Jom Buat Duit

Sunday, 13 April 2014

Tiada lagi isyarat kotak hitam

PERTH - Memasuki hari ke-36 misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Lautan Hindi, tumpuan kini bagi pengerahan Kenderaan Dalam Air Automatik milik Amerika Syarikat Blue Fin 21 kerana dikhuatiri bateri kotak hitam telah kehabisan berikutan tiada isyarat dikesan pasukan mencari bagi tempoh 24 jam lepas.

Dua isyarat getaran akustik dikesan pada Selasa lepas oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield manakala satu isyarat dikesan pesawat Australia AP-3C Orion pada Khamis lalu disahkan tidak ada kaitan dengan alat pengesan isyarat pesawat di bawah permukaan air.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata, bagi misi mencari semalam, kapal Ocean Shield terus menumpukan usaha untuk mengesan isyarat daripada kotak hitam pesawat dengan menggunakan alat pengesan pinger ditunda.

Menurutnya, AP-3C Orion turut meneruskan misi pencarian akustik, bersama-sama kapal Ocean Shield dan kapal oseanografi HMS Echo.

"Tiada sebarang pengesanan akustik disahkan dalam tempoh 24 jam lepas," menurut JACC dalam kenyataan semalam.

Pihak JACC berkata, sembilan pesawat tentera, sebuah pesawat awam dan 14 kapal terbabit dalam misi mencari MH370 di Lautan Hindi semalam, melibatkan kawasan seluas kira-kira 41,393 kilometer persegi.
Kawasan pencarian bertumpu di sekitar kira-kira 2,331 kilometer barat laut Perth, katanya.
"Berdasarkan ramalan cuaca hari ini (semalam), tiupan angin dari arah tenggara selaju 10 knot dan hujan sekejap-sekejap, ombak setinggi satu meter dan jarak penglihatan lima kilometer dalam keadaan hujan," kata JACC.

Menurut JACC, tiada sebarang objek yang diambil dari kawasan pencarian mempunyai kaitan dengan pesawat MH370.

Pada Rabu lepas, Ketua Penyelaras JACC, Angus Houston berkata, Kenderaan Dalam Air Automatik akan dikerahkan sebaik sahaja tiada isyarat dikesan.
Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat asal iaitu 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.
Sejak Jumaat minggu lepas, pasukan mencari mengesan enam isyarat, dua daripadanya dikesan kapal China, Haixun 01, pada 4 dan 5 April lalu manakala kapal Ocean Shield mengesan empat isyarat pada 5 dan 8 April lepas.

Kotak hitam merekodkan data perbualan di kokpit dan data penerbangan mungkin memberikan jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH370.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan sebelum beralih ke selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit milik United Kingdom, Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)