BANYAK perkara yang mahu diselesaikan anak-anak buah Mat Zan Mat Aris apabila Terengganu melayan kunjungan Perak pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Selain mahu membalas dendam selepas tewas 0-1 kepada Perak pada aksi pembukaan Liga Super, Januari lalu, skuad Penyu itu turut bertekad meneruskan kemaraan ke suku akhir, sekali gus berusaha mempertahankan Piala FA yang dimenangi musim lalu.
Atas kertas, kelebihan jelas memihak kepada tuan rumah itu yang kini berada pada prestasi terbaik, termasuk merekodkan kemenangan sulung di pentas Asia dengan menewaskan gergasi Vietnam, Song Lam Nge An pada kempen Piala AFC.
Justeru, hanya keyakinan tinggi yang dituntut oleh Mat Zan kepada anak-anak buahnya dalam usaha menghadirkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri nanti.
“Kami adalah juara bertahan dan sudah pasti kami mahu mara lebih jauh dalam saingan ini.
“Lagi pun, menentang Perak akan memberi peluang kepada kami untuk membalas dendam ke atas pasukan itu selepas kami tewas dalam Liga Super,” kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, kebimbangan tetap dirasai Mat Zan apabila dua tonggak utamanya, Marzuki Yusof dan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dikhabarkan masih dibelenggu kecederaan.
Tambahan pula, beberapa pemain dipercayai masih keletihan selepas melalui jadual perlawanan yang ketat sepanjang minggu ini.
“Marzuki sudah pasti tidak dapat diturunkan, manakala Shar- binee pula berada dalam keraguan. Saya berharap Sharbinee dapat pulih segera sebelum perlawanan bermula.
“Bagi pemain lain, saya akui mereka terlalu letih apabila kami perlu melalui tiga perlawanan penting dalam tempoh lapan hari,” ujarnya.
Sebelum aksi malam ini, kemampuan Terengganu terlebih dahulu diuji apabila mereka bertandang ke Stadium Vinh, Vietnam bagi memulakan kempen Piala AFC, Selasa lalu.
Tiga hari sebelum itu, skuad Penyu turut dikerah bekerja keras sebelum menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Tuah, Melaka.
“Liga Super, Piala AFC dan Piala FA merupakan saingan berbeza tetapi kami perlu memberi tumpuan kepada perlawanan malam esok (malam ini) kerana kami akan turun sebagai juara bertahan,” tambahnya.
Mengenai polemik dalaman yang dikatakan menimpa kem Terengganu ekoran perilaku pemain importnya, Francis Forkey Doe, Mat Zan tidak mahu terlalu memikirkannya.
“Saya hormati setiap teguran ataupun peringatan yang diberi- kan kepada pemain-pemain saya termasuk dalam isu peng- libatan dalam rasuah.
“Namun secara peribadi, saya percaya perkara tersebut tidak berlaku kerana mereka (pemain) profesional,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment