Jom Buat Duit

Sunday, 20 April 2014

Cari MH370 Tujuh Hari Lagi?

SYDNEY - Misi mencari kotak hitam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di dalam Lautan Hindi mungkin selesai dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari lagi, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) semalam.

Pencarian pesawat MH370 itu menggunakan kenderaan dalam air autonomi yang lebih dikenali sebagai Bluefin-21 berharga AS$4 juta (RM12.95 juta) dilakukan di dalam lingkungan 10km di Lautan Hindi.
Pesawat itu hilang dari radar pada 8 Mac lalu semasa ia dalam penerbangan ke Beijing, China dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Seramai 227 penumpang dan 12 kru menaiki pesawat itu yang didapati berpatah balik dan dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.

Operasi melibatkan pelbagai negara kemudian dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu.
Misi pencarian tersebut mula dilakukan di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila pesawat itu didapati menukar laluannya.

Selepas hampir dua bulan tanpa sebarang tanda-tanda serpihan ditemui, misi mencari pesawat itu dilakukan di kawasan radius 10km di selatan Lautan Hindi.

Beberapa pegawai berkata, kawasan lingkungan 10km itu terletak di sekitar salah satu isyarat dipercayai daripada kotak hitam yang sebelum ini berjaya dikesan pasukan pencari MH370.
Namun, isyarat itu tidak lagi dapat dikesan dan ia dipercayai disebabkan bateri kotak hitam sudah kehabisan kuasa.

Pihak JACC dalam satu kenyataan yang dihantar kepada agensi berita Reuters menerusi e-mel menyatakan, berdasarkan keadaan cuaca yang baik dan kelancaran operasi Bluefin-21 itu, misi pencarian di dalam lautan akan dapat diselesaikan dalam tempoh lima hingga tujuh hari.

Beberapa pegawai tidak memberikan petunjuk sama ada mereka yakin bahawa pencarian di kawasan tersebut boleh memberikan maklumat baharu tentang pesawat MH370.

Kenderaan dalam air autonomi itu sebelum ini telah melakukan enam misi pencarian selepas ia diturunkan dari kapal Ocean Shield milik Australia.
Ia boleh menyelam pada kedalaman 4.5km.

Namun, kumpulan pencarian melakukan pengubahsuaian ke atas Bluefin-21 itu supaya ia boleh menyelam pada kedalaman 4.695km.

Bluefin-21 itu milik sebuah syarikat yang melakukan kerja-kerja menyelamat dalam lautan iaitu Phoenix International Holdings Inc. dari Amerika Syarikat. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)