Jom Buat Duit
Monday, 6 February 2012
Demam K-Pop di Asia
SINGAPURA - Seorang budak perempuan berusia 12 tahun, Sabrina Kaur tidak memahami lirik lagu kegemarannya daripada band Korea Selatan, Big Bang.
Namun, ia tidak menghalangnya daripada menyertai lebih seribu lagi gadis Singapura pada satu uji bakat di sini pada januari lalu.
Uji bakat itu diadakan bagi mencari sebuah kumpulan baharu pop Korea yang lebih dikenali sebagai K-Pop yang akan dipromosikan oleh sebuah firma pencari bakat.
"Saya mahu menjadi gadis pertama India Singapura yang menyertai sebuah kumpulan wanita Korea," katanya sebelum dia memasuki bilik uji bakat yang dihadiri ramai gadis daripada etnik Cina Singapura.
Daripada golongan praremaja sehingga pesara, berjuta-juta peminat di Asia telah mengetepikan etnik dan umur bagi berkongsi obsesi muzik pop dan drama Korea.
Fenomena itu dikenali sebagai Hallyu atau gelombang budaya Korea.
Industri itu kini cuba untuk mengukuhkan penguasaannya terhadap para peminat dengan mewujudkan kumpulan versi bukan Korea dan kumpulan yang menjadi idola para pengikut K-Pop di seluruh dunia menerusi penampilan rupa paras yang menarik.
"Selepas Asia, langkah yang seterusnya buat budaya Korea adalah untuk menguasai dunia," kata Ketua Pegawai Eksekuitf Alpha Entertainment Korea, Eric Yun.
Singapura merupakan salah sebuah tempat uji bakat bagi mencari anggota K-Pop bukan Korea.
Saingan Alpha Entertainment ialah syarikat SM Entertainment yang memiliki kumpulan wanita terkenal K-Pop, Girls Generation.
Syarikat SM Entertainment merancang untuk mengadakan uji bakat yang sama untuk bintang-bintang K-Pop dianggotai bintang Pan Asia di lima buah negara pada tahun ini.
Anugerah Muzik Asia MNET untuk industri hiburan Korea Selatan diadakan di Macau pada tahun 2010 dan di Singapura pada November tahun lalu.
Ia diadakan di luar Korea Selatan untuk mempromosikan industri K-Pop dengan lebih meluas.
Industri K-Pop yang bernilai berjuta-juta dolar juga mengembangkan sayapnya ke dunia Barat.
Tiket kutipan persembahan kumpulan Girls Generation habis dijual di Madison Square Garden di New York pada tahun lalu.
Enjin carian Google di Internet turut mengumumkan untuk mewujudkan rangkaian di YouTube buat muzik pop Korea.
Budaya popular Korea Selatan mula memasuki negara-negara Asia Timur pada awal tahun 2000-an dengan perkembangan drama romantik sensasi seperti Winter Sonata.
Kumpulan-kumpulan nyanyian yang dianggotai golongan sama jantina seperti Girls Generation, TVXQ, Super Junior dan Shinee mewujudkan letusan K-Pop di Asia Timur.
Menurut satu kajian yang dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan Korea Selatan pada tahun lalu, terdapat 2.31 juta peminat Hallyu atau gelombang budaya Korea di Asia berdasarkan keanggotaan rasmi kelab-kelab peminat.
Asia telah pun mewujudkan genre-genre pop lain seperti lagu dan tarian Bollywood dan seni mempertahankan diri Hong Kong tetapi Hallyu berbeza daripada cara lama, menurut penyelidik filem yang berpangkalan di Singapura, Liew Kai Khiun.
Menurutnya, budaya pop Korea berbeza kerana ia tidak diwujudkan atas faktor tradisional seperti penguasaan ekonomi dan ketenteraan seperti melibatkan empayar Barat atau rangkaian diaspora penduduk India dan Cina.
Dia berkata, fenomena K-Pop mempunyai kesan positif ke atas hiburan Asia.
Populariti gelombang budaya Korea itu telah meningkatkan standard penerbitan yang selama ini tidak diberi perhatian serius.
Faktor rupa paras juga penting buat K-Pop.
"Saya perlu mengakui bahawa penampilan mereka (para artis K-Pop) sebagai punca penduduk Thailand meminati bintang-bintang pop Korea," kata Editor majalah The Boy Kimji, Chanika Sriadulpun.
Fenomena pop Korea itu juga mempunyai para penentangnya yang menganggap ia mempamerkan kuasa Korea Selatan secara lembut.
Pada Ogos tahun lalu, ribuan penduduk Jepun menyertai perhimpunan untuk menentang rangkaian televisyen Fuji TV kerana 'memaksa' program Korea Selatan ke atas penonton di negara itu.
Di Filipina, seorang pengurus bakat, Chris Cahilig berkata, dia bimbang gelombang Korea akan menjejaskan perkembangan bakat tempatan.
Dia menyatakan kebimbangannya yang serius kerana menganggap ramai golongan muda akan kehilangan identiti dan jiwa Filipina kerana pendedahan serta rujukan mereka terhadap hiburan Korea.
Kumpulan 1:43 yang anggota-anggotanya terdiri daripada pemuda Filipina dan menjadikan K-Pop sebagai inspirasi mereka telah menjadi popular dengan cepat di negara itu pada tahun lalu.
Album pertama kumpulan itu menjadi antara yang laris dijual di Filipina pada tahun berikutnya. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment