Jom Buat Duit

Monday 27 February 2012

Kawan karib jadi suami isteri





BERMULA dengan perkenalan pada 29 Julai 2005, siapa sangka ikatan persahabatan yang terjalin selama tujuh tahun berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan.

Itulah rentetan momen indah yang dilalui oleh penyanyi Ana Raffali bersama suaminya, Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim apabila kedua-duanya kini sah bergelar sebagai pasangan suami isteri.
Sabtu kelmarin, Ana dan Naim telah selamat diijabkabulkan dalam satu majlis sederhana yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati kira-kira pukul 11.55 pagi.

Dihadiri seramai 500 jemputan yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak, pasangan tersebut dinikah dan diwalikan oleh bapa Ana sendiri, Mohd. Raffali Mohd. Nor dengan disaksikan oleh Jurunikah Masjid Al-Hidayah, Abdullah Mat.

Sejurus selepas berakhirnya acara pernikahan, Ana yang ditemui pada satu sesi sidang akhbar bersama pihak media berkata, debaran yang dirasakan sebelum ini mulai hilang setelah acara akad nikah dilaksanakan.

"Kalau ditanya tentang perasaan ketika hendak bergelar seorang isteri, sudah tentu saya memang rasa cukup berdebar dan secara lumrahnya itulah yang akan dirasai oleh mana-mana wanita yang hendak mendirikan rumah tangga.

"Bagaimanapun, semua perasaan itu hilang sebaik sahaja suami melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz. Saya sangat bersyukur kerana kini telah selamat menjadi isteri kepada Naim," ujarnya.
Pada majlis berkenaan, Ana yang kelihatan anggun dengan busana baju kurung moden berona kelabu hasil rekaan Ezuwan Ismail menerima tujuh dulang hantaran berupa minyak wangi, coklat, sirih junjung, manisan, gelang tangan, telekung serta mas kahwin berjumlah RM11,412.

Pengantin lelaki yang segak berbaju Melayu lengkap bersamping hasil rekaan pereka sama pula menerima sembilan dulang hantaran seperti bunga rampai, buah, kek, dompet, kamera, iPad 2, jam tangan serta minyak wangi, cincin dan sirih junjung.

Tambah Ana, dia merasakan dirinya cukup bertuah kerana mendapat lelaki seperti Naim sebagai suami yang disifatkan seorang lelaki sangat baik, jujur dan penyabar.
"Selama ini hubungan kami tidak lebih daripada sebagai kawan karib. Kemudian semakin saya mengenalinya dengan lebih mendalam, perasaan sayang terhadapnya lama-kelamaan mula timbul dan akhirnya saya setuju untuk mendirikan rumah tangga bersamanya.

"Bagaimanapun, ramai tidak tahu yang kami ini sebenarnya bercinta memandangkan dia sering mengikut saya membuat persembahan di merata-rata tempat sehinggakan rata-ratanya menganggap dia adalah pembantu peribadi saya," jelasnya.
Sementara itu, Naim yang turut berada di samping isteri tercinta memberitahu dia mula melamar Ana sebagai pasangan kekasih pada tahun lalu setelah merasakan perlu adanya ikatan yang lebih kukuh di antara mereka berdua.

Jelasnya, dia mengambil masa yang agak lama untuk melamar kerana mahukan isterinya itu memiliki kehidupan yang lebih stabil dan benar-benar kukuh dalam kerjayanya sebagai seorang anak seni.
"Kalau ditanya tentang istimewanya Ana di mata saya, sebenarnya ia agak sukar untuk dijelaskan secara lebih spesifik. Kehadirannya dalam hidup saya selama ini juga sudah cukup istimewa buat diri saya," ujarnya.

Mengenai majlis yang diadakan pada hari tersebut, Ana memberitahu bahawa setelah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, mereka mengambil keputusan untuk mengadakan majlis secara sederhana.

"Kami sepakat untuk membuat majlis pernikahan dan resepsi di tempat yang sama. Malah, tiada acara persandingan yang dibuat kerana seboleh-bolehnya kami mahu meluangkan lebih banyak masa dengan tetamu yang hadir," jelasnya.
Bina keluarga

Jika kebanyakan pasangan selebriti tempatan gemar memilih lokasi-lokasi tertentu untuk berbulan madu, ia agak berlainan pula dengan langkah yang diambil oleh pasangan pengantin baharu itu.
Menurut Naim, untuk lokasi bulan madu nanti mereka tidak akan memilih sebarang tempat menarik termasuk pergi ke luar negara, sebaliknya mereka akan berbulan madu di Malaysia sahaja.

"Insya-Allah, selepas semuanya selesai kami akan menjelajah tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan. Matlamat kami, selain berbulan madu kami akan turut menziarahi saudara-mara kami yang berada di ketiga-tiga negeri tersebut," jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang perancangan mereka untuk membina sebuah keluarga, Ana menjelaskan mereka memang tidak pernah menetapkan tempoh tertentu untuk memiliki cahaya mata dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah.

ANA amat bersyukur kerana kini sah bergelar isteri Naim.



"Sebenarnya saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang cukup besar kerana memiliki 11 orang adik-beradik. Sudah tentu saya tetap mengimpikan untuk turut membina sebuah keluarga dengan anak-anak yang ramai.

"Bagaimanapun, kami merasakan semuanya itu bergantung kepada rezeki yang akan diperolehi nanti. Tentang bilangan anak kami memang tidak kisah, tetapi saya impikan untuk memiliki lapan orang anak," ujarnya.

Bantu isteri
Sepanjang Ana Raffali bergelar artis dan sudah terbabit dalam industri hiburan sejak tahun 2009, ternyata Naim adalah insan yang dilihat cukup setia berada di samping penyanyi dan komposer muda itu setiap masa.

Boleh dikatakan, Naim juga antara individu begitu rapat dan banyak membantu dalam segala urusan berkaitan karier nyanyian pemenang Anugerah Juara Lagu ke-25 seperti menemaninya membuat persembahan di merata-rata tempat.

Menurut Ana, biarpun kini dia dan Naim sudah bergelar sebagai pasangan suami isteri, dia akan terus menggunakan khidmat suaminya itu untuk menguruskan segala perjalanan kerjaya seninya.
"Sebelum mendirikan rumah tangga, Naim memang sudah lama membantu mengukuhkan perjalanan karier nyanyian saya.

"Jadi, apabila kami sudah berkahwin sudah tentu saya akan lebih selesa kerana dia bukan hanya bertindak selaku pengurus, malah sebagai pelindung diri saya," ujarnya.
Bagi Naim pula, dia sendiri menganggap bukan satu masalah yang besar kerana sepanjang mereka berdua bekerjasama selama ini , dia menyifatkan isterinya itu sebagai seorang yang cukup profesional.
MAJLIS akad nikah Ana dan Naim diwalikan sendiri oleh bapa Ana, Mohd. Raffali.
 

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters