Jom Buat Duit

Saturday 11 February 2012

Faizal AF belum pupus



FAIZAL bakal muncul dengan tiga buah single pada bulan April ini.


MELIHAT sisi fizikal lelaki ini, tidak banyak yang berubah. Dari gerak tubuh sehinggalah kepada nada percakapannya, dia tenang berinteraksi. Seolah-olah tiada masalah yang dihadapinya.

Namun, dari sisi lain, pemilik nama Mohammad Faizal Ramly ini sebenarnya menyimpan seribu kisah. Kisah yang mungkin sukar untuk didedahkan kepada umum atas kapasitinya sebagai seorang suami dan seorang bapa.

Lantas, sikap rendah dirinya itu telah memakan diri. Dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menghambur segala bentuk gosip semata-mata untuk mematikan aura juara program realiti Akademi Fantasia musim keempat itu.

Secara realitinya, Faizal tetap menerima hakikat itu dan mengakui personaliti kampung yang dipegangnya selama ini hampir sahaja membunuh kariernya sebagai anak seni.

Kini, selepas tiga tahun memendam rasa, penyanyi yang juga pelakon berusia 28 tahun ini sudah bersedia. Dalam erti kata lain, Faizal sudah cukup ilmu untuk berdiri di saf depan dalam misi menyambung perjuangannya sebagai seorang artis.

“Hilangnya saya tidak bermakna karier saya telah berakhir. Orang boleh bercakap apa sahaja dan menabur fitnah sebanyak mana, tetapi saya adalah saya. Saya tidak perlu menjadi hipokrit untuk berada di hadapan. Cukuplah selama ini saya bersabar dan hanya mampu mendengar cakap-cakap orang,” kata anak kelahiran Marang, Terengganu ini dalam satu pertemuan khas bersama Kosmo! di Hotel Sumai, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Berpaksikan niat untuk mencari rezeki yang halal, Faizal yang pernah muncul dalam filem Momok The Movie dan Pulau Asmara secara jujur mendedahkan yang dia begitu rindukan dunia hiburan. Rindu untuk bertemu peminat dan rindu untuk membuat persembahan.
Bagaimanapun, Faizal akui beraksi di lapangan hiburan ini ibarat bertempur di medan perang. Baginya, setiap kecacatan yang diperbuat pasti akan menerima kesan buruk daripada pihak lain.
Justeru, tempoh tiga tahun yang dianggapnya sebagai tempoh ‘berehat’ selama ini akan dipergunakan untuk dia tampil lebih bersemangat.

“Saya berada dalam lapangan ini atas kehendak peminat. Peminat yang julang saya sehingga menjadi juara. Bagaimana mungkin saya boleh lupakan kerjaya yang telah mengubah hidup saya.
“Tetapi untuk kembali selepas tiga tahun menyepi, ia bukanlah kerja mudah. Saya perlu lebih bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi apa juga cabaran. Sebab itulah saya perlukan masa sebelum mengumumkan kehadiran semula saya dalam industri ini,” ujarnya jujur.
Ditanya persoalan ke mana menghilangnya insan bernama Faizal ini selama tiga tahun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Lihatlah ini tegas dengan pendiriannya bahawa apa yang dilakukannya selama ini adalah atas faktor peribadi.

Malah katanya, keputusan dirinya untuk tidak tampil secara terbuka di mana-mana persembahan mahupun sidang media bukanlah semata-mata mahu lari dari realiti sebenar, tetapi lebih kepada keputusan bijak untuk meredakan keadaan.
Kata Faizal, banyak perkara yang perlu diselesaikan selama tempoh rehat itu termasuklah menguruskan keluarganya bersama isteri, Nur Asyikin Mansor dan anak tercinta, Nur Alia Damia yang kini berusia dua tahun.

“Ada orang kata saya sengaja menghilangkan diri kerana terlibat dalam perlbagai perkara yang tidak baik, tetapi tidak sebenarnya. Saya hanya berehat dan mencari ilham untuk membuat lagu. Saya tidak lari ke mana-mana dan saya masih seperti dahulu,” katanya.
Justeru, Faizal menagih budi baik semua pihak agar tidak melabelnya sebagai artis bermasalah hanya kerana tuduhan-tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepadanya.
Jelasnya, cukuplah selama ini dia berdiam diri tanpa memberi tindak balas di atas segala gosip yang menimpa.

“Banyak hati yang perlu saya jaga dan kini saya sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak. Janganlah hanya kerana fitnah-fitnah itu, periuk nasi saya dalam industri terjejas,” katanya lagi.
Sebagai permulaan kata Faizal, dia kini lebih bersedia untuk bergerak solo tanpa bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman.
Perancangan awal katanya, dia bakal tampil dengan tiga buah lagu baharu yang mendapat sentuhan pemuzik terkemuka, Awang BPR dan Aidil AF.

“Tiga lagu ini yang akan dimuatkan dalam album single saya bakal menemui peminat pada bulan April ini. Ia berkonsep rancak, pop balada dan balada. Saya cuma berharap lagu-lagu ini akan diterima baik kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal juga menjelaskan dia sedia menerima persaingan daripada artis-artis muda sedia ada termasuk dari segi penampilan.
“Mungkin saya perlu mengubah sikit penampilan agar kehadiran saya ini diterima oleh orang ramai,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters