BABAK percintaan pasangan Jack bersama Rose menerusi filem legenda Titanic begitu meninggalkan nostalgia manis buat peminat.
Filem ‘remake’ yang ditayangkan pada 1997 ini mencipta fenomena apabila mendapat sambutan hangat penonton seluruh dunia dengan kutipan ‘box-office’ melebihi AS$600 juta di Amerika Syarikat (AS) manakala AS$700 juta lagi di seluruh dunia.
Kejayaan besar filem arahan James Cameron ini bukan saja pada kisah sebenar tragedi kapal pelayaran mewah RMS Titanic yang tenggelam di dasar Lautan Atlantik Utara pada 15 April 1912 tetapi gandingan dua pelakon hebat, Kate Winslet bersama Leonardo DiCaprio.
Sesudah 15 tahun ditayangkan, kini muncul pula versi tiga dimensi (3D) yang akan menemui penonton di negara ini pada 5 April ini.
Semuanya masih sama kecuali peminat kini dapat melihat kesan visual yang lebih realistik apabila teknologi 3D diaplikasikan ke atas karya yang hebat itu.
Ia berkisar mengenai Rose, nenek berusia 84 tahun yang menceritakan kembali pengalamannya bersama kapal Titanic kepada cucunya, Lizzy serta kru yang cuba menjejaki semula bangkai kapal mewah itu.
Dalam satu temu bual dengan media antarabangsa, Kate menyatakan, Titanic 3D suatu yang luar biasa. Dia cukup gembira dapat menyaksikan versi terbaru itu walaupun hanya beberapa minit.
“Saya terkejut dan tak percaya itu adalah diri saya. Namun saya sedar lakonan saya dalam filem ini bukanlah yang terhebat. Merujuk kepada perkara yang berlaku 15 tahun lalu, saya kini banyak belajar dan berubah.
“Saya terfikir juga apakah kami semua akan kembali popular apabila Titanic 3D ini ditayangkan?” katanya.
Kate, 36, mengakui sangat teruja menantikan filem ini ditayangkan kepada khalayak kerana menganggap ia dapat memberi pengalaman kepada generasi baru.
Menariknya, Kate turut membawa dua anaknya, Mia, 11, Joe, 8, menonton bersamanya buat pertama kali.
Kejayaan Titanic memberikan makna besar pada karier seni Kate yang meniti populariti bersama DiCaprio. Produser, Jon Landau dijangka berada di Australia pada bulan ini untuk mempromosikan filem ini. Namun Kate menyatakan dia bersama DiCaprio tidak dapat hadir untuk ‘reunion’ kali ini.
Filem berkonsep 3D menjadi pertaruhan baru pembikin filem Hollywood dalam memberi tarikan pada penonton terhadap filem sama tetapi diberi sentuhan teknologi moden.
Pendekatan Cameron terhadap teknologi turut digunakan George Lucas bagi menghasilkan Star Wars Episode I - The Phantom Menacen yang ditayangkan pada 9 Februari lalu.
Segelintir pengkritik filem berpandangan Lucas perlu belajar daripada rakannya, Steven Spielberg yang tidak membuang masa memberi pembaharuan kepada filem lamanya, ET sebaliknya menerokai 3D dengan menghasilkan filem baru, The Adventures of Tintin.
Cameron berpandangan, eksperimennya menghasilkan filem 3D seperti Avatar yang menelan kos sebanyak AS$237 juta dianggap berjaya menarik penonton ke pawagam.
Namun mengikut rekod 47 filem versi 3D ditayangkan pada tahun lalu termasuk Harry Potter dan filem francais Transformers, kutipan box-office dilaporkan menurun dan menyaksikan jualan tiket daripada 24 peratus kepada 20 peratus.
Biar apapun pandangan sinis dilontarkan pengkritik seolah-olah filem lama diberi nafas baru menerusi teknologi 3D, filem Titanic 3D diramal mencatat satu lagi pencapaian menarik buat Cameron bersama barisan pelakon dan kru produksinya.
Bersama Kate yang pernah menang anugerah Oscar menerusi The Reader pada 2009 dan DiCaprio selaku tunjang utama, filem ini turut dibintangi Billy Zane, Kathy Bates dan Bill Paxton.
No comments:
Post a Comment