TENANG...sinematografi 7 Petala Cinta sangat indah.
Seperti kelaziman, genre sebegini menerima sambutan sederhana daripada penonton. Bagaimanapun, ia sedikitpun tidak mengubah pendirian produser Mejar David Teo untuk terus menghasilkan filem genre Islamik. Terbaru, mereka tampil dengan filem 7 Petala Cinta yang akan menemui peminat bermula esok.
Diarahkan Azhari Zain, filem ke-57 terbitan MIG ini mengangkat sebuah kisah cinta agung antara golongan Adam dan Hawa berlandaskan nilai murni, persahabatan dan pengorbanan. Paling penting, genre ini mampu mengubah pandangan penonton terhadap Azhari yang sinonim dengan filem ringan seperti genre seram dan komedi romantis ‘urban’.
Gabungan pelakon muda iaitu Aeril Zafrel, Fizo Omar, Diana Amir, Shima Anuar, Epy Raja Lawak dan Zalif Sidek menjadi pertaruhan berani MIG untuk menarik penonton ke pawagam. Gandingan ini diperkuatkan lagi dengan bantuan pelakon lain iaitu Ustaz Dini Juri, Ummi Rosiah, Zul Suphian, Wak Di dan Alex Yanz.
Tiga watak penting iaitu Aeril, Diana dan Shima yang hadir ke sesi fotografi di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini berkata, 7 Petala Cinta sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding filem sedia ada. Selain jalan cerita berbeza, filem ini menuntut mereka bekerja keras dalam menghidupkan wataknya.
Aeril yang dilihat bayangan hero baru dunia seni tanah air, bertuah kerana dua filemnya menemui peminat pada masa terdekat. Mencuit hati dengan karakter selamba dan santai sebagai Adam menerusi filem Cinta Kura-Kura terbitan KRU Studios sebelum ini, perwatakannya bertukar menjadi matang sebagai Ahmad Fakaruddin Attar (Attar) menerusi 7 Petala Cinta.
“Saya kena fokus sepenuhnya bagi menghidupkan watak ini. Sebelum bertukar jadi baik, Attar adalah pemuda ganas dan jahil. Satu hari dia dikejar polis dan terpaksa berlindung di sebuah pusat agama, Madrasah Qalbun Salim.
Apabila polis sampai dan bertanyakan Aby Ikhwan (seorang guru agama di situ) mengenai Attar, dia sanggup menipu demi menyelamat�kan Attar.
“Biarpun selamat, Attar pula mempertikaikan kata-kata Aby Ikhwan yang sanggup menipu. Namun Aby Ikhwan membalas dengan ayat yang memberi kesan ke lubuk jiwanya sehingga menyebabkan dia terdetik mendalami Islam dan berhijrah. Lalu Attar diambil sebagai anak angkat dan jadi murid yang sangat rendah diri di madrasah itu.
“Dia disuruh buat pelbagai kerja antaranya susun selipar kerana Aby Ikhwan mahu membentuknya supaya jadi sabar. Karakter ini saya buat dengan sebaik mungkin agar peminat dapat merasai transformasi yang berlaku dalam diri Attar.
Konflik timbul apabila Attar secara tiba-tiba jatuh cinta dalam diam terhadap Saidatul Nafisah (Shima Anuar), anak Aby Ikhwan.
“Attar reda apabila tahu Saidatul Nafisah bertunang dengan Hamka (Fizo Omar) yang menyambung pelajaran di Yaman. Bagaimanapun, dia tetap menaruh harapan.
Tidak mudah sebenarnya kerana perasaan cinta antara mereka bukan ditunjukkan secara terang-terangan sebaliknya dibuat dengan tertib.
“Cabarannya, apabila menyentuh mengenai konsep perhubungan bukan mahram dalam Islam, percakapan perlu dijaga dengan sebaiknya. Begitu juga dengan dialog yang tak boleh keterlaluan. Saya kena kenal watak ini.
“Sebagai pelakon, saya kena menjiwai watak bukan saja di set tapi juga di luar lakonan. Saya akui sebelumnya, namun berlakon filem ini saya jahil dalam banyak benda lalu cuba mendekatkan diri saya dengan Allah s.w.t. Malah sebelum berlakon, saya buat sembahyang sunat dan berdoa agar diberi kekuatan untuk membawakan watak ini.
“Selepas habis filem ini juga, saya terdetik untuk menjalani aktiviti sosial bersama kawan-kawan dan lebih senang berada di rumah kalau tiada kerja,” katanya.
Seperti diduga, Aeril sedar peminat akan membandingkan filem ini dengan filem dakwah dari Indonesia seperti Ayat-Ayat Cinta, Perempuan Berkalung Sorban dan Di Bawah Lindungan Kaabah.
Katanya, perbandingan ini tidak dapat dielak kerana syarikat produksi tempatan kurang menghasil�kan filem genre Islamik berbanding Indonesia. Untuk itu, dia mengharapkan agar peminat memberikan sokongan padu sebagai pembakar semangat buat mereka.
Agak unik buat Shima Anuar kerana ini adalah filem kedua lakonannya dan juga yang kedua ditayangkan selepas Sumpahan Kum Kum. Menariknya, dia terpilih memegang watak Saidatul Nafsiah selepas pengarah menilai kesesuaian matanya dengan karakter ini.
“Sangat berbeza kerana Sumpahan Kum Kum sebuah filem seram sedangkan 7 Petala Cinta genre Islamik. Saya kena bawa imej muslimah yang berhijab dan hanya nampak mata saja. Sememangnya saya terkejut dan menggigil apabila Abang Azhari beritahu saya berjaya bawa watak ini.
“Sebelum berlakon, saya kena ikuti kelas yang ditetapkan seperti kelas mengaji dan sebagainya untuk mendalami watak. Cabarannya, semua ekspresi watak hanya diperlihatkan menerusi permainan mata saja.
“Ini juga kali pertama saya kena menangis dalam filem dan untuk melakukannya, saya membayang�kan kehilangan ibu sejak ketika saya berumur 11 tahun,” katanya.
Diana Amir pula melakonkan watak Hilma Aqila, adik kepada Hamka. Pengalaman bertudung menerusi filem ini berjaya membawa perubahan sangat besar terhadap dirinya kerana tidak berapa lama kemudian, dia terus membuat keputusan bertudung dalam menjalani kehidupan.
“Sebelum ini pun, saya banyak bawa watak ringan dalam lakonan dan kali ini lebih berat. Saya belum bertudung lagi ketika filem ini dibuat dan sebelum penggambaran, saya juga kena ikuti kelas mengaji. Pada saya tiada watak yang senang. Dari sinilah saya terbuka hati untuk terus bertudung.
“Ketika di set, keserasian setiap pelakon sangat bagus. Filem begini sangat indah dan membuatkan saya tenang. Setiap filem berdiri atas kekuatan sendiri dan tak boleh dibandingkan dengan filem lain. Saya suka sinematografi 7 Petala Cinta yang sangat cantik dan ia sebenarnya berbeza daripada filem Indonesia,” katanya.
No comments:
Post a Comment