USIA pembabitan penyanyi juga komposer terkenal ini baru menjengah enam tahun dalam bidang seni. Namun nama dan jenama yang dicipta sudah jauh melangkaui kebanyakan penghibur lain.
Taylor Swift lebih awal merangkul pengiktirafan dan anugerah termasuk trofi Grammy atas kehebatannya mengarang lagu serta mengalunkan vokal tersendiri.
Bagaimanapun, dalam pada sibuk mencari ilham bagi mencipta lagu untuk koleksinya, bintang muda berusia 23 tahun kelahiran Reading, Pennsylvania, Amerika Syarikat ini perlahan-lahan membina nama dalam lakonan pula.
Tidak sesekali mengabaikan masa dan tanggungjawabnya sebagai penyanyi, pemilik vokal bersahaja ini gigih mencuri ruang membuktikan bakat lakonannya.
Muncul dalam filem Valentine’s Day sebelum ini di samping nama besar termasuk Julia Roberts dan Ashton Kutcher, Swift menerima pujian positif sehingga menyuntik semangatnya untuk terus beraksi.
Jelasnya, lakonan adalah satu lagi cabang seni yang memboleh�kannya bercerita dan menyampaikan mesej kepada penonton.
“Percaya atau tidak, pertama kali memegang skrip dan cuba melontar dialog, saya tidak rasa janggal. Menyampaikan cerita dengan emosi yang tepat bagi memastikan penonton dapat merasakan apa yang ingin diceritakan.
“Sepanjang menjadi penyanyi dan menyampaikan setiap lagu di depan peminat, emosi dan gerak bercerita tetap saya lakukan agar peminat dapat menghayati setiap lagu yang saya nyanyikan. Lantas, saya tidak rasa terlalu aneh meskipun bidang lakonan adalah sesuatu yang baru buat saya.
“Lihat saja Valentine’s Day, saya hanya selamba menghidupkan watak mengikut kehendak skrip dan tuntutan pengarah hingga akhirnya ramai pihak memberikan ulasan positif. Itu sudah cukup buat saya gembira dan yakin untuk mencuba watak yang lain pula,” katanya.
Mengenai kekangan waktu apabila dua kerjaya harus dilakukan serentak, Swift yang kini sudahpun selesa dengan tiga album studio dan lebih 10 anugerah antarabangsa, menyangkal dirinya menghadapi masalah membahagikan masa, sebaliknya lakonan dan nyanyian adalah dua komitmen yang masih mampu ditanganinya dengan baik.
“Tidak pernah menjadi masalah kepada saya dalam mengimbangi dua kerjaya ini.
Saya akan meletakkan sepenuh fokus kepada lakonan apabila saya tidak terikat dengan jadual promosi album, konsert ataupun persembahan pentas lain,” katanya yang pernah muncul dalam Jonas Brothers: The 3D Concert Experience, CSI: Crime Scene Investigation dan Hannah Montana: The Movie sebagai cameo.
Terbaru, penyanyi yang popular menerusi lagu You Belong To Me dan Love Story ini tampil dengan filem animasi terbaru sentuhan pengarah Chris Renaud berjudul The Lorax.
Meminjamkan suaranya bagi watak Audrey dalam filem yang turut membariskan pelakon lain termasuk Zac Efron, Danny DeVito dan Ed Helms, Swift menyifatkan peluang yang diberi adalah sesuatu yang cukup istimewa kerana dapat menghidupkan watak yang dibangunkan idolanya ketika kecil iaitu Dr Seuss.
“Saya bagaikan bermimpi apabila berpeluang melakonkan watak yang pernah difikirkan Dr Seuss lama dulu. Saya terharu dan cukup gembira dengan peluang yang diberi kerana Dr Seuss sememangnya idola yang banyak memberi inspirasi kepada saya selama ini.
“Setiap hasil kerjanya dan buku tulisannya pasti memberikan impak dan saya sendiri adalah salah seorang peminat yang tidak henti mengikuti setiap satu naskhah sentuhannya. Jujurnya, Dr Seuss adalah inspirasi buat saya dan banyak mempengaruhi hasil kerja saya terutama dalam mencipta lagu dan melodi.
“Jika ada yang masih ingat, setiap jalur cerita yang disampaikan Dr Seuss dalam bukunya, dengan gambar yang diletak bagi menterjemahkan perjalanan cerita dan dialog pada setiap watak yang ada dalam cerita itu begitu seimbang sehingga mampu mengundang pembaca tersenyum dan menerima mesej yang ingin disampaikan.
“Justeru, saya sangat bertuah apabila kini saya pula yang tampil menghidupkan watak Audrey yang saya sifatkan hebat dan sempurna,” katanya.
Selain berasa bangga dan gembira, Swift turut tertarik dengan plot cerita dan mesej yang cuba disampaikan menerusi The Lorax.
“Lebih empat dekad lalu, Dr Seuss sudahpun menulis cerita ini dan setiap watak yang dibangunkan adalah sebuah kehidupan yang klasik. Saya sendiri membesar dengan karya sentuhannya dan kali ini siapa sangka, saya pula berpeluang meminjamkan suara untuk watak Audrey yang saya sifatkan menarik dan penuh warna.
“The Lorax adalah sebuah filem animasi yang mengangkat plot cerita mengenai alam sekitar dan kepentingan hidupan hijau dalam dunia. Bayangkan, sejak zaman dulu pada 1971 lagi, Dr Seuss sudahpun memikirkan soal ini iaitu manusia terlalu tamak dan lupa diri hingga sanggup mengabaikan kehidupan lain termasuk pokok dan tumbuh-tumbuhan semata-mata untuk kepentingan sendiri.
“Audrey pula seorang gadis yang misteri dan berbeza kerana minatnya lain daripada orang lain hingga membuatkan Ted (lakonan Zac Efron) bersungguh-sungguh untuk mendapatkan perhatiannya. Saya meneliti watak dan karakter Audrey, ternyata ia memberikan saya perspektif yang berlainan sebagai seorang pelakon,” katanya yang mengagumi lakonan Efron.
Sementara itu selepas mencetuskan fenomena menerusi dua album terdahulu, Taylor Swift pada 2006 dan kemudian Fearless pada 2008, Swift yang pernah diangkat sebagai pelapis muzik Country terbaik di Amerika Syarikat muncul dengan percubaan terbarunya, Speak Now.
Speak Now mengandungi 14 lagu termasuk Mine, Sparks Fly, Back to December, Speak Now, Dear John, Mean, The Story of Us, Never Grow Up, Enchanted, Better Than Revenge, Innocent, Haunted, Last Kiss dan Long Live.
No comments:
Post a Comment