JOHOR BAHRU: Johor mengalami perubahan dan menuju negeri maju menerusi 59 projek pembangunan merangkumi enam bidang iaitu tiga bidang ekonomi berpotensi tinggi dan tiga bidang berkaitan peningkatan kualiti kehidupan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, semua projek di bawah Program Transformasi Koridor dan Bandaraya Iskandar Malaysia membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM139.3 bilion.
Beliau berkata, semua projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mampu menjana Pendapatan Kasar Negara (PKN) sebanyak RM25.57 bilion sekali gus menawarkan 68,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.
Menurutnya, kerajaan menggubal Program Transformasi Koridor dan Bandaraya Iskandar Malaysia ini menerusi sebuah makmal koridor dan bandar raya yang dijalankan dari September hingga November 2011 lalu di bawah kelolaan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu). “Pada Disember 2011, saya meninjau kepesatan pembangunan di Nusajaya sekali gus berpeluang menyaksikan pelaksanaan pelaburan baru, seperti Johor Premium Outlets dan beberapa projek lain merangkumi sektor pembuatan, pendidikan dan industri kreatif.
“Februari lalu pula, saya meninjau projek pembangunan pesisiran pantai, termasuk di Danga Bay, ia menunjukkan perancangan pembangunan dilaksanakan sebaik mungkin. “Kali ini saya bersama-sama menyaksikan dan meraikan penterjemahan aspirasi pembangunan ekonomi oleh kerajaan menerusi program transformasi bertujuan meningkatkan kemakmuran negara,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Hari Terbuka dan Program Transformasi Koridor dan Bandaraya Iskandar Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, semalam.
Hadir sama, Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Eksekutif Pemandu, Senator Datuk Sri Idris Jala; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim dan barisan ahli Exco kerajaan negeri.
Katanya, program terbabit menggabungkan strategi dan pendekatan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta dilengkapkan rancangan pembangunan di peringkat negeri Johor dan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.
No comments:
Post a Comment