Jom Buat Duit

Sunday 26 February 2012

Ahmad Fedtri Yahya Bakal jadi bapa

LENGGOK bahasa yang meluncur laju daripada bibirnya sering membuatkan penonton terpesona. Teratur dan meyakinkan, bahkan penuh puitis menjadikannya lain daripada yang lain. Itulah kelebihan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya yang turut mencipta nama sebagai penulis lirik.

Lulusan Ijazah Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini acap kali menghidangkan lontaran idea dan pandangan bernas, bahkan program kendaliannya tidak pernah menghampakan.
SELEBRITI mendekati pengacara terkenal ini bagi menyingkap perihal minat tinggi terhadap penguasaan bahasa, detik awal pembabitan sebagai pengantara dan penulis lirik serta perkembangan terkini sisi peribadinya.

Fedtri kini berdebar menanti kelahiran anak sulung hasil perkahwinan dengan Nurul Anati Ismail pada 29 Mei 2011.


Anda dikagumi kerana pengetahuan bahasa yang tinggi, malah itulah keunikan anda. Adakah ia bakat semula jadi atau perlu dipupuk?

Bakat itu penting tetapi saya berusaha keras sejak di bangku sekolah kerana sejak kecil, saya gila bahasa. Bayangkan ketika menuntut di sekolah rendah, saya baca buku sastera pelajar tingkatan lima dan enam.

Paling saya suka subjek karangan dan biasanya saya dapat markah tertinggi dalam kelas. Setiap hari saya tidak sabar-sabar mengarang esei baru. Selain itu, saya aktif menyertai pertandingan pantun, puisi, debat dan pidato.

Daripada situ, banyak ilmu dan kosa kata baru saya dapat. Kecenderungan ini berterusan hingga saya menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia. Pantang ada pertandingan, saya akan masuk.

Jika berpantun, saya tidak suka guna pantun sedia ada, sebaliknya karang yang baru. Daripada situ, dapat latih diri. Andai bertemu rakan yang sama minat dengan saya, kami berinteraksi dan daripada situ dapat tahu kosa kata baru.

Selalu bercakap di depan orang ramai adalah latihan bagus untuk mantapkan pengetahuan bahasa.


Sejak bila timbul minat menceburi bidang pengacaraan dan boleh kongsi kembara anda sebagai pengantara?

Saya sebenarnya pemalu dan pendiam. Dalam hidup seharian, saya lebih banyak mendengar daripada bercakap tetapi apabila pegang mikrofon, automatik saya banyak cakap.

Ketika di sekolah menengah, saya ada bakat dalam pengucapan awam dan ketika itu timbul minat untuk menceburi bidang penyiaran.

Biarpun mengikuti aliran sains hingga peringkat matrikulasi, saya tahu jiwa saya lebih ke arah itu. Kalau boleh, saya mahu dikenali sebagai pengacara yang sinonim dengan program ilmiah.

Selepas menggenggam Ijazah Komunikasi pengkhususan filem dan penyiaran di USM, saya hantar resume ke TV3 dan dipanggil menghadiri uji bakat sebagai pengulas sukan.

Biarpun kurang minat kerana saya mahukan program lebih berat dan berilmiah, saya hadir juga uji bakat untuk menimba pengalaman.

Ketika itu saya diminta komen mengenai perlawanan bola sepak. Tak sangka pula sebelah malamnya saya dimaklumkan diterima bekerja sebagai pengulas sukan di TV3.

Setahun selepas itu, saya diberi kepercayaan mengendalikan program Malaysia Hari Ini (MHI) sampai sekarang. Alhamdulillah, impian untuk mengendalikan program ilmiah dimakbulkan Ilahi.

Sepanjang lapan tahun berkhidmat di MHI, saya sudah berpeluang untuk muncul dengan beberapa program, termasuk Sebalik Malam, Dari Masjid ke Masjid, Di Bawah Rimbunan Madrasah, Sejernih Sinar Mata Mu, Madrasah di Pinggir Syurga dan Linangan Syawal.

