Jom Buat Duit

Tuesday 28 February 2012

Arah tuju seni Kamal, Mikha


IMPAK daripada drama sinetron Nada Cinta di Malaysia, nama Mikha Tambayong mula dikenali peminat-peminat di Malaysia.
Malah, gadis berusia 18 tahun yang kini digosip bercinta dengan pasangannya dalam Nada Cinta iaitu Randy Pangalila terkejut apabila dirinya menjadi kegilaan di kalangan peminat Malaysia sehingga saban hari ada sahaja peminat Malaysia yang menghantar tweet kepadanya.

Bagi pelakon Malaysia, Kamal Adli, 26, pula, dia mengakui berasa bertuah kerana dikenali di Indonesia selepas be berapa kali berulang alik dari Jakarta ke Malaysia untuk mempromosikan filem lakonannya bersama pelakon popular Indonesia, Olivia Jensen, 19, iaitu Gerimis Mengundang.
Malah, hasil daripada propaganda yang dicipta media di Indonesia mengatakan kedua-dua mereka bercinta selepas berlakon bersama-sama dalam filem arahan Ahmad Idham itu menyebabkan ada beberapa penerbit Indonesia berminat mengambil Kamal berlakon dalam drama sinetron mereka.

Kedua-dua pelakon itu kini digandingkan bersama dalam teater Gerimis Mengundang. Teater yang merupakan prekuel daripada filem Gerimis Mengundang itu bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 27 Mac ini.
Ada sebab mengapa Mikha dipilih untuk menjayakan pementasan Gerimis Mengundang.

Mikha penat berlakon
Perasaan sedikit teruja mengiringi pertemuan Kosmo! dengan Mikha Tambayong. Pertama, sebab dia begitu cantik dan kedua, sikap dia begitu sopan dan baik.
Ke mana sahaja jurufoto Kosmo!, Djohan Shahrin Shah memintanya bergambar, dia tidak menolak malah terjadi satu insiden kakinya dinaiki beberapa ekor kerengga.
Selesai sahaja sesi fotografi dilakukan, lantas pemilik sebenar nama Moudy Mikha Maria Tambayong itu diajukan soalan tentang populariti yang diraih di Malaysia menerusi sinetron Nada Cinta.

Akui Mikha, dia hanya mengetahui dirinya popular di Malaysia apabila mendapati pengikut di laman sosial Twitter miliknya bertambah dan kebanyakannya daripada negara ini.
"Setiap hari pengikut di Twitter saya akan bertambah dan kebanyakannya dari Malaysia. Mereka tweet mengatakan sangat sukakan lakonan saya dalam Nada Cinta selain sering bertanya bila ingin bertandang ke Malaysia.

"Saya terkejut dan tidak tahu sama sekali Nada Cinta kini ditayangkan di Malaysia memandangkan sinetron itu sudah ditayangkan di negara saya dua tahun lalu. Saya ketahui juga selepas beberapa peminat di Malaysia memberitahu perkara itu kepada saya," ungkapnya mengenai sinetron Nada Cinta sebanyak 244 episod yang mula ditayangkan di Malaysia pada 27 September di Astro Ria.
Mengenali sisi hidup Mikha, gadis kelahiran Jakarta, Indonesia itu memulakan kariernya sebagai model dan kemudiannya terjun ke bidang lakonan. Sinetron pertamanya, Kepompong berjaya melonjakkan nama Mikha di persada seni Indonesia.

Anak saudara kepada penyanyi terkenal Harvey Malaiholo ini juga kemudiannya mengikut jejak bapa saudaranya dan merakamkan single, Cinta Pertama untuk runut bunyi sinetron Kepompong pada tahun 2009.

Mikha kemudiannya merakamkan album penuh pada tahun 2010 lantas sukses di lapangan nyanyian.
Tidak hanya fokus pada bidang nyanyian semata-mata, Mikha juga terus terusan membintangi drama sinetron walaupun mengakui penat menjadi seorang pelakon.

"Memang sangat capek (penat) berlakon untuk sinetron. Sebabnya, untuk satu sinetron sahaja saya perlu mengorbankan waktu selama setahun. Bayangkan sahaja setiap sinetron mempunyai beratus-ratus episod. Saya tidak punya masa untuk diri sendiri malah sambutan hari krismas dan sambutan tahun baru saya juga berlangsung di lokasi. Tetapi ia sudah jadi tabiat saya berlakon. Saya akan rasa janggal berada di rumah dalam tempoh masa yang lama," ujarnya yang menganut agama katolik.

Ditebak dengan soalan cinta dan hubungannya bersama Randy Pangalila, Mikha mengakui Randy hanya merupakan rakan baiknya kerana mereka sudah mengenali antara satu sama lain sejak kecil lagi. Mikha juga tanpa berselindung memberitahu, dirinya sendirian tanpa sebarang teman lelaki.
"Saya dan Randy hanya teman baik walaupun ramai yang mengatakan kami bercinta. Saya tidak akan bercinta dengan pasangan lakonan saya. Dan saya akui saya tidak punya pacar (teman lelaki) buat masa ini," ungkapnya yang tidak sabar untuk menjayakan pementasan teater buat pertama kalinya di Malaysia bergandingan dengan Kamal Adli.

Berjanji memberikan persembahan yang terbaik, Mikha tanpa berselindung juga mengakui gemantar untuk beraksi di pentas teater yang berjudul Gerimis Mengundang.
"Perasaan gementar itu mesti ada tetapi lebih mendebarkan apabila ini adalah kali pertama saya beraksi di pentas teater di negara orang.

"Bagaimanapun saya yakin dapat melakukannya dengan tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain yang terlibat," ujarnya yang bakal menjalani latihan untuk teater muzikal itu pada Sabtu depan dan sepanjang tempoh itu dia akan menetap di Malaysia.
Kamal kecil hati



KAMAL dan Mikha dipertemukan khusus untuk pementasan Gerimis Mengundang.



Sudah lama tidak melihat wajah Kamal di bawah filem-filem Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. (MMP) sedangkan pelakon itu masih lagi mempunyai kontrak selama tiga tahun bersama syarikat David Teo itu.

Adakah Kamal dianak tiri oleh David Teo? Diajukan soalan kepada kekasih Intan Ladyana itu, Kamal tanpa berselindung mengakui berasa kecil hati dengan pihak pengurusan yang seakan-akan mengabaikannya tanpa sebarang projek baru. Bagaimanapun, ujar Kamal, dia tidak menyesal mengikat kontrak dengan syarikat itu kerana ia adalah kehendaknya sendiri dan bukan dipaksa oleh sesiapa.

Atas dasar itu juga dia tidak mahu duduk diam tanpa berbuat apa-apa sebaliknya turut mencari peluang lain tanpa terlalu mengharapkan syarikat pengurusannya.
"Saya tidak pernah menyesal bersama MMP tetapi ada berasa kecil hati dengan pihak pengurusan yang seakan-akan mengabaikan saya tanpa sebarang projek baharu.

"Disebabkan itu, saya banyak ambil projek luar kerana pihak lain melihat bakat saya. Tetapi, saya juga tidak salahkan mereka kerana mereka bukan menguruskan saya seorang tetapi hampir 100 artis lain yang bernaung di bawah MMP," ujarnya yang bagaimanapun tetap memberi keutamaan kepada MMP berbanding projek luar.

Mengulas mengenai namanya yang semakin melonjak naik di Indonesia pula, Kamal mengakui berasa bertuah kerana semakin diterima oleh peminat di sana selepas berulang alik mempromosikan filem Gerimis Mengundang yang mengandingkannya dengan pelakon Olivia Jensen.

"Filem Gerimis Mengundang juga akan ditayangkan di Indonesia jadi saya kerap ke sana untuk mempromosikan filem tersebut. Media di sana pula membuat gosip yang saya dan Olivia sedang bercinta. Saya cuma menganggap ia sebagai satu promosi untuk saya dan filem itu nanti," ujarnya.

Mengaku menerima tawaran melebarkan sayap ke Indonesia, dia bagaimanapun belum bersedia untuk ke sana selain belum puas berlakon dengan produksi tempatan.
"Memang saya ada menerima tawaran berlakon di sana tetapi saya masih tidak memberi jawapan. Bukan kerana sombong tetapi banyak perkara yang perlu saya korbankan. Pertama, saya perlu menguasai bahasa Indonesia dengan baik sedangkan saya tidak ada masa untuk belajar.

"Selain itu, saya masih belum bersedia dalam pelbagai aspek. Daripada menimbulkan masalah kepada mereka lebih saya baik tolak secara baik. Namun, jika ada rezeki lagi dan sudah bersedia saya mungkin akan beralih arah ke Indonesia," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters