Jika difikirkan, penyanyi jadi pelakon bukan senario asing berlaku dalam kerancakan perkembangan bidang hiburan tanah air bersikap terbuka pada kehadiran bakat baru.
Di kalangan peminat muzik zaman 90-an, Zack pernah mencipta nama bersama kumpulan Kool yang pernah menjuarai kategori Pop Rock sebanyak dua kali di Anugerah Juara Lagu pada 1995 dan 1996. Namun, hasratnya untuk terus berjaya dalam nyanyian tidak ke mana.
Kebelakangan ini, Zack lebih aktif kelihatan di lokasi penggambaran. Perkembangan terbaru, Zack masih terbabit dengan penggambaran drama bersiri 13 episod, Hadiah arahan Saian Salimon.
Zack berkata, perasaannya semakin seronok sejak membabitkan diri dengan lakonan beberapa tahun lalu sambil bersyukur atas pelbagai tawaran lakon diterima tidak putus-putus.
“Seperti drama ini, saya seronok bekerjasama dengan pengarah dan pelakon lain seolah mewujudkan hubungan keluarga. Dalam drama ini, saya cuba membawakan karakter Datuk berbeza.
“Selalunya dalam kebanyakan drama, Datuk lebih fokus pada bisnes, tetapi saya seimbang antara tanggungjawab kerja dan keluarga. Berdepan cabaran di tempat kerja, saya juga perlu mewujudkan keserasian dengan isteri, Datin Mariam lakonan Aida Khalida.
“Untuk mewujudkan elemen mesra suami isteri, tidak semesti perlu menunjuk berpegang tangan pada penonton. Ini lakonan pertama kali antara saya bergandingan dengan Aida, tetapi kami banyak memberi dan menerima dalam menjayakan sesuatu adegan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi drama Hadiah di Gombak, Selangor baru-baru ini.
Memberi cabaran pada diri, Zack perlu mengawal intonasi suara lebih rileks untuk menggambarkan karakter berpangkat Datuk. Drama terbitan Warna Motion Pictures & Marketing Sdn Bhd ini memberi tarikan apabila watak Datuk Derani bersama anaknya, Ramli menyimpan perasaan cinta terhadap seorang janda lakonan Salina Saibi.
Dalam serius mendalami watak, Zack turut menyatakan dia akan kembali ke lokasi penggambaran filem sekuel, Lagenda Budak Setan 3 bulan depan diikuti drama Roda-Roda Kota Raya bersama produksi Skop Productions.
“Saya sebenarnya lebih selesa dan puas berlakon daripada menyanyi. Saya sudah tarik diri bersama kumpulan GX4 kerana mahu berhijrah dengan muzik konsep dakwah dan rohani. GX4 sebelum ini ditubuhkan atas kerjasama bekas anggota Kool, Shades, Nico dan A To Z.
“Kumpulan ini masih ada, tetapi saya ambil keputusan keluar. Saya pilih muzik sebegini kerana berasakan ia sesuai dengan jiwa dan usia saya ketika ini.
“Saya mempunyai perancangan untuk hasilkan single. Buat masa ini, saya sudah mempunyai lagu sendiri yang saya cipta, tetapi lirik belum ada. Begitu juga, saya berhasrat memberikan peluang pada Serina Redzuawan menyanyikan kembali lagu Cintaku Cintamu ciptaan saya bersama Awang BPR pada 2009.
“Lagu ini saya pernah nyanyi duet bersama Ozlynn Wati suatu ketika dulu, tetapi kini saya berikan kepada Serina,” katanya sambil menantikan filem Lagenda Budak Setan 2 ditayangkan tahun ini.
No comments:
Post a Comment