Semua program ini adalah idea saya dan terbaru adalah Khurafat yang kini bersiaran di TV9. Kalau boleh, saya mahu wujudkan lebih banyak program menarik dan berilmiah kerana daripada situ, saya boleh bermain dengan bahasa.

Biarpun sesetengah orang lebih sukakan penggunaan bahasa mudah, saya tetap akan kekalkan cara saya.


Anda juga menyerlah sebagai penulis lirik hebat. Hasil nukilan anda yang puitis cukup mencuri perhatian hingga mampu merangkul beberapa anugerah.

Mungkin kerana saya berjiwa sensitif, jadi lebih mudah untuk saya zahirkan emosi saya dalam penulisan. Saya sebenarnya bermula dengan menyertai pertandingan Anugerah Erti Merdeka pada 2003, di mana saya telah menulis lirik lagu Di Laman Ini yang didendangkan oleh Nora dan sejak itu ada permintaan menulis lirik untuk beberapa artis.

Tahun lalu, lirik ciptaan saya, Senyuman Kemegahan memenangi pertandingan Cipta Lagu Patriotik 2011. Secara peribadi, saya lebih suka menghasilkan lirik lagu patriotik dan etnik kreatif kerana lebih mudah bermain dengan bahasa.

Tahun ini belum ada lirik baru, cuma menukar lirik Cindai kepada Cindai Rasulullah yang didendangkan Datuk Siti Nurhaliza ketika konsert Maulidur Rasul baru-baru ini.

Mengacara sudah, menulis lirik pun sudah, Insya-Allah tahun ini saya akan cuba untuk menghasilkan buku pantun dan puisi serta novel pula.

Keinginan sudah lama ada, tetapi asyik tertangguh kerana sibuk dengan tugas. Memandangkan usia kian meningkat, saya kena buat juga tahun ini.


Anda kini banyak terbabit dengan program berbentuk kerohanian. Ramai memuji perubahan anda dan ingin tahu apakah yang mencetus kecenderungan itu.

Seperti kita sedia maklum, bekerja dalam dunia penyiaran menuntut pengorbanan masa yang bukan sedikit. Jadual yang tidak menentu masa menuntut kita sentiasa bersedia, malah bermalam di pejabat adalah perkara biasa bagi saya.

Satu hari saya rasa sangat letih dan terfikir alangkah seronoknya andai dapat ke masjid. Melihat ramai kenalan berhijrah, keinginan untuk turut serta memperkemaskan ibadah semakin tinggi.

Alhamdulillah, apabila dekatkan diri dengan masjid, saya rasa lebih tenang. Ketika menerbitkan program Dari Masjid ke Masjid, saya berpeluang bergaul dengan pelajar tahfiz dan sekolah pondok.

Sukar untuk saya gambarkan keseronokan apabila mendekati golongan yang mendalami ilmu agama. Yang boleh saya kongsi ialah, jiwa terasa sangat damai. Lagipun ibu saya meninggal pada 2009, kehilangannya menjadikan saya lebih tekun dalam ibadah.


Khabarnya anda akan bergelar bapa tidak lama lagi?

Alhamdulillah, isteri saya dijangka melahirkan zuriat sulung kami bulan depan. Kalau ikutkan, sebelum ini isteri saya bunting pelamin tetapi keguguran.

Sebulan kemudian, doktor sahkan dia hamil lagi dan berita itu kami terima dengan penuh kesyukuran. Tiga bulan pertama, dia mengalami alahan teruk hingga beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Sebagai suami, saya tidak sampai hati melihat dia melalui keadaan itu bersendirian dan nekad menolak beberapa tawaran mengacara. Alhamdulillah, selepas masuk bulan keempat kehamilan, keadaannya semakin baik.

Segala persiapan menyambut kehadiran ahli keluarga baru sudah saya sediakan. Tidak sabar rasanya mahu melihat anak kami, malah setiap hari saya berdoa proses kelahirannya nanti dipermudahkan Ilahi.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters