Jom Buat Duit

Monday 19 March 2012

Zizan Nin - Puas digandingkan dengan Faizal, Sidek Hussein

pix_middle

LEBIH sedekad berkecimpung dalam bidang seni iaitu sejak 2002, pelbagai pahit getir dilalui pelakon berkaliber, Zizan Nin. Bukan saja namanya terpalit gosip liar dan kontroversi sebaliknya, rumah tangganya yang bahagia turut terkena tempiasnya.
Namun pelakon berpengalaman yang pernah mengungguli kategori Pelakon Lelaki Harapan, dalam Festival Filem Malaysia Ke-20 ini tidak cepat melatah dengan kontroversi yang menimpanya.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Janji Seorang Anak, Epilog Syurga Cinta, Rafflesia dan Teater Muzikal Tun Mahathir ini tidak ingin menoleh ke belakang lagi kerana ingin terus bergerak maju dalam bidang lakonan yang sudah sebati dalam dirinya.

“Tahun 2012 terus menjanjikan masa depan yang cerah dalam karier seni diceburi. Antaranya, dua filem terbaru lakonan saya akan ditayangkan di pawagam iaitu Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki (terbitan Tarantella Pictures) dan Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba (Pesona Pictures).


“Secara peribadi, saya sendiri tidak sabar menantikan reaksi peminat membabitkan kedua-dua filem lakonan saya itu,” katanya.

Akui Zizan, selepas memenangi anugerah melalui Cinta Terakhir, ramai peminat terus menantikan filem itu ditayangkan di pawagam.

“Terus terang, saya sendiri tak tahu apakah kesudahannya dan terpulanglah kepada produser filem itu untuk memberi penjelasannya kepada peminat. Sebagai pelakon, saya sudah menjalankan tanggung-jawab dengan menampilkan lakonan terbaik seperti dikehendaki pengarah dan wataknya,” kata Zizan.

Selain filem, artis yang bernaung di bawah payung Aquila Emas Sdn Bhd (AE) ini tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon projek drama bersiri dan telefilem daripada pelbagai produksi drama tempatan.

Malah, sesi fotografi bersama Rap juga terpaksa diatur di lokasi penggambaran telefilem lakonannya berjudul Bertemu Kasih terbitan syarikat sendiri, AE yang membabitkan lokasi di Kampung Seri Gumum, Tasik Chini, Pahang, baru-baru ini.

Dalam projek telefilem sulung terbitan AE itu, Zizan bergandingan dengan pelakon Juliana Ibrahim yang bernaung di bawah pengurusan yang sama dengannya. Apa yang menarik, Zizan bawa watak anak Orang Asli, Gebo dalam telefilem arahan Roslan Hussin itu.

“Saya begitu bangga menyaksikan AE maju setapak lagi dalam bidang penerbitan pula. Dengan pengalaman dan kepakaran AE, saya yakin, AE dan artis-artis yang bernaung di bawahnya akan sama-sama maju,” katanya.

Pada masa sama, Zizan juga teruja dapat bergandingan dengan dua pelakon yang handal, Faizal Hussein dan Sidek Hussein, dalam drama itu.

“Saya rasa puas dan bangga dapat beraksi bersama mereka yang masing-masing memegang watak abang dan ayah Gebo. Mereka ada cara lakonan tersendiri dan cukup mantap. Saya rasa seronok sepanjang penggambaran itu berlangsung,” katanya.

Menyusul selepas itu, kata Zizan, dia masih dalam perbincangan untuk satu lagi projek filem baru tahun ini.

“Ia genre drama berat dengan nilai artistik dan seni yang tinggi. Walau apa pun, saya perlu mengambil kira faktor masa dan persiapan untuk turut serta di dalam projek itu.

“Saya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan. Semuanya, saya serahkan kepada pengurusan AE untuk mengatur jadual dan perancangan karier seni. Selain itu, peminat boleh berinteraksi dan mengikuti perkembangan karier seni saya melalui laman sosial twitter: zizannin serta fb/fan page: zizan nin,” katanya.



Teringin bercuti ke Maldives

Menyentuh cerita peribadinya pula, duta Jaspal, Pensonic dan Estee Lauder ini memberitahu rumah tangga yang dibina dengan penyampai berita Edisi 7, Fazilah Hani Harun yang di bina lebih setahun lalu bahagia walaupun belum dikurniakan cahaya mata.

“Kami akan berpindah ke rumah baru tidak lama lagi. Pastinya, kami suami isteri tidak sabar untuk berpindah ke rumah dan lokasi baru dan bersama-sama menghias rumah impian itu.

“Sementara belum ada rezeki untuk kami menimang cahaya mata, kami mahu bercuti ke luar negara dan destinasinya belum diputuskan lagi. Saya teringin bercuti ke Maldives,” katanya.

Kesibukan berlakon nyata tidak pernah menghalang Zizan yang berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan, De Montfront University, Leicester, England serta Diploma Pengurusan Perakaunan dari Institut Perdagangan Mara Kuala Lumpur ini untuk memenuhi cita-citanya untuk bergelar pensyarah pada tahun ini.

“Saya akan mula menjalankan tugas sebagai pensyarah jemputan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang tidak lama lagi. Saya bukan mengajar pelajar peringkat diploma dan ijazah untuk menjadi pelakon tetapi lebih kepada subjek dan pendedahan industri hiburan.

“Pendek kata, ia lebih kepada persediaan untuk menceburkan diri dalam bidang hiburan di Malaysia. Saya akan menjadi pensyarah secara separuh masa saja kerana jadual kerja yang padat dengan aktiviti lakonan,” katanya.

Zizan juga menafikan dia menjadi pensyarah untuk mengejar wang sebaliknya kerana minat dan ingin mencurahkan pengalaman sedia ada pada anak bangsa di luar sana.

“Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar, setakat ini. Saya sudah menyiapkan modul pengajaran saya sendiri, dan sudah mendapat penilaian dari fakulti berkenaan.

“Tidak saya nafikan, bahan rujukan berkaitan bidang hiburan tanah air amat terhad dan saya sendiri tercari-cari bahan rujukan untuk buat kajian kerana yang ada hanyalah buku-buku dari luar negara.

“Jadi, saya buat keputusan, lebih baik kalau saya sendiri dapat mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang dilalui selama hampir 12 tahun kepada pelajar yang mengikuti bidang berkaitan,” katanya.


Trivia Zizan Nin

  • Tabiat buruk diri sendiri
    Suka membaca dalam gelap, malas nak bercukur dan tak suka gosok baju
  • Buku terakhir yang dibaca
    Tuhan Manusia tulisan Faisal Tehrani
  • Destinasi percutian yang menjadi impian
    Maldives, Eropah Timur dan Kota New York
  • Warna kegemaran
    Coklat
  • Harta benda kesayangan
    Portable DVD Player dan koleksi filem DVD kegemaran
  • Aktres Hollywood pujaan
    Natalie Portman
  • Aktor Hollywood kegemaran
    Leonardo DiCaprio
  • No comments:

    Post a Comment

    Klik Untuk Saya k... :)

    free counters