Jom Buat Duit

Friday 24 February 2012

Prihatin persatuan

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Di sebalik cahaya glamor dunia hiburan, ada sebahagian karyawan seni terpinggir dan menderita terutamanya mereka yang bergelar veteran. Walaupun tidak semua, masih ada yang terkial-kial berlakon serta melakukan kerja lain selagi termampu bagi meneruskan kelangsungan hidup pada usia emas mereka.
Episod derita ini turut dirasai Datuk Yahya Sulong yang sudah lama menghidap asma dan pelbagai penyakit lain. Pelakon berusia 84 tahun ini sedang terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang sejak Isnin lalu selepas terjatuh dalam bilik air. Dia kini ditemani isterinya, Datin Alisah Ali, 65, yang setia menjaganya biarpun terpaksa berulang-alik dari Bandar Baru Sentul ke Ampang.
Mujur ia mendapat reaksi segera persatuan hiburan yang bersimpati. Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diterajui oleh presidennya, Datuk Freddie Fernandez, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang diwakili oleh Pemangku Timbalan Presiden, Zed Zaidi serta Pemuda Umno Malaysia menerusi Pengerusi Biro Kebudayaan & Kesenian, Jamawi Jaafar segera hadir menghulur sumbangan, Rabu lalu.

Tiada kata yang mampu diluahkan Datin Alisah sebaik menerima sumbangan ini. Tidak suka meminta-minta, namun dia juga tidak menolak setiap sumbangan yang diberikan kerana sekurang-kurangnya boleh menampung kos sepanjang suaminya mendapat rawatan.


“Kami tak suka dan malu untuk menerima sumbangan kerana takut dikatakan gemar meminta-minta. Sikit-sikit nak bantuan. Tapi kami akur hidup kami memang susah. Suami pernah bercakap perkara ini dan mengeluh. Dia memang susah hati dan menggelabah memikirkan soal kewangan. Tapi saya minta dia jangan menyerah dan teruskan berjuang untuk hidup.

“Bahkan kami pernah berbual mengenai soal kehidupan. Ada sekali suami tanya saya, kalau diberi pilihan siapa yang nak pergi dulu (meninggal dunia)? Maaf cakap, saya nak dia kerana jika saya yang pergi dulu, siapa yang akan menguruskan hidupnya? Kami kahwin sejak 1978 dan kami hidup bersama dengan duit pencen bekas isteri pertama dan bantuan Baitumal.

“Dengan duit inilah, saya berjimat cermat untuk menampung kehidupan kami. Apabila ada pihak bagi sumbangan, saya sangat bersyukur dan mengucapkan terima kasih. Sekurang-kurangnya ada yang ambil berat dan mahu membantu kami,” katanya yang kelihatan cuba mengawal emosi sedih di depan mereka yang hadir.

Bercerita mengenai sumbangan yang disampaikan, Freddie berkata, ini bukanlah kali pertama Karyawan memberikan sumbangan buat Yahya Sulong. Tahun sebelum ini pun, mereka sudah melawatnya dan memberikan sumbangan ketika dia dimasukkan ke hospital.

“Inilah tanggungjawab kami sebagai persatuan artis kerana kami perlu sentiasa jaga kebajikan ahli serta terus membantu seperti dalam kes ini. Sudah banyak artis yang dibantu. Kami harap Yahya akan segera sembuh daripada penyakitnya. Dari segi dana untuk tabung bantuan pula, kami sudah ada beberapa cadangan untuk mencari wang.

“Sudah ada dermawan yang menyatakan kesudian untuk membantu golongan artis yang tidak bernasib baik. Kami mengalu-alukan sesiapa juga yang sudi untuk bekerjasama dengan kami mengumpul dana untuk teruskan aktiviti kebajikan. Kami mahu ada kesinambungan untuk membantu kerana ada artis yang tidak bekerja.

“Memang ada antara artis veteran mempunyai anak-anak, tetapi kadangkala mereka ada masalah sendiri dan tidak mampu untuk bantu. Selagi boleh, kami akan teruskan aktiviti begini kerana jika dilihat, industri nyanyian semakin tenat. Kita semakin kekurangan peluang untuk buat rakaman. Album juga tidak boleh dijual macam dulu. Kami perlu berfikir idea baru untuk bantu industri muzik,” katanya.

Sementara itu, Zed sering bekerjasama dengan Jamawi dalam misi membantu penggiat seni tempatan. Sudah banyak program dilakukan sebelum ini, antaranya bantuan buat keluarga Allahyarham Datuk Ahmad Jais, Faizal Yusof, Latif Ibrahim dan terbaru buat seniwati Azean Irdawaty.

“Seniman berikan bantuan dan dalam masa sama buat surat sokongan kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menerusi Finas untuk artis ini dapat bantuan lain. Kami mahu lakukan sesuatu untuk meringankan beban penggiat seni. Dana untuk tabung ini dicari dengan pelbagai program.

“Terkini, kami dan Pemuda Umno akan mengadakan Karnival Muzik Belia & BN Youth Music pada 3 dan 4 Mac ini yang akan berlangsung di The Curve, Damansara. Pelbagai aktiviti menarik membabitkan persembahan artis dan seni akan diadakan. Perdana Menteri akan hadir pada 4 Mac dan kami sudah menyiapkan memorandum tiga usul berkaitan kebajikan artis untuk disampaikan kepada beliau,” kata Zed.
Sementara itu, Jamawi yang turut terpanggil menghulur bantuan ini berkata: “Sebelum ini Pemuda Umno banyak bekerjasama dalam bentuk program. Tetapi selepas berbincang mengenai keperluan Seniman, kami berpendapat artis veteran dan yang sakit perlu dibantu. Kami dan Seniman akan menziarah 22 artis selepas ini untuk menyampaikan sumbangan. Ia membabitkan artis veteran dan baru kerana kami menghargai peranan artis dalam menghibur masyarakat.”

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters