Jom Buat Duit

Monday 19 March 2012

Tuah lawak ‘Pengemis YB’ Shiro

BERJAYA...Shiro akhirnya rebut gelaran Juara Raja Lawak 6.
BERJAYA...Shiro akhirnya rebut gelaran Juara Raja Lawak 6.

AKSI dua anggota Shiro yang berlagak sebagai Pengemis YB (Yang Berhormat) mencetuskan tawa besar di kalangan penonton sehingga mereka akhirnya bergelar juara baru program realiti TV, Raja Lawak 6 (RL6).
Dianggotai Shahrol Azizie Azmi bersama Mohamad Hanaffi Razak, duo itu berjaya mencuri tumpuan penonton yang berada di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor mahupun yang menonton di kaca TV untuk mengundi mereka dengan sebanyak mungkin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Peratusan undi diterima mereka ternyata jauh di depan iaitu sebanyak 38 peratus mengatasi Zero (34.19) di tempat kedua, Cuit (16.35) serta 2Yol (10.74).

Mengikut perjalanan selama 10 minggu berada dalam saingan pertandingan mencari pelawak ini, Shiro menunjukkan persembahan konsisten dan selayaknya diumumkan juara sekali gus memuaskan hati tiga juri tetap - produser Mejar David Teo, Sathia dan Sheila Rusly.


Pada saingan final, setiap peserta diberi peluang mengadakan dua persembahan bertemakan bebas dan muzikal komedi.

Merujuk pada persembahan pertama Shiro, mereka awalnya menghiburkan penonton dengan aksi pendekar bersama mahaguru sambil menyanyikan pelbagai lagu termasuk Kamelia (Ramli Sarip) dan Aku Cinta Padamu (Datuk Siti Nurhaliza).

David memuji persembahan kumpulan ini manakala Sheila melaungkan ‘Hidup YB!’ sambil berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan.

Shahrol, 27, yang bertugas di Jabatan Imigresen akui, kemenangan yang diraih suatu tidak dijangka sambil bersyukur atas rezeki dan sokongan juri dan semua mengundi mereka.

Mengenali rakannya, Hanaffi sejak zaman kanak-kanak, dia percaya itu juga antara faktor yang membantu persefahaman antara satu sama lain.

“Kami selalu berlatih, sehingga sebelum masuk tidur, kami merepek macam-macam perkara. Berbanding persembahan solo ketika mencuba nasib sebanyak empat kali melalui uji bakat program ini sejak musim ketiga, saya rasa lebih yakin apabila berdua di pentas.

“Menerusi pengalaman lalu juga saya banyak belajar dari kesilapan. Memang diikutkan keyakinan mengadakan persembahan solo dan berkumpulan berbeza.

“Apabila berkumpulan, persembahan jadi lebih seronok kerana saling dibantu rakan kita.

Namun demikian, bukan mudah mencari idea lawak untuk membuatkan orang ketawa.

“Apapun, kami berusaha untuk mempertahankan kumpulan ini terus bersama yakni tidak berpecah di masa depan,” katanya pada sidang media selepas acara selesai.

Bagi Hanaffi, 25, yang berkhidmat di Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dia tidak menganggap peserta lain yang bertanding sebagai satu ancaman kerana semua peserta ada peluang untuk menang.

“Seperti Shahrol, saya pernah mencuba nasib masuk program ini sejak musim kelima tapi gagal. Shahrol pernah cakap, dia nak masuk uji bakat setiap tahun kerana mahu mengadakan persembahan atas pentas suatu hari nanti.

“Dalam program ini, fokus saya pada persembahan setiap minggu adalah berharap dapat kekal lama untuk minggu seterusnya. Apa yang memberi cabaran kepada kami adalah apabila menerima pujian kerana ia membuatkan kami rasa tertekan,” katanya.

Selaku juara, Shiro membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 bersama trofi, barangan elektronik TV LCD Pensonic 42 inci, kamera Olympus Tough 6020, mesin basuh dan peti ais Fagor, vakum Elba serta jam tangan Alain Delon.

Pemenang tempat kedua, Zero berasal dari Kudat, Sabah pula menerima hadiah wang tunai RM50,000, trofi bersama barangan elektrik manakala Chuit di tangga ketiga membawa pulang RM30,000 bersama trofi serta barangan elektrik. Tidak ketinggalan, 2Yol bersama wang kemenangan RM10,000, trofi dan barangan elektrik.

Zero dianggotai adik-beradik, Sharif Kadil, Mohammad Syaiful dan Sharif Kunal Doli Sharif, tetap gembira atas kemenangan sebagai naib juara walaupun dua persembahan mereka menerima sorakan hebat penonton.

Mereka mencuit hati penonton dengan trio KRU, Norman, Yusry & Edry pada persembahan pertama, diikuti watak tiga samseng dengan salah seorangnya meniru karakter filem Tamil terkenal, Sivaji The Boss lakonan Rajnikanth.

“Kami tidak terfikir berada di sini kerana sebelum ini kami hanyalah nelayan. Pengalaman berada dalam program ini seperti bermimpi dan kami berterima kasih kepada juri yang memberi kritikan mengubah semangat kami,” ujar Sharif Kunal.

Anggota Cuit, Azmir Aziz pula berkata, pencapaian ke final bersama dua rakannya, Ahmad Shazli Hasim dan Mohd Ikhtiarudin Naina Mohd (Iktiar), sesuatu yang membanggakan.

“Kami tak pernah terlintas sampai ke final. Kami percaya semangat kental antara satu sama lain memberi kekuatan kepada Cuit,” katanya.

Cuit berasal dari Pulau Pinang menghiburkan penonton dengan jenaka loghat utara iaitu sketsa wayang kulit dan tiga hantu mengadakan perjumpaan.

2Yol yang dianggotai Azlan Abdullah dan Rohaizat Samin, terbuka menerima kedudukan di tempat keempat. Mereka juga yang pernah mencuba nasib sebanyak lima kali untuk uji bakat program ini melihat pencapaian kali ini adalah terbaik.

Sheila memuji dan menyukai konsep persembahan pertama 2Yol yang bermain kompang di kenduri kahwin, sambil memberi ingatan agar mereka tidak lupa diri selepas menang. Begitu juga, Sathia memberi komen positif terhadap 2Yol.

Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai, berkata Astro ada perancangan membabitkan peserta bukan juara program ini.

“Astro akan meneruskan Raja Lawak sebagai platform untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia jenaka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters