Jom Buat Duit

Sunday 26 February 2012

Rezeki tetap ada - Nurdiana Amir


PENGHIJRAHAN terbesar dilakukan gadis lincah ini adalah memutuskan untuk memakai tudung. Ketika baru menjejakkan kaki dalam dunia seni, gadis berusia 26 tahun itu pernah terpalit dengan kontroversi kerana penampilan.
Bagaimanapun, keputusan Nurdiana Amir atau Diana menunaikan tanggungjawab sebagai Muslimah dengan menutup aurat menggembirakan banyak pihak, terutama keluarganya.

Mungkin ada pihak menyifatkan keputusan itu menyebabkan tawaran berlakon berkurangan tetapi, Allah memberikannya rezeki melimpah-ruah kerana tawaran berlakon sentiasa ada.
Tidak lagi ditawarkan watak gadis lincah, Diana kini lebih banyak memegang watak yang sesuai dengan penampilan barunya.

Hampir enam bulan dengan imej baru, Diana semakin yakin mengekalkan ‘Diana baru’ sehingga ke akhir hayatnya.

Gembira dengan keputusan itu, Diana berharap pada 2012 kehidupannya jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya selesa dengan imej ini. Semakin lama memakai tudung dan banyak mendekatkan diri dengan Allah, saya lebih tenang dan kuat berdepan tekanan kerja yang mengganggu emosi.

“Banyak kelebihan apabila kita menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Percakapan, pergaulan dan adab kita lebih terjaga. Allah tidak mungkin menutup rezeki kita apabila kita menjalankan tuntutan agama.
“Memang saya lebih banyak memegang watak wanita bertudung dan berperwatakan lembut tetapi pada pendapat saya, ia tidak menghalang saya untuk memegang watak antagonis juga,” katanya.

Kali pertama berlakon memakai bertudung dalam filem 7 Petala Cinta, wataknya sebagai Muslimah yang sangat lemah lembut dan sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain.

Filem terbitan MIG Pictures dan arahan Azhari Zain itu akan ditayangkan pada 15 Mac depan. Ia turut dijayakan Fizo Omar dan Shima Anuar.

Berlainan dengan wataknya dalam filem Assalamualaikum Cinta, watak dipegang Diana sebagai Laila memang berbeza.

Walaupun baru menyelesaikan kuliah di sebuah universiti Islam, Laila masih mempunyai sifat sombong dan ego dalam dirinya apabila bertemu Amirul yang mahu belajar agama.

Mengharap sinar baru buat dirinya, Diana berharap dapat memenuhi impian membuka butik pakaian Muslimah dengan memperkenalkan jenamanya sendiri, Diana Amir Muslimah Collection.

“Menjalani kehidupan pada tahun baru ini, saya bersyukur menjalani kehidupan yang ditentukan Allah.

“Saya berharap dapat menjadikan impian saya membuka butik Muslimah pada tahun ini, itupun jika rezeki menyebelahi saya.

“Tidak selama-lamanya saya akan berlakon kerana setiap tahun ramai pelakon baru yang lebih berbakat dan serba boleh akan muncul dan mewarnai industri seni. Tiba masa, saya akan bersara dan memberi peluang kepada orang baru.

“Perniagaan ini sebagai penyokong supaya pada satu ketika saya tidak menerima tawaran berlakon tetapi masih ada punca pendapatan lain.

“Namun, untuk berhenti daripada dunia yang saya sukai ini mungkin bukan dalam masa terdekat.

“Mungkin juga, watak wanita Muslimah yang saya pegang ini sebagai satu cara saya berdakwah supaya lebih ramai wanita terbuka hati untuk memakai tudung,” katanya yang kini berehat selepas menamatkan penggambaran Assalamualaikum Cinta, tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters