BANGKOK - Seorang senator Thailand yang menembak bekas isterinya di
meja makan malam dengan menggunakan sepucuk pistol Uzi 9 milimeter
menyifatkan kematian wanita tersebut sebagai insiden tragis.
Senator berkenaan yang berusia 56 tahun, Boonsong Kowawisarat
berkata, dia tertembak dengan menggunakan pistol itu ketika cuba
membuang sebutir peluru yang tersekat.
Tembakan tersebut menyebabkan kematian wanita berusia 46 tahun, Chanakarn Detkard yang juga setiausahanya.
"Pistol ini pistol saya. Saya menunjukkan senjata api ini yang saya
baru belikan untuknya. Dia tinggal bersama ibunya dan dua anak perempuan
kami.
"Hanya terdapat wanita di kediamannya, justeru, saya mahu memberikan
pistol ini kepadanya kerana saya bimbangkan keselamatan mereka," kata
Boonsong.
"Tangan saya tidak berada dalam keadaan baik. Saya tidak sihat. Saya
pernah mengalami strok. Kejadian ini satu kemalangan yang tidak
disengajakan," tambahnya.
Insiden itu berlaku Ahad lalu di sebuah ruang makan malam
persendirian di wilayah Phrae, utara Thailand dengan disaksikan sekitar
10 anggota keluarga mereka.
Boonsong merupakan anggota perwakilan Dewan Senat Thai untuk wilayah Mae Hong Son, utara Thailand.
Bagaimanapun, beliau kini mendapat imuniti daripada dikenakan sebarang dakwaan kerana jawatannya sebagai ahli Parlimen.
Jika didapati bersalah, ahli Parlimen berkenaan boleh dipenjara selama 10 tahun dan didenda sebanyak AS$670 (RM2,134). - AFP
No comments:
Post a Comment