Jom Buat Duit

Sunday, 19 February 2012

Tenaga kerja dua beradik





GANDINGAN dua beradik ini seperti meneruskan lagi legasi adik-beradik dalam dunia muzik. Sebelum ini industri muzik sudah ada Kid dan Din dalam kumpulan Search, Acap dan Rody dalam Kristal serta Along Exist dan Aie Spider juga bergerak dalam muzik tetapi berbeza grup. Tidak terkecuali adik beradik KRU yang kini membina empayar perfileman. Begitu juga dengan pesona Anuar dan Ziana, hasil keluarga Pak Zain. Mereka ini seperti meneruskan lagi legasi lama seperti keluarga Ibrahim yang melahirkan Sophia, Khatijah dan Latiff dalam dunia nyanyian.
Kini kolaborasi baharu ini semakin terserlah pesona dan tahap kreativiti mereka. Bergandingan dalam proses kreatif dan pementasan, Anas dan Aizat bagai beregu baharu yang sedang rancak menghasilkan karya seni mereka. Punya visi dan misi baharu disertakan dengan pengamatan dan pengaruh muzik yang segar, kolaborasi ini dilihat selesa bergerak bersama.
Bersama-sama Aizat dan Anas, kedua adik-beradik ini bercerita tentang perjalanan mereka. Terbaru, Aizat sudah masuk ke cabang lakonan dan muncul dalam filem Istanbul Aku Datang. Anas juga tidak ketinggalan, melahirkan lagu Istanbul Aku Datang untuk lagu tema filem arahan Bernad Chauly ini. Dengar cerita adik-beradik berdarah muda ini.
Perancangan kalian untuk tahun 2012?
ANAS (AN): Perancangannya adalah untuk album. Kali ini kita buat lain sedikit. Sekarang sedang dalam proses menyiapkan studio rakaman kami di Ampang.
AIZAT (AI): Sebenarnya banyak kerja tahun ini sudah dilaksanakan tahun lepas secara berperingkat. Tahun ini jadi tahun untuk fokus kepada pembikinan studio rakaman dan album. Studio rakaman mungkin siap bulan hadapan. Agak perlahan kerana kita ubah lokasi. Album pula kita rancang akan keluar pada Mei ini.
Daripada segi material, bagaimana progres dan kelainannya?
AI: Saya cuba memperbaiki penulisan, bunyi dan mahu memasukkan lebih banyak lagu dalam album itu kelak. Kita mahu album itu mempunyai lebih daripada lapan lagu untuk kepuasan pendengar dan peminat.
AN: Saya rasa ini adalah masa dan proses untuk penjenamaan semula Aizat. Perancangan kita untuk membikin lagu yang lebih internasional bunyinya dan kita mulakan semua secara sendiri. Melalui album pertama dan kedua, saya dan Aizat banyak belajar. Kini sudah ada idea yang kami suka dan rasanya akan lebih puas dan lebih personel.



Bagaimana pula perancangan secara on-ground?
AN: Syarikat kami, Kasi Gegar Entertainment keluar dengan produk pertama iaitu program televisyen bertajuk Aizat Gegar New Zealand.
AI: Saya dan Anas serta beberapa pemuzik lain juga akan terlibat dengan program Versus di TV9 dan kami muncul dengan sebuah grup projek. Selain itu, kita ada perancangan untuk buat persembahan di Singapura dan Brunei. Masih dalam peringkat perbincangan.
Mungkin keserasian dan darah sebagai adik-beradik itu lebih menyenangkan kerja?
AI: Sejauh ini memang senang sebab kita tahu arah tuju masing-masing dan kadangkala kita jumpa sesuatu dalam diri masing-masing.
AN: Senang, sebab tiada ego dan kita boleh terima apa sahaja pendapat. Sebenarnya kami berdua teguh dengan pendapat untuk menghasilkan yang terbaik dalam kerjaya masing-masing.
Kalau ada perselisihan selalunya tentang apa?
AI: Selalunya tentang penulisan lagu dan bunyi.
AN: Kita jenis tidak melanjutkan drama dan berterus terang. Kita sudah ada gelombang pemikiran yang sama, jadi senang.

Pengaruh muzik kalian memang sama?
AI: Sama tetapi selalunya saya akan lebih tertumpu kepada pembikinan lagu dan lirik dalam sesebuah lagu.
AN: Saya pula lebih fokus kepada aspek teknikal, perisian komputer dan banyak dengar bunyi.
Sejauh ini apa perkara yang kalian terokai sekarang?
AN: Saya lihat Aizat lebih gemarkan feel gitar elektrik sekarang. Dia suka stail A. Rahman Hassan.
AI: Saya semakin banyak dengar muzik A. Rahman Hassan dan gemarkan lagu nyanyiannya yang bertajuk Bimbang. Bagi saya, lagu itu sangat bijak dan semasa. Susunan lagunya menarik dan rock n roll ada di situ. Kalau boleh saya mahu buat seperti itu, ada unsur rock n roll dan gitar elektrik.
Bagaimana pula dengan gandingan atas pentas dan sokongan ke atas masing-masing?
AI: Anas akan bertindak sebagai pengarah muzik, kira dia adalah ketua yang mengawal semuanya. Kami memang mahukan muzik yang live. Itu hala tuju kami dan sama-sama bergandingan untuk tujuan itu. Susah juga kerana khalayak tahu saya bergerak solo. Bila datang dengan grup, sudah jadi lain. Saya mahu khalayak nampak seperti Jason Mraz atau Adele sekalipun, menyanyi solo tetapi tetap membawa grup di belakang. Lebih selesa begitu daripada menyanyi pakai minus one.
AN: Aizat cuma jaga bunyi kalau atas pentas. Seperti yang Aizat katakan dia mahu tampil dengan band. Tahun ini kami rancang untuk keluar dengan persembahan akustik Aizat dan set live. Ini untuk para pemuzik juga.
Bagaimana dengan proses kreatif?
AN: Kita memang ada lagu baharu. Mencari arah tuju muzik juga satu cabaran besar kerana kami bukan dilatih dalam bidang muzik. Ikut telinga sedap dan juga berdasarkan pengaruh muzik yang kami dengar.
AI: Sedang cari bunyi sendiri. Sudah jumpa dan ada arah tuju. Contohnya seperti lagu Sungai Lui itu satu eksperimetal. Kita akan berdasarkan lagu itu sebagai hala tuju juga, mahu buat seperti lagu itu. Kita menulis lagu berdasarkan apa yang kita rasa sewaktu itu.
Sasaran kalian pula?
AI: Nak beri semua orang dengar lagu saya, boleh pergi secara 1Malaysia. Seperti yang Zainal Abidin buat, dia sudah set sebegitu. Lagu-lagunya didengar pelbagai kaum dan golongan. Kebelakangan ini saya banyak juga dengar lagu-lagu A. Ramlee. Saya rasa muzik dia sangat besar dan pop yeh yeh perlu diteruskan.
AN: Kami nak sempurnakan hasil seni kami, beri inspirasi dan tidak syok sendiri. Kami mahu beri seni yang jujur.
Impian membina empayar sendiri bagaimana?
AN: Visi itu ada. Saya teringat sewaktu kemunculan awal Aizat, dia tidak diterima kerana berbadan gempal. Kemudian kami buat lagu sendiri. Saya tahu dia ada bakat dalam muzik. Awalnya kami berdua sahaja dan ada sokongan rakan-rakan. Kami belajar sendiri. Untuk jenamakan Aizat juga sukar awalnya. Perlahan-lahan penjenamaan itu dibuat dan kami mahu buktikan yang kami serius bermain muzik. Kami berterima kasih kepada ramai orang seperti Tam Spider dan Belle Fatah yang turut beri komen dan pendapat dalam kerjaya kami. Kami nak buktikan keseriusan itu.
Anas berkorban untuk kerjaya Aizat?
AN: Saya habiskan belajar dulu kemudian baru bermain muzik. Ini juga minat saya. Waktu pembikinan album pertama dan kedua, saya masih belajar di universiti. Kira berkorban juga tetapi beserta minat.
Kalau tiada Anas, susah tak Aizat?
AI: Susah. Tiada orang lain yang saya mahu berkongsi minat dan pengalaman dari segi muzik. Famili saya lebih kepada bisnes. Dengan adanya Anas, kami boleh memberi input sesama kami.
Impian kalian?
AI: Mahu main di festival muzik.
AN: Mahu pergi sejauh yang boleh dan selagi daya. Kami tidak akan mudah patah semangat.
DARI kiri, Anas, Mizzie, Aizat dan Ruviyamin adalah antara jentera grup Aizat.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters