comments:
Post a Comment