Jom Buat Duit

Wednesday, 14 March 2012

Aura Empat Legenda



BOLEH dilabelkan sebagai 'The Fantastic Four' berdasarkan kepada aura dan kehebatan masing-masing yang tersendiri dalam dunia nyanyian, buat pertama kalinya, empat bintang dan penghibur tersohor tanah air Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Jamal Abdillah dan Amy Search bakal berkongsi pentas untuk konsert yang dijangka mampu menjadi suatu legenda.

Diberi judul sesuai dengan keempat-empat penghibur bertaraf legenda itu iaitu The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya, konsert jelajah itu bakal berlangsung di lima negeri iaitu Kota Kinabalu, Sabah pada Mei depan, Pulau Pinang (19 Mei), Johor Bharu (26 Mei), Kuching (23 Jun) dan berakhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (30 Jun).

Bukan senang untuk menggabungkan keempat-empat legenda muzik ini kerana ia telah mengambil masa dua tahun lamanya untuk 'mengunci' jadual keempat-empat mereka.
Menurut pencetus idea konsert tersebut iaitu penyanyi Zainal Abidin sendiri, idea tersebut timbul kerana dia ingin menaikkan semula martabat konsert artis tempatan yang dilihat semakin kurang hebat dan diatasi oleh konsert artis antarabangsa.

"Apa yang dilihat, peminat sudah banyak diberi konsert percuma dengan menampilkan artis-artis dalam karnival yang sering dilakukan. Jadi konsert yang berbayar dilihat semakin perlahan. Namun, bagi konsert antarabangsa pula, mereka sanggup bayar mahal.
"Jadi dengan penggabungan sebegini merupakan cara untuk mengatasi perkara tersebut. Kumpulkan yang terbaik di atas satu pentas untuk memberikan impak yang memang terbaik.
PERANCANGAN projek The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya mengambil tempoh dua tahun untuk disempurnakan sebelum berjaya mengumpulkan Zainal Abidin, Jamal, Sheila dan Amy.
 
"Jika kami setiap seorang dapat membawakan 10,000 peminat, jika digabungkan semakin ramai peminat yang dapat dikumpulkan," beritahu Zainal yang berjaya melaksanakan idea ini dengan bantuan pengurusnya, Angelina Asmawi serta Kevin Kim dari Research Venture Lab sebagai rakan kongsi.

Tambahnya, konsert itu merupakan suatu perkongsian yang sangat baik kerana dengan membayar harga tiket yang sama, peminat dapat melihat empat orang artis legenda terbaik yang membawakan genre yang berbeza. Ia juga dilihat akan mengembalikan semula fenomena konsert berbayar dalam industri tempatan.

Amy mengujakan Sheila
"Celebration of Malaysian music!" ucap Datuk Sheila Majid tentang perasaannya yang bakal menjayakan The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya.
Meluahkan pendapat, tutur Sheila, konsert ini bukan mengenai siapa lebih hebat atau baik, tapi ia mengenai persembahan muzik dalam genre masing-masing yang selama ini berjaya bertahan dalam industri seni tempatan.

"Kami tidak perlu risau dengan kelebihan yang ada pada diri masing-masing kerana kami mempunyai kelebihan masing-masing. Kami juga telah lama berada dalam industri dan sudah semestinya peminat telah mengetahui tentang keistimewaan kami berempat.
"Setiap daripada kami juga ada peminat yang tersendiri dan juga cara kami untuk menguasai pentas ketika membuat persembahan. Saya harap segalanya akan berjalan dengan lancar dan Insya-Allah, kami dan peminat semua akan dapat apa yang mereka mahukan," bicara penghibur bertubuh kecil molek ini.

Walaupun sudah 27 tahun berada dalam industri muzik tempatan, Sheila akui dia masih dalam proses pembelajaran. Bagi dirinya, dia begitu teruja apabila menonton persembahan Amy Search di atas pentas. Ini kerana setiap kali membuat persembahan, katanya, Amy mampu menyampaikan aura dan karisma melalui persembahannya kepada peminat yang hadir.
Mengimbau kenangan, cerita Sheila, mereka berempat tahu bagaimana susah senang berada dalam industri muzik dan setakat ini sangat senang bekerja bersama. Pengalaman berpuluh-puluh tahun dalam arena muzik telah mengajar mereka erti susah senang dan sangat bersyukur kerana kerja keras yang dilakukan selama ini telah membawa mereka ke aras terkini serta masih diterima peminat.

Keterujaan Jamal dan Amy
Siapa tidak kenal dengan Jamal Abdillah yang sememangnya masih digilai ramai wanita sehingga kini. Wanita yang mendengar nyanyiannya pasti terbuai dengan alunan suara merdu lelaki ini.

WALAUPUN sudah 27 tahun berada dalam dunia muzik, Sheila menegaskan dia kini masih dalam proses pembelajaran.


Disifatkan sebagai seorang yang agak pendiam oleh Amy, Zainal dan Sheila, Jamal meluahkan rasa terujanya untuk bergabung bersama tiga penghibur legenda tersebut di atas sebuah pentas pada sesi sidang akhbar yang diadakan di Hard Rock Café, Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Tujuan saya menyertai konsert jelajah ini kerana pertamanya menyanyi merupakan perkara yang saya lakukan dan ia memang jiwa saya. Saya memang teruja untuk bersama Amy, Sheila dan
Zainal.

"Selain itu, saya juga berbangga kerana dapat bersama mereka yang berkarisma dan punya kebolehan yang amat tinggi di konsert ini kelak. Apa yang saya boleh janjikan, selagi nyawa masih dikandung badan, jemputlah saya, saya tidak akan kecewakan sesiapa sahaja dan buat yang terbaik," ujar pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu.

Dalam pada itu menurut Amy Serach pula, konsert tersebut nanti bukan persembahan yang biasa dilakukan, namun ia merupakan sebuah konsert yang harus berbaloi dengan apa yang dibayar oleh peminat yang hadir.

"Konsert ini merupakan konsert terbesar yang diadakan kelak dan saya juga teruja untuk terlibat sama selain tidak sabar untuk melaluinya kelak bersama rakan Zainal, Sheila dan Jamal.

Semestinya kesemua mereka mempunyai magis tersendiri dan ini merupakan masa yang sesuai untuk kami persembahkannya bersama-sama.
"Selain itu, sebagai artis senior dalam industri hiburan tempatan, kami juga perlu menaikkan semula persembahan pentas oleh artis tempatan dan kami mengambil ia sebagai satu tanggungjawab untuk merancakkan semula arena tersebut," ujarnya.
Sebarang maklumat lanjut mengenai The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya khususnya mengenai pembelian tiket, boleh layari www.legendary.my.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters