Jom Buat Duit

Friday 11 April 2014

Isyarat Kotak Hitam Ke 5 Dikesan Pesawat Australia

PERTH - Satu lagi isyarat detik baharu dipercayai daripada kotak hitam Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi berjaya dikesan oleh sebuah pesawat peninjau AP-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia semalam.

Isyarat itu merupakan yang kelima dikesan pasukan mencari sekali gus memberi harapan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu semakin hampir ditemui.

Ketua Penyelaras Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC), Angus Houston memberitahu, isyarat terbaharu itu dikesan di kawasan yang sama di mana empat lagi isyarat di kesan sebelum ini.
Katanya, isyarat terbaharu itu dikesan oleh pesawat peninjau AP-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia pada tengah hari semalam.

"Pesawat mengesan isyarat tersebut melalui berpuluh-puluh alat pengesan bunyi yang dijatuhkan di permukaan air di satu lokasi di kawasan carian.

"Isyarat yang diperoleh oleh pesawat ini perlu dianalisis terlebih dahulu tetapi data menunjukkan ia berpotensi dikeluarkan dari alat buatan manusia," kata Houston.

Tambahnya, sebuah kapal milik Australia, HMAS Ocean Shield yang membawa alat pengesan kotak hitam, towed pinger locator kini memfokuskan carian di satu lagi lokasi di Lautan Hindi kira-kira 2,280 kilometer dari barat laut Perth.

Kapal HMAS Ocean Shield pada Selasa lalu mengesan dua isyarat dipercayai daripada kotak hitam MH370 di lokasi berkenaan.

Isyarat berkenaan kali pertama dikesan pada Sabtu lalu oleh kapal HMAS Ocean Shield sebelum sekali lagi dikesan pada Selasa lalu.

Isyarat baharu itu juga memberi harapan bahawa bateri di kotak hitam yang menyimpan data penerbangan dan rakaman suara kokpit pesawat MH370 masih lagi bertahan.
Kapal HMAS Ocean Shield mengesan isyarat itu di lokasi penerbangan MH370 diramalkan berakhir oleh penganalisis selepas pesawat Boeing 777-200 tersebut kehabisan minyak.

"Saya berpendapat kita kini mencari di kawasan yang betul tetapi saya tidak boleh membuat sebarang pengesahan sehingga kita menjumpai bangkai atau serpihan pesawat ini," tambah Houston.
Menurutnya, sebuah kapal selam kawalan jauh, Bluefin-21 mungkin diturunkan di lokasi isyarat itu dikesan dalam tempoh beberapa hari lagi bagi mengesan bangkai pesawat berkenaan.

"Saya berharap dengan lebih banyak isyarat dikesan kita mampu mengecilkan kawasan carian.
"Saya menjangkakan dalam tempoh beberapa hari lagi kita mampu mengesan sesuatu di dasar lautan yang mengesahkan bahawa ia adalah pesawat MH370," katanya.

Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru terhempas di selatan Lautan Hindi selepas berpatah balik dari laluan penerbangan asal ke Beijing, China. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters