Jom Buat Duit

Friday 24 February 2012

Konsert kronologi Sudirman


ALYAH antara artis terkenal yang turut menjayakan Konsert Sudirman... Abadi Di Hati.



PEMERGIAN seniman legenda negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sehingga kini masih meninggalkan kesan mendalam buat peminat-peminat di Malaysia. Disebabkan itu, Sudirman masih dikenang dan dihargai sehingga ke hari ini biarpun dia sudah meninggal dunia pada 22 Februari 1992 akibat komplikasi radang paru-paru.

Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi mengadakan konsert buat Sudirman yang diberi judul Abadi Di Hati di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, pada pukul 9 malam ini.

Konsert yang berdurasi dua jam itu akan menampilkan barisan penyanyi baharu dan lama sempena 20 tahun pemergian Sudirman.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, konsert Sudirman itu adalah usaha berterusan yang dilakukan oleh RTM buat mengenang penyanyi legenda itu.
"Semuanya bukan mudah untuk dilakukan tanpa komitmen jitu daripada pelbagai pihak dalam memartabatkan industri seni kreatif ke tahap lebih tinggi," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar majlis pelancaran Konsert Sudirman...Abadi Di Hati yang akan berlangsung di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri.
Sementara itu, penerbitnya, Ain Sabrina Onn memberitahu, penerbitan konsert penghargaan pada kali kedua ini lebih sentimental dan istimewa berbanding Konsert Suara Hati Sudirman di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 2007 lalu.

"Ini adalah kali kedua saya bertindak sebagai penerbit konsert penghargaan Sudirman. Untuk konsert kali ini, ia lebih istimewa dan sentimental berdasarkan pemilihan lokasi dan pengisian konsert itu sendiri.
"Allahyarham bermula sebagai johan Bintang RTM pada 1976, jadi kita pilih lokasi ini sebagai mengimbau kenangan tersebut.
"Sebanyak 24 lagu dipilih mengikut kesesuaian kronologi seni Allahyarham daripada album pertama hingga terakhir. Ia bakal dipersembahkan oleh 11 penyanyi popular, baharu dan lama," tuturnya mengenai intipati konsert berkenaan.

Konsert Sudirman...Abadi Di Hati akan menampilkan karya-karya seni Penghibur Nombor 1 Asia dan Juara Bintang RTM 1976 itu secara kronologi bermula daripada album-album yang pernah dihasilkan iaitu Teriring Doa (1977), Aku Penghiburmu (1978), Perasaan (1979), Anak Muda (1980) hingga ke album terakhir.
ORKESTRA RTM merupakan nadi utama Konsert Sudirman...Suara Di Hati yang berlangsung pada malam ini.
 


Artis yang bakal menjayakan persembahan terbabit adalah Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan penyanyi kelahiran program Bintang RTM, Rey manakala pengacara pada konsert itu pula ialah Didie Alias dan Saiful Apek.
Jelas Ain, pihaknya juga akan menampilkan beberapa sedutan klip rakaman eksklusif Allahyarham daripada arkib RTM pada malam konsert sebelum lagu-lagunya dipersembahkan oleh penyanyi-penyanyi yang terlibat.

"Malah, kita turut merancang untuk mengundang semua komposer, penerbit dan individu penting yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang penghasilan album-album Allahyarham menghadiri konsert ini," katanya lagi.
Bakal diketuai oleh pengarah muzik Luqman Abdul Aziz, konsert itu akan diiringi 40 pemuzik Orkestra RTM.
Ia merupakan konsert pertama daripada lapan konsert orkestra yang dirancang bagi mengisi kalendar Siri Orkestra 2012 RTM pada tahun ini.
Hadir sama ialah Pengarah Perkhidmatan Muzik, Datuk Mokhzani Ismail dan Penerbit Perkhidmatan Muzik, Ali Shaib.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters