Ketika ditemu bual oleh para wartawan, pelakon yang popular menerusi filem Papadom itu memberitahu dia sebenarnya masih lagi belum bertudung, tetapi sedang berjinak-jinak mahu menutup aurat.
Bagaimanapun, ketika hadir semasa sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, pelakon kelahiran Raub, Pahang itu mengakui dia kini memang sudah nekad untuk memakai tudung sepenuhnya.
"Walaupun sudah mula berjinak-jinak untuk melakukan perubahan terhadap penampilan, saya hanya bertudung sesekali sahaja dan masih lagi menerima tawaran lakonan yang tidak memerlukan saya supaya tidak bertudung.
"Namun, kini saya sudah bertekad mahu bertudung sepenuhnya dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Tidak dinafikan memang ada pihak yang mula memandang sinis terhadap penampilan saya ini, tetapi inilah keputusan saya sekarang," ujar ibu kepada dua orang anak itu.
Bercerita tentang perubahan yang berlaku terhadapnya dirinya itu, Noorkhiriah memberitahu semuanya bermula ketika dia bercuti bersama keluarga di Singapura pada 11 November 2011 sempena menyambut ulang tahun perkahwinanannya yang kelima.
Ujarnya, mulai saat itu tiba-tiba terdetik di hatinya agar dia perlu melakukan perubahan terhadap penampilan diri. Tanpa berfikir panjang dia telah membuat keputusan untuk bertudung sepenuhnya.
"Selama ini saya telah memperoleh rezeki yang banyak serta dikurniakan seorang suami yang baik dan dua orang anak. Namun, saya masih lagi tidak mengikut suruhan-Nya terutama sekali bab menutup aurat.
|
"Berbanding beberapa rakan artis yang berhijrah setelah mengalami perkara yang pelik sehingga membuatkan mereka berubah, perubahan yang berlaku terhadap diri saya pula adalah atas kesedaran sendiri dan berkat doa suami," jelasnya.
Mengenai karier sebagai seorang pelakon pula, Noorkhiriah menjelaskan bertudung langsung tidak pernah membataskan dirinya untuk terus bergiat aktif dalam bidang lakonan.
Ujarnya lagi, sehingga kini dia masih lagi banyak mendapat tawaran berlakon, namun dia seboleh-bolehnya cuba untuk elak daripada melakukan adegan-adegan yang bersentuhan dengan lelaki.
"Sudah tentu rezeki itu tertakluk kepada kuasa Allah dan saya sangat bersyukur kerana rezeki dalam bidang lakonan masih lagi ada. Namun, dengan imej sekarang ini saya perlu menjaga batas semasa penggambaran.
"Selalunya saya akan berbincang dengan pengarah terlebih dahulu, misalnya kalau ada adegan bersentuhan. Malah, saya berasa sangat lega apabila pengarah dapat memahami kehendak saya," jelasnya.
Masih terima
Tidak dinafikan Noorkhiriah merupakan antara pelakon wanita tempatan yang sangat versatil dan mampu membawakan apa sahaja watak yang diberikan terutamanya dikenali ramai menerusi watak komedi.
Sebagai bukti pelakon berkenaan pernah menggondol anugerah Pelakon Komedi Wanita Popular selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2008, 2009 dan 2010.
Menurutnya, biarpun kini sudah bertudung sepenuhnya, dia tidak terlalu selektif terhadap sebarang tawaran lakonan yang diterima, termasuk berlakon dalam drama atau telefilem komedi.
"Sekalipun saya kini sudah bertudung, tidak bermakna saya perlu memilih tawaran tertentu kerana lakonan merupakan kerjaya saya. Tidak kisah apa sahaja genre sama ada serius atau komedi, saya akan tetap memberikan lakonan yang terbaik.
"Lagipun yang berubah cuma penampilan saya sahaja, tetapi kerjaya saya sebagai pelakon masih lagi seperti biasa. Asalkan ada persefahaman dan toleransi antara saya dan pengarah, saya tidak kisah membawakan apa sahaja watak," jelas isteri kepada Azfaidzul Antan itu.
Ujarnya, jika selama ini dia lebih kerap memegang watak protagonis dalam lakonannya, Noorkhiriah juga sebenarnya mempunyai keinginan untuk membawakan watak hitam atau jahat sebagai satu bentuk cabaran baharu dalam kerjayanya.
Sumber: Kosmo
No comments:
Post a Comment