Jom Buat Duit

Tuesday 20 March 2012

Keyakinan tinggi protege Mentor ke 6

PENTAS pertarungan antara protege dan mentor menerusi program Mentor musim keenam kini dibuka. Malam kelmarin, enam protege iaitu Wanie, KJ, Ana Syuhada, Caroline, Zatul dan Anas tampil buat pertama kali menunjukkan kebolehan mereka kepada penonton secara langsung di TV3 yang bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Apa yang jelas, walaupun baru konsert pengenalan, masing-masing cuba menyerlah dengan cara tersendiri selain menunjukkan tahap keyakinan yang amat mengagumkan. Masih terlalu awal untuk dinilai, pujian harus diberikan kepada setiap mentor atas usaha keras pada persembahan pertama itu.

Bermula tepat jam 9, Mentor musim ini masih lagi mengekalkan Ally Iskandar sebagai hos manakala Nas Ahmad ditugaskan menjadi hos di belakang pentas. Tidak banyak beza seperti musim-musim lalu, tiada gimik atau kejutan untuk konsert pertama ini selain tujuan utamanya sebagai penentuan siapa yang menganggotai kumpulan A dan B.

Jika musim lalu, beliau menjadi satu daripada mentor yang bertanding, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah kini diberi mandat menduduki kerusi juri bergandingan pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS. Cukup berpengalaman, dua nama besar industri inilah yang perlu ditambat semua protege selain undian menerusi sistem pesanan ringkas selaras dengan format pemarkahan.

Turut diperkenalkan pada musim ini adalah komposer terkenal, Ajai yang bertindak sebagai Penasihat Vokal, Boo Jay selaku Penasihat Persembahan manakala Faizal Uzir (Lok U) sebagai Pengarah Muzik. Membuka tirai konsert pada malam itu, tiga peserta pentas akhir Mentor 5 - Salma, Shiha dan Iqa digabungkan semula menerusi persembahan bertenaga menyanyikan lagu Beribu Sesalan. Aura tiga penyanyi ini ternyata memenuhi segenap ruang dengan kemantapan vokal memukau.

Menjadi peserta pertama diperkenalkan, protege Ferhad, Wanie memilih lagu Datuk Sheila Majid, Lagenda sebagai pertaruhan pertama. Dengan nada vokal merdu, Wanie masih kelihatan berada di zon selesa dengan persembahan itu.

Jeritan peminat yang kebanyakannya wanita menjadi penyuntik kepada anak jati Sabah, KJ untuk tampil mengalunkan Izinku Pergi (Kaer) dengan cara tersendiri. Namanya pun protege Adam, KJ tidak ketinggalan mempamerkan kehebatannya menari sejurus tamat menyanyikan lagunya.

Turut mempertaruhkan lagu balada, Tanpa Kekasihku nyanyian asal Agnes Monica, Ana Syuhada pula berjaya menyalurkan tenaga menerusi suaranya yang jelas punya dinamik. Walaupun kadangkala ada kedengaran sedikit menjerit namun potensinya tampak cerah untuk lagu-lagu rentak ini.

Sedikit mengejutkan, Ratu Rock Malaysia, Ella pula membenarkan protegenya, Caroline menyanyikan lagu Price Tag (Jessie J). Keberaniannya mengambil risiko memberikan Caroline lagu bahasa Inggeris sememangnya satu percubaan bagus dan lari dari konsep rock.

Penguasaan pentas menjadi kelebihan kepada protege Ogy, Zatul yang tidak semena-mena menggamatkan penonton di auditorium dengan kelincahannya. Kesungguhan dan keyakinannya cukup berkesan walaupun ada bahagian yang mungkin agak terlebih sedikit menerusi lagu Doktor Cinta (Dewi-Dewi).

Paling mencuri tumpuan, Anas yang dibimbing oleh Faizal Tahir. Menyerlah daripada segi personaliti suka berjenaka, sokongan peminat yang kuat, memang sukar untuk menyangkal kehebatannya di atas pentas mendendangkan lagu Ilusi (Adira). Dengan berbekalkan vokal ‘husky’, persembahan jejaka berambut afro ini antara yang berjaya memukau penonton pada malam itu.

Keseluruhannya, konsert kali ini dibuka dengan satu penanda aras yang agak sama rata di mana belum ada protege yang benar-benar menonjol. Bagaimanapun, kepelbagaian konsep serta variasi dari segi genre dilihat akan menjadi tunjang kepada Mentor kali ini.

Persaingan sengit yang sebenar hanya akan terjadi bermula minggu depan di mana protege kumpulan A - Ana Syuhada, Anas dan Wanie akan membuka gelanggang pertarungan. Manakala Caroline, Zatul dan KJ menyusul pada konsert seterusnya.

Ditemui pada sidang media selepas tamatnya konsert, Kak Pah berkata, dia sungguh gembira dengan kelainan yang ditunjukkan kali ini walaupun baru di konsert pengenalan.

“Saya dapat melihat barisan protege pada kali ini sangat baik kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri. Ada juga beberapa protege yang menjadi kegemaran saya namun tidak bermakna saya akan bersikap pilih kasih.

“Seperkara yang perlu saya puji adalah tahap keyakinan semua protege. Keyakinan yang mereka tunjukkan sangat menakjubkan sehingga tidak terpancar langsung rasa gementar pada diri mereka.

“Namun saya perlu ingatkan kepada semua peserta terutama sekali Anas, agar tidak tertipu dengan sorakan penyokong kerana faktor itu boleh menjadi punca kemerosotan. “Harapan saya tentunya ingin melihat perkembangan daripada setiap protege agar menjadi bagus pada setiap minggu. Jangan terlalu selesa dengan pencapaian sekarang sebaliknya terus bekerja keras mencipta sesuatu yang luar biasa,” kata mentor kepada naib juara Mentor 5, Shiha itu.

Dari segi format pemarkahan, masih lagi dikekalkan seperti pada musim-musim lalu iaitu 50% daripada juri profesional, 30% undian SMS dan 20% juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar muzik, wartawan dan golongan semi profesional dalam industri muzik. Habuan untuk juara Mentor 6 berupa wang tunai RM100,000 manakala naib juara RM30,000.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